Wed01242018

LAST_UPDATEMon, 31 Dec 2012 11pm

Hanez Suraya Gaduh Lagi Dengan Amy Search

.

Ingatkan sudah habis insiden selisih faham antara pelakon baru Hanez Suraya dengan penyanyi rock tersohor Amy Search. Rupanya isu perang mereka bersambung episod dua.

Perang siri pertama dulu membabitkan mereka pada majlis Anugerah Blokbuster 2011 baru-baru ini, apabila dia dikatakan berlagak sombong dengan tidak menegur Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman walaupun mereka duduk bersebelahan. Isteri Amy, Nourish turut menemaninya pada ketika itu.

Perang siri kedua Amy dan Hanez pula turut membabitkan Nourish. Kejadian yang berlaku tiga hari lepas itu sebaliknya menimbulkan kontroversi lain antara mereka.

Ia tercetus apabila Nourish atau nama sebenarnya Norhasniza Hassan telah secara tidak sengaja bertemu dengan adik Hanez yang merupakan seorang juruwang di sebuah bank tempat dia berurusan untuk mengeluarkan wang.

Nourish yang mengenali adik Hanez ketika dia turut menemani Hanez pada Anugerah Blokbuster 2011 tempoh hari itu dikatakan ingin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak suaminya.

Ia ekoran kejadian teguran Amy secara terbuka di Twitter yang telah mengkritik Hanez ekoran isu pada majlis anugerah tersebut.

Bagaimanapun, adik Hanez dikatakan telah menolak untuk menyampaikan permohonan maaf kepada kakaknya itu dan Nourish didakwa sehubungan itu telah membuat kecoh di bank berkenaan.

Isu itu berlarutan hingga ke laman sosial bergambar Instagram pula. Amy dan Hanez menerusi intagram tersebut khabarnya berbalas-balas kata, yang mana kata-kata berbaur amarah itu kini sudahpun dihapuskan.

Bagaimanapun bercakap kepada Kosmo! hari ini, pelakon itu enggan mengulas tentang hal tersebut. Dia juga tidak tahu apa masalah yang berlaku sebenarnya. Hanez turut meminta seandainya ada sesiapa yang ingin memberitahunya tentang apa yang berlaku sebenarnya, dia berharap agar pihak tersebut datang terus berjumpanya dan jangan guna pihak ketiga bagi mengelak salah faham.

Pelakon Dendam Pencinta ini juga menegaskan yang dia bukan jenis yang suka cari gaduh.

 

- http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

- mD

 

 

 

 

 

 

Template Design Joomla