Sun07222018

LAST_UPDATETue, 15 May 2018 11am

Mimpi Tentang Kiamat Beri Hidayah Ezlisa Loy Berhijab

Foto oleh Faisol Mustafa.
Mungkin belum ramai yang mengenali siapa Ezlisa Loy. Dia pernah muncul dalam beberapa telemovie antaranya Sejadah Kaabah dan Qalesha. Gadis berusia 16 tahun ini juga adalah adik kepada pelakon remaja popular, Elfira Loy.В 

Ketika hadir di sidang media drama terbaru Debunga Lalang, bertempat di Sri Pentas petang semalam, anak ketiga daripada empat adik beradik ini mencuri pandangan ramai dek kerana penampilannya yang kelihatan manis bertudung.

Bertemu Eslisa selepas tamat sidang media, pelajar yang bakal menduduki peperikasaan SPM pada tahun hadapan ini memberitahu niat mahu berhijab sudah timbul sejak tahun lalu. Namun hasrat itu hanya dilaksana sejak awal bulan ini selepas mengalami satu mimpi yang cukup mengerunkan dirinya.

"Baru-baru ni saya mimpi tentang hari Kiamat. Dalam mimpi tu, saya dalam perjalanan ke masjid. Tiba-tiba ada batu bulat-bulat jatuh dari langit. Saya sangat takut. Saya terus cari mama. Tapi mama tak ada. Ahli keluarga yang lain juga tidak ada. Saya takut sangat.

"Kemudian saya tersedar. Saya terus lari ke arah mama dan menangis. Mama terkejut dan hairan kenapa saya menangis. Saya katakan yang saya mimpi hari Kiamat. Sebenarnya, sebelum ini sudah beberapa kali saya mimpi perkara yang sama, tapi kali terakhir mimpi saya tu, saya tak dapat cari mama. Itu yang buat saya rasa takut sangat", cerita Ezlisa Loy kepada malaysiandigest.com.

Tambahnya, beberapa bulan sebelum itu seorang rakannya yang menuntut di sekolah agama sering bercerita kepadanya tentang kisah-kisah nabi.

Sejak peristiwa itu bagai satu hidayah buatnya lalu dia nekad mahu serius berhijab. Sungguhpun begitu, kata Ezlisa dalam pada perlahan-lahan mengubah penampilan dia memastikan kewajipan utama sebagai muslimah dilaksanakan dengan baik terlebih dahulu - misalnya memastikan solat lima waktu, sempurna.

Menyedari sebagai seorang yang membawa imej bertudung, banyak perkara yang perlu dijaga termasuklah tingkah laku. Apatahlagi dia bergelar pelakon. Lantas kata Ezlisa, setiap tawaran yang datang dia akan memastikan sama watak berkenaan sesuai atau tidak dengan penampilannya.

"Bab berlakon ni sebenarnya saya tak fokus sangat. Saya berlakon pun hanya sebab nak cari duit lebih untuk nak beli barang-barang yang saya suka. Sebab tu saya tak berapa risau sangat soal itu. Tapi selepas ini kalau ada tawaran, saya akan pastikan watak yang saya terima sesuai dengan penampilan saya sekarang.

"Saya tahu banyak yang perlu dijaga. Sebelum buat keputusan ni pun, kakak (Elfira) ada bertanya sama ada saya betul-betul serius nak teruskan niat ni. Saya kata, ya. Kakak memberi sokongan kepada saya. Malah dia yang lebih teruja. Tudung-tudung saya semua dia yang belikan. Saya tak pandai sangat bergaya, jadi kakak yang banyak ajar saya cara nak pakai tudung.

"Saya tahu lepas ni mesti ada yang akan berkata, adik dah pakai tudung, kakak bila lagi? Benda (bertudung) ni tak boleh dipaksa-paksa", katanya.

Dalam perkembangan lain, Ezlisa bakal muncul dalam Debunga Lalang menerusi Slot Akasia TV3, mulai 2 Januari 2013, jam 4 petang. Selain dia bakal menjalani penggambaran drama berjudul Nana Nini Nunu terbitan RTM tidak lama lagi. Selesai penggambaran tersebut dia akan memperlahankan karier lakonan buat seketika kerana mahu menumpukan pada pelajaran dan peperiksaan SPM.

.





- mD






















Template Design шаблоны Joomla