Wed06202018

LAST_UPDATETue, 15 May 2018 11am

Melayu Sudah Muak Dengan DAP, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata orang Melayu sudah muak dengan DAP, mencabar parti pembangkang itu yang mendakwa sebagai parti pelbagai kaum untuk bertanding di kawasan Melayu.

"Jika DAP sebuah parti pelbagai kaum, saya cabar mereka bertanding di kawasan Melayu. Anda tahu orang Melayu sudah muak dengan DAP...semuanya karut," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-59 di sini hari ini.

Antara yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, dua Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib juga bersetuju dengan Presiden MCA bahawa pemimpin-pemimpin DAP kononnya mengutamakan pelbagai kaum tetapi pada hakikatnya tidak begitu.

"Bersikap demokratik...adakah mereka lebih demokratik daripada kami (BN). Jika anda mahu tahu, tanya Tunku Aziz (bekasl naib pengerusi DAP kebangsaan Tunku Abdul Aziz Ibrahim), beliau akan beritahu anda," kata Najib sambil menegaskan mesej BN ialah perubahan sebenar dan kemajuan pesat sedang berlaku di Malaysia.

"Reformasi hanya sekadar satu slogan," katanya.

Najib berkata orang boleh mempersoalkan dasar-dasar dan keadilan kerajaan tetapi tidak harus mempersoalkan asas negara ini yang telah dibina berasaskan Perlembagaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membuat banyak keputusan yang berisiko politik hanya untuk memastikan ianya adil kepada semua rakyat di negara ini.

Atas asas itu, beliau berkata kerajaan tahu mengenai empat keperluan asas yang menjadi teras perjuangan masyarakat Cina di negara ini dan oleh yang demikian kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan kumpulan itu, seboleh yang mungkin.

Keperluan itu termasuk mempunyai ekonomi yang stabil dan berdaya maju, negara yang adil dan saksama, tadbir urus baik dan pendidikan.

"Saya percaya orang Cina ada empat perkara yang dia hendak sangat...orang Cina hendak ekonomi, negara maju. Ekonomi negara kita antara yang terbaik di dunia pada masa ini. Ada pelawat luar negara kagum dengan Malaysia. Dia kata banyak kren di Malaysia dan semuanya sedang buat kerja.

"Ekonomi kita berjalan baik dan dan bajet kita yang mesra rakyat dan bertanggungjawab daripada segi fiskal. (Sebaliknya) Bajet PR, populis dan tidak bertanggungjawab daripada segi fiskal...banyak beza," katanya.

Najib berkata apa yang paling menyedihkan beliau mengenai pembangkang ialah ketamakan mereka untuk berkuasa mungkin akan menjejaskan masa depan negara.

"Kenapa saya begitu marah dengan mereka, bukan kerana mereka mahukan jawatan saya, dalam sistem berParlimen, ok, nak tawan Putrajaya, lepas itu nak lelong, tak apa. Tetapi dia (pembangkang) tidak ada sesuatu yang lebih tinggi daripada (menawan) Putrajaya, menjadi perdana menteri, menjadi menteri besar...tidak ada perancangan lebih dari itu.

"Kami tidak boleh memperjudikan masa depan Malaysia. Kami telah bersusah payah membina negara ini...kami tidak akan mengorbankan apa yang telah kami lakukan," katanya sambil mempersoalkan kredibiliti pakatan pembangkang untuk menerajui negara sedangkan mereka tidak mampu memutuskan kabinet bayangan mereka.

Najib berkata untuk itu konsep 1Malaysia dilaksanakan sebagai bukti komitmen kerajaan dan parti untuk menjadi inklusif dan menghulurkan bantuan sebanyak yang boleh kepada semua kaum dan masyarakat di negara ini.

"Ini termasuk 5,000 suku kaum Kelabit di Sarawak dan Iban di Hulu Lacau, mereka juga rakyat Malaysia dan mesti dibantu," katanya.

Mengenai pembinaan negara bangsa yang adil dan saksama, Najib berkata kerajaan perlu mengambil kira keperluan dan kebimbangan setiap kaum bagi membolehkan kerajaan membina sebuah negara yang aman, makmur dan mempunyai masa depan cerah.

"Kami mahu masa depan yang lebih baik, masa depan lebih terjamin dan sebab itu kenapa saya faham (mengenai keperluan masyarakat Cina)... Saya berjanji kepada anda bagi sebuah kerajaan yang adil dan saksama," katanya.

Perdana Menteri berkata keperluan bagi tadbir urus baik dibuktikan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang antara lain termasuk agenda pencegahan jenayah, pengangkutan awam baik dan memerangi rasuah.

"Kita semua mahukan tadbir urus baik, bukan hanya orang Cina...sebagai sebuah kerajaan, kami perlu sediakan itu," katanya.

Mengenai pendidikan Cina, Najib mengulangi keputusan kerajaan untuk memastikan sekolah Cina kekal sebagai sebahagian sistem pendidikan negara.

"Bapa-bapa pengasas kita telah memutuskan integrasi adalah cara terbaik. Mereka tidak memutuskan bagi asimilasi. Kita berbeza daripada Indonesia, Thailand, malah kita berbeza daripada Singapura.

"Anda boleh cakap apa yang anda suka, tetapi anda tidak boleh lupa yang negara kita adalah satu-satunya yang mempunyai sistem pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem kita," katanya sambil berharap orang Melayu belajar bahasa Mandarin dan orang Cina lebih fasih berbahasa Melayu.

Najib juga menegaskan bahawa pendidikan Cina tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu daripada aspek pembinaan negara bangsa.

 

- Bernama

 

 

Template Design Joomla