Wed08232017

LAST_UPDATEMon, 31 Dec 2012 11pm

Blogger 'Double Y': Papagomo Ada Masalah Peribadi Dengan Pengerusi UMB

Unit Media Baru atau UMB merupakan jentera kepada Pemuda Umno yang tidak asing lagi memperjuangkan matlamat parti Umno dan Barisan Nasional dalam menangkis dakyah-dakyah pihak pembangkang di alam cyber. Unit ini yang dahulunya agak low-profile, kini telah berjaya membuka mata beberapa pihak setelah melalui beberapa rombakan dengan menampilkan bloggers-bloggers yang lebih berkaliber. Pengiktirafan yang diperolehi termasuklah dari ketua pemuda Umno sendiri iaitu saudara Khairy Jamaluddin terutama dalam ucapannya baru-baru ini di Malaysia Social Media Week 2012.


.Malaysian Digest telah berkesempatan untuk menemu-ramah salah seorang dari blogger UMB, iaitu Yuseri Yusoff di pejabat mereka di Putrajaya. Yuseri Yusoff baru-baru ini telah mengikuti tour sebuah program iaitu program 'Jelajah Aman Kampus' yang telah dirasmikan oleh ahli parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor. Kita ikuti kisah temuramah ekslusif Malaysian Digest bersama blogger yang bergelar 'Double Y' ini:

 


Malaysian Digest: Sejak bila saudara mula berkecimpung dalam blogging?


Yuseri Yusoff: Saya telah mula berkecimpung dalam blogging dalam politik sejak 31 Disember tahun 2010. Sebelum itu saya hanya aktif di twitter, pada awalnya saya menulis pendapat saya dan dihantar kepada beberapa blogger namun selepas itu saya mula membangunkan blog sendiri iaitu (yuseriyusoff.blogspot.com) dan selepas beberapa bulan saya tawarkan diri untuk membantu Barisan Nasional (BN) di pilihanraya Sarawak dengan menyertai UMB di bawah pimpinan exco pemuda Umno, Tun Faisal Ismail. Ini kerana saya melihat UMB sebagai jentera yang membawa nama parti, adalah platform sesuai utk berjuang melawan pembangkang. Ketika saya menyertai UMB, UMB dilabel sebuah entiti yang lemah. Bloggersnya dilabel lembik. Tetapi saya bersama blogger 1Peluru cuba 'reform' semula UMB dan kami 'carry' nama UMB walaupun pada waktu itu jika ada yang mengaku dirinya bloggers UMB selalu akan dihentam teruk oleh blogger-blogger lain. Malah ada yang malu untuk mengaku mereka blogger UMB, tapi kini alhamdullilah dengan semangat setiakawan dan berkat kesabaran pengerusinya kini boleh dikatakan lebih 30 orang blogger bernaung di bawah UMB.

 


MD: Baru-baru ini saya ada dengar bahawa saudara ada sedikit pertelingkahan dengan blogger Papagomo. Bolehkan saudara komen sedikit?


YY: Haha.. Tidak sesuai sebenarnya perkataan 'pertelingkahan' kerana saya cuma tidak bersetuju dengan beberapa tindakannya kebelakangan ini. Mungkin saya terlalu berterus-terang dalam artikel saya yang mana telah memperlihatkan kami bercakaran.
Malah sebelum saya aktif berblogging boleh dikatakan saya dan PapaGomo adalah kawan. Namun hubungan kawan yang terjalin atas nama perjuangan ini mula keruh selepas saya menyertai UMB kerana PapaGomo dikatakan mempunyai masalah peribadi dengan pengerusi UMB iaitu Tun Faisal Ismail Aziz. Beliau gagal memisahkan masalah peribadi diantara Tun Faisal dengan mengheret saya ke kancah pergaduhan mereka.

 


Dan baru-baru ini perselisihan saudara dan Papagomo melibatkan Naib Canselor UiTM, Datuk Professor Dr Sahol Hamid Abu Bakar pula. Boleh saudara ulas tentang itu, dan kenapa saudara mempertahankan Datuk Sahol?


Sebenarnya saya hanya bertindak mempertahankan Datuk Sahol kerana dia merupakan naib canselor yang paling rapat dengan pelajar dalam sejarah UiTM. Bagi saya tidak pernah ada naib canselor yang begitu ambil tahu dan mesra dengan pelajar sebagaimana Datuk Sahol. Namun tindakan PapaGomo beserta beberapa blogger lain mengeluarkan surat sulit iaitu dokumen BPR yang telah lama berlalu, atas alasan mahukan penjelasan dari tuan punya badan bagi saya terlalu dangkal.


Cara papagomo mengeluarkan dokumen sulit bukanlah cara yang sesuai untuk dapatkan penjelasan. Sebaliknya tindakan beliau telah memperlihatkan seolah-olah Umno menyerang UiTM kerana dirinya dilabel sebagai blogger nombor satu pro-Umno. Portal pembangkang yang memulakan isu ini iaitu Malaysiakini pun tidak mengeluarkan surat dari SPRM kerana ianya sulit. Tetapi kenapa Papagomo keluarkan? Sebaliknya, dia patut bertindak profesional dengan menghubungi pihak UiTM sebelum mengeluarkan surat tersebut. Kerana tindakan tersebut bukan sahaja boleh mencemarkan imej dato sahol malah UiTM itu sendiri.


Tindakan mereka mendedahkan surat yang sudah 5 tahun berlalu sedangkan pada waktu itu isu tersebut boleh dianggap 'sejuk' sedikit sebanyak telah menjejaskan segala usaha Datuk Sahol untuk mengubah destini anak bangsa melayu. Saya itu saya  nasihatkan Papagomo supaya berhenti dari terus melakukan tindakan yang mungkin akan memberi tanggapan buruk kepada UiTM kerana universiti ini satu-satunya tempat untuk anak-anak melayu bumiputera belajar dan meneruskan survival bangsa.


Tindakan mereka memburukkan Datuk Sahol sebenarnya telah melemahkan emosi pelajar-pelajar UiTM yang menganggap Datuk Sahol umpama ayah kandung mereka.

 


Jadi, sudara mempertikaikan kerja-kerja yang dilakukan oleh Papagomo? Adakah begitu?


Tidak, saya dan rakan-rakan di UMB tidak pernah mempertikai kerja yang dilakukan gomo. Hasil kerja beliau dalam menyerang Pakatan cukup 'tip-top', sebaliknya kami di UMB yang selalu dipertikaikan contohnya dahulu saya diperlekehkan kerana tidak berada di kalangan top 20 blogger top pro BN, UMB dikatakan tidak menjalankan tugas dengan berkesan. Walhal pada hakikat sebenar kami di UMB bukan sekadar blogging dari kerusi empuk di rumah. Kami turun padang mendekati orang muda tetapi dalam melaksanakan tugas-tugas berkaitan politik ini sudah tentu tidak semua perkara perlu diceritakan atau ditulis dalam blog.

Tambahan. Para pemimpin perlu sedar dan buka mata bahawa ramai blogger yang jujur dan setia kepada perjuangan tetapi tidak diiktiraf peranan mereka. Jangan terlalu memanjakan segelintir blogger yang menganggap diri mereka ‘superstars’ sedangkan ramai blogger lain yang turut mempunyai pengaruh tersendiri.

 


Apakah saranan saudara?


Pemimpin jangan terlalu naif sehingga ranking dijadikan sandaran. Malah kerana terlalu mengejar ranking ada yang melabelkan blogger pro BN sebagai 'blogger lucah' kerana segelintir dari kami terlalu obses dalam memastikan mereka menduduki ranking yang tinggi. Selain itu ingin saya katakan kami di UMB juga tidak mengamalkan politik mengugut pemimpin demi meraih sedikit imbuhan. Tetapi , ini tidak bermakna kami tidak mampu untuk membuat tindakan tersebut. Kami sebuah entiti yang dilahirkan oleh parti mengutamakan perjuangan parti dalam segala tindakan kami.

 

Walaupun kami telah dilabelkan sebagai blogger baru yang gagal memahami bentuk peperangan alam cyber setiap kali saya bertindak menyanggah pendapat Gomo atau blogger bertaraf 'superstars'. Walhal jika dilihat Gomo sendiri pernah menghentam blogger-blogger otai seperti Rocky’s Bru, Big Dog dan lain-lain yang lebih lama berkecimpung dalam dunia blog jika dibandingkan dengan dirinya yang usianya sebaya saya. Mereka mahu semua orang bersetuju cara mereka, walhal dalam kancah politik setiap manusia mempunyai pandangan dan persepsi yang berbeza.

 


 
Dari segi identiti pula, saudara nampaknya lebih berani mendedahkan identiti berbanding dengan blogger-blogger tertentu. Adakah dengan cara ini, saudara rasa boleh mendatangkan impak yang lebih positif?


Ya, saya dedahkan identiti. Pendek kata saya blogger berwajah jika dibandingkan mereka. Ini bermakna saya lebih bertanggungjwb dlm setiap tulisan saya. Apa saya perlu takut untuk dedahkan wajah saya di blog. Saya tidak memfitnah mana-mana pihak, saya hanya melemparkan pendapat peribadi saya setiap kali saya mengkritik Pakatan.


Perlu diingatkan bahawa dalam dunia politik kita perlu matang. Kita tidak boleh jadikan perbezaan fahaman politik sebagai sebab untuk kita tidak berkawan atau bermusuh dengan mana-mana pihak ,hatta dia berfahaman pembangkang sekalipun. Malah, beberapa rakan saya juga dedahkan identiti mereka seperti 1Peluru,Keris7Lok,Mat Kilau Penang, Azmi APA dan BroJinggo, malah blogger otai seperti Rocky Bru, BigDog, Kickdefella (sekadar contoh) semuanya mendedahkan identiti. Namun, tujuannya bukanlah mencari kemasyuran , tetapi dengan identiti kami ditunjukkan setidaknya pembaca kami kenal dan tahu siapa kami. Malah kami lebih bertanggungjawab dengan setiap yang kami tulis.

 


Apakah komen saudara tentang gelaran yang telah dilemparkan seperti ‘balaci’ dan ‘pencacai’?


Tuduhan saya balaci Tun Faisal adalah sangat tak berasas dan langsung tidak tepat. Ya, Tun Faisal merupakan pengerusi UMB, maka secara otomatiknya menjadi dia bos kami. Tetapi ini bukanlah bermakna saya ini jenis manusia yang hanya tahu ‘Yes bos’ atau mengikut dengan membuta-tuli sahaja. Saya ingin tekankan bahawa jarang sekali Tun mengeluarkan arahan kepada kami lebih-lebih lagi dari segi penulisan artikel. Kami bebas mengemukakan pendapat kami malah saya sendiri selalu tidak sependapat dgnnya dalam sesetengah isu. Namun, hubungan kami dalam UMB umpama adik-beradik.


Segala masalah kami selesaikan bersama, dan alhamdullilah kami semakin hari semakin akrab. Tetapi selaku penulis yang bernaung di bawah entiti yang dilahirkan oleh sayap pemuda, setiap kali sebelum menulis tentang sesuatu isu saya perlu fikir serta kaji akan impak dan kesan mahu pun tempias yang bakal diterima oleh parti.

 

 

Boleh saudara berikan contoh?


Contohnya dalam kes National Feedlot Corporation (NFC) saya melihat terlalu banyak perkara yang bercanggah,saya memilih untuk tidak menghentam mahu pun menyokong, jika ada pun sekadar teguran sinis kepada pemimpin termasuklah jika sesuatu keputusan yang dibuat pemimpin tidak dipersetujui.

Selain itu, UMB juga telah berjaya menangkis isu Datuk Seri Jamil Khir yang telah dituduh menggelapkan wang zakat. Dalam usaha itu saya, 1Peluru,Keris7Lok,Medan Tempur Kedah, Angin Perubahan, PenaKSJ, Panglima Cyber serta rakan-rakan dari UMB yang lain berjaya menutup mulut pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hanya dalam tempoh satu hari sahaja.

Adakah kami masih tidak memberi impak? Selain itu, isu Mismah, IC Bangladesh, dan demonstrasi di UPSI saya juga berjaya membongkar identiti serta penipuan Pakatan sebelum dibantu oleh blogger-blogger lain. Adakah kami di UMB masih tidak memberi impak kepada perjuangan parti?

 


Dari pendedahan dan tangkisan yang dilakukan, pernahkah saudara diugut seperti sesetengah blogger lain?


Tidak pernah diugut, kerana saya hanya berhujah dalam melawan pembangkang. Malah di 901 saya masih boleh berborak bersama pengikut Anwar Ibrahim walaupun mereka tahu saya blogger pro-Umno. Pendek kata selagi tidak fitnah orang, insyaAllah tiada masalah. Dan, dalam berpolitik selagi kita menghormati pandangan orang lain walaupun berbeza ideologi tidak menjadi satu masalah.

 


 
Apakah nasihat saudara kepada blogger-blogger lain, terutama kepada yang pro-Umno atau BN?


Rasanya tidak layaklah blogger yang baru setahun jagung macam saya menasihati blogger-blogger lain lebih-lebih lagi mereka yang berusia dan lebih arif selok belok politik. Tetapi untuk semua blogger pro-Umno/BN, kita perlu bersatu atas satu perjuangan. Tak kiralah kita dari kumpulan mana sekalipun, kerana matlamat kita tetap sama iaitu mempertahankan agama, bangsa dan tanahair.

 


 
Sampai bilakah saudara akan meneruskan perjuangan saudara dalam membela kerajaan Umno dan BN?


Saya kerap berbincang bersama rakan-rakan mengenai hal ini. Malah saya pernah meluahkan hasrat kepada mereka untuk berhenti selapas sahaja BN memenangi pilihanraya yang ke-13. Namun, semuanya bergantung kepada situasi. Tapi selagi jari-jemari dan akal saya masih waras, insyaAllah perjuangan mempertahankan Umno dan BN akan saya teruskan walaupun bukan sebagai blogger.

 

 

 

- mD

 

 

 


 

Template Design Joomla