Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 2am

Kes William Yau: Nenek Mengaku Reka Cerita

PETALING JAYA: Nenek William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak yang mayatnya ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh pada Januari lepas, memberitahu Mahkamah Koroner beliau pernah bergaduh dengan bapa mangsa, Yau Kok Kang, kerana wang.  

Chee Chong Moi, 56, berkata pergaduhan itu berlaku setahun lepas kerana Yau, 33, enggan memberi wang kepadanya sehingga menyebabkan beliau mereka-reka cerita tidak benar berkaitan anaknya itu.

"Saya ada mengarut mengenai bapa William bahawa dia ada memukul kanak-kanak itu sehingga terpelanting ke dinding kerana sangat marah kepadanya," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, yang membantu Koroner Mohd Hezri Shaharil, pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William.

Mayat William, 6, ditemui 24 Jan lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Ketika disoal sama ada perkara itu dimaklum kepada polis, Chee berkata  beliau tidak pasti namun ada bercerita kepada emak dan adik lelakinya.

Bagaimanapun, saksi ke-19 itu berkata hubungan beliau dengan Yau sudah pulih dua atau tiga hari selepas kejadian serta menganggapnya pergaduhan biasa antara ibu dan anak.

Chee juga bersetuju dengan cadangan Koroner Mohd Hezri bahawa perbuatan mereka-reka cerita adalah sesuatu tindakan yang bersifat menipu.     

Ketika ditanya kali terakhir Yau pulang ke rumahnya di Melaka, Chee berkata beliau tidak ingat namun memaklumkan anak lelakinya itu ada berbuat demikian selepas kehilangan William.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam Goh Kim Lian bahawa beliau tidak pernah melihat Yau memukul William atau mana-mana anaknya sehingga tercampak ke dinding.

Chee yang pernah tinggal bersama keluarga Yau di Kuala Lumpur selama dua bulan juga bersetuju bahawa Yau ada memukul anaknya dengan rotan untuk mendisiplinkan mereka.

Terdahulu, pekerja kedai elektrik On King iaitu Wong Wai Loon, 33, berkata ketika kejadian, palang besi yang menutup satu daripada enam longkang sedalam dua meter serta berkeluasan kira-kira semeter persegi di padang berhampiran kedai itu terbuka sebahagian.

Menjawab soalan Lee, saksi ke-18 itu berkata keadaan dasar longkang pada masa itu kering, dan jarak antara padang dengan kedai adalah kira-kira 10 meter.

"Saya menyuluh ke dalam longkang itu menggunakan lampu telefon bimbit saya, ketika itu keadaan dasar longkang kering dan saya boleh melihat permukaan longkang dengan jelas," katanya sambil menambah beliau turut membantu bapa mangsa mencari kanak-kanak itu.

Ditanya sama ada beliau ada melihat kesan darah pada longkang atau kawasan sekelilingnya, Wong menjawab tiada.

Prosiding inkues bersambung esok.

 

 

 

- Bernama