Thu08242017

LAST_UPDATEThu, 24 Aug 2017 10am

Kesihatan Sultan Pahang Semakin Pulih - Tengku Abdullah

ROMPIN: Rakyat jelata tidak perlu bimbang dengan keadaan kesihatan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang kini dikhabarkan kurang sihat.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, keadaan kesihatan ayahandanya kini semakin baik setelah mendapatkan rawatan daripada doktor peribadi dan rehat yang secukupnya.

"Alhamdulillah semuanya sudah selamat...baginda telah menjalani pemeriksaan kecil perubatan dan kini dalam perjalanan untuk mendapatkan 'second opinion' (pandangan kedua mengenai kesihatan baginda) di UK (United Kingdom).

"Rakyat tidak perlu bimbang (dengan kesihatan Sultan) dan saya harap rakyat terus mendoakan baginda terus sihat," titahnya.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Teluk Gading, Tanjung Gemuk, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Ahmad Shah dilaporkan tidak sihat ketika sedang menyampaikan pingat dan darjah kebesaran sempena hari ulang tahun baginda yang ke-82 kepada penerima-penerima pingat di Istana Abu Bakar, Pekan, Sabtu lepas.

Sementara itu, Tengku Abdullah meminta kerajaan negeri dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji secara holistik sistem perparitan yang menjadi punca banjir di kawasan Rompin.

Katanya langkah itu perlu bagi menjaga tanaman padi agar tidak musnah dan mengelak kediaman pesawah dinaiki air ketika bencana banjir melanda kawasan berkenaan.

"Dari apa yang saya perhatikan perkara yang sama berlaku tiap-tiap tahun. Sudah sampai masanya JPS mengkaji semula secara holistik punca-punca banjir bagi menjaga tanaman padi agar tidak musnah oleh faktor-faktor tertentu," titahnya.

Hampir 300 mangsa banjir daripada 76 keluarga daripada tujuh buah kampung di Rompin terpaksa dipindahkan di tiga buah pusat pemindahan di daerah ini berikutan rumah mereka dinaiki air sejak pagi semalam.

Kampung yang terjejas adalah Kampung Kurnia, Kampung Setajam, Kampung Sarang Tiong, Kampung Mentara, Tanjung Gemok, Kampung Perepat dan Kampung Janglau.

- Bernama