Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 2am

Penangan K-Pop: Lelaki Mahu 'Jelita'

Ritz ditemuramah wartawan. Pic: Harian MetroRitz ditemuramah wartawan. Pic: Harian MetroKUALA LUMPUR: Membuat dagu terbelah dan runcing, memancungkan hidung, membetulkan tulang pipi serta mengambil suntikan vitamin C supaya kulit muka lebih cerah.

Jika dulu semua rawatan perubatan kosmetik itu hanya dilakukan wanita, kini ia turut dipraktikkan segelintir lelaki di Malaysia.

Pengaruh fenomena K-pop dipercayai turut menjadi faktor penyumbang kepada perkembangan terbaru ini hingga ada lelaki terbabit sanggup berhabisan ribuan ringgit bagi mendapatkan wajah idaman persis penyanyi dan pelakon Korea.

Malah, ada juga yang bertindak lebih drastik dengan melakukan pembedahan menyedut lemak di dada, perut dan paha bagi mendapatkan susuk tubuh menarik supaya lebih sesuai dengan bentuk wajah yang diubah.

Disebabkan kos untuk mengubah raut wajah dan susuk tubuh memakan belanja besar, ramai dalam kalangan ‘lelaki jelita’ itu menerima rawatan di pusat kecantikan dan bukan klinik pengamal perubatan kosmetik bertauliah.

Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Ritz, 27, berkata dia sudah membelanjakan lebih RM10,000 bagi mengubah suai wajahnya termasuk melakukan dua kali pembedahan, satu daripadanya di negara jiran.

Ritz berkata, dia terpengaruh untuk melakukan pembedahan kosmetik apabila menemui seorang rakan lama yang berwajah biasa namun menjadi model selepas berhabis ribuan ringgit untuk membetulkan beberapa bahagian muka.

"Sayan nak sangat memiliki hidung kecik dan mancung, kulit putih serta tulang pipi tinggi seperti model dalam majalah. Keinginan itu mendorong saya nekad melakukan pembedahan bagi mengubah wajah," katanya.

Melihat raut wajahnya kini, nyata Ritz memiliki apa diidamkannya kerana mukanya tidak ubah seperti artis K-pop, terutama pada kulit putih bersih serta dagu runcing, hasil pembedahan dilakukan.

Malah, Ritz mengakui dia suka melihat artis K-pop yang kacak serta kerap melayari Internet bagi mengikuti kisah mereka yang diketahui ramai melakukan pembedahan plastik.

Ritz berkata, pada mulanya dia hanya membuat dagu menjadi bentuk 'V' dengan harga RM80 dan mencerahkan kulitnya dengan harga sama di sebuah klinik di pusat kesihatan di Puchong.

"Tapi, biasalah manusia mana pernah puas. Selepas itu, saya mula mengumpul wang untuk mengubah rahang, gigi dan hidung. Syaa melakukannya di sebuah klinik di Thailand kerana kosnya lebih murah," katanya.

Menurutnya, bagi mencantikkan hidung, bayaran yang dikenakan ialah RM1,500, rahang pipi (RM1,000), menjadikan kelopak mata lebih besar (RM200), bibir (RM200) dan gigi (RM200).

"Untuk mencerahkan kulit saya membelanjakan RM1,000 dan akhir sekali, saya mencantikkan semula dagu supaya bersesuaian dengan wajah dengan kos RM200," katanya.

Ritz berkata, tiada kos penambahan penjagaan selepas pembedahan dilakukan, namun mereka perlu 'membaiki' semula bahagian tertentu jika terdapat masalah.

"Bagi memastikan kulit terjaga, saya juga makan pil dan mencucuk pemutih dua kali sebulan dengan kos RM80 sekali cucuk. Setakat ini, saya berpuas hati dengan hasil kerja doktor yang melakukan pembedahan plastik terhadap wajah saya," katanya.

Menurut Ritz, dia kini 'memborong' produk pemutih dibeli daripada negara jiran oleh rakan golongan mak nyah dengan harga RM80 hingga RM180 dan membawa bahan itu ke klinik sebelum membayar RM10 untuk upah suntikan.

Anak tunggal ini berkata, dia tidak menyesal melakukan pembedahan plastik, malah tidak menolak kemungkinan untuk melakukan suntikan botoks jika sudah bertambah usia.

Bagi lelaki jelita yang mahu dikenali sebagai Lutfi, 26, berkata, selain melakukan pembedahan kosmetik pada wajah, dia turut menjalani pembedahan menyedut lemak di dada, perut dan peha.

Menurutnya, pembedahan itu dilakukan untuk mendapatkan susuk tubuh menarik serta kelihatan lebih gagah sesuai dengan bentuk wajah yang diubah.

Sebelum ni  saya sedikit gempal dengan perut buncit. Namun selepas melihat kawan-kawan berjaya mendapatkan bentuk badan menarik dalam masa singkat, saya tanpa ragu melakukan pembedahan di Thailand.

"Saya langsung tak menyesal dengan apa saya lakukan, malah bangga kerana ramai kawan memuji perubahan bentuk badan saya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi 'lelaki jelita' yang mahu dikenail sebagai Aaron, 23, berkata, setakat ini, dia melakukan pembedahan bagi meruncingkan dagu dan mengambil ubat untuk pencerahan kulit.

Dia yang baru menamatkan pelajaran di sebuah universiti tempatan berkata, sejak berusia 14 tahun dia menjaga pemampilan kerana jiwanya lembut dan lebih bersifat kewanitaan.

"Ketika berusia belasan tahun saya memakai pencuci, pelembap serta pencerah muka. Selepas masuk kolej, saya berkawan dengan mak nyah, jadi saya tahu bagaimana menjadi lebih cantik untuk mengejar teman lelaki kaya dan kacak.

Risiko Bancuh Ikut Piawaian Sendiri

‘LELAKI jelita’ yang menyuntik bahan tertentu pada muka dengan harapan muka mereka menjadi lebih cantik berisiko mendapat kesan berbeza daripada diinginkan kerana bahan digunakan selalunya tidak mengikut piawaian ditetapkan.

Pakar kecantikan yang juga Pengasas Thalia Clinic, Dr Shaharom Sulaiman berkata, ini disebabkan ada pakar kecantikan tidak bertauliah yang membancuh sendiri bahan berkenaan selepas membelinya secara pukal untuk menjimatkan belanja. “Bahan yang disuntik pada wajah dinamakan ‘filler’. Ia ada kepekatan berbeza untuk disuntik di muka yang berbeza.

“Masalahnya, ada individu yang kononnya digelar pakar kecantikan menggunakan filler yang dibancuh sendiri di rumah dan tidak mengikut piawaian.

“Ini kerana mereka mendapat bahan itu dalam bentuk serbuk. Akibat tersalah dos, bagi mereka yang hendak hidung mancung, hidung mereka akan leper dan kekal cacat.

“Selain itu, ada juga yang mengalami kesan sampingan seperti jangkitan kuman yang menyebabkan bahagian muka disuntik berkudis dan bernanah,” katanya.

Menurutnya, harga filler adalah RM1,500 hingga RM5,000 bergantung kepada prosedur dan kuantiti filler yang digunakan.

“Kalau ada pakar kecantikan cuma kenakan bayaran RM10 untuk satu suntikan, ada kemungkinan ia dibancuh sendiri di rumah. Ada juga kes di mana mencucuk minyak bayi ke muka pelanggan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika seseorang itu membuat pembedahan dengan doktor yang berkelayakan, kesan negatif yang dialami sangat minimum kerana ia dilakukan mengikut prosedur.

Haram Ubah Fizikal Sudah Sempurna

“ALLAH melaknat dan melarang lelaki atau perempuan yang mengubah ciptaan-Nya, jika fizikal mereka sudah sempurna, ” kata pendakwah, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Beliau berkata, pembedahan untuk mengubah wajah atau anggota badan diharuskan dalam syarak hanya apabila seseorang itu dilahirkan dalam keadaan fizikal yang cacat seperti sumbing, cedera teruk akibat kemalangan dan jika seseorang itu malu kerana kecacatan dialami. “Pembedahan dilakukan selain daripada itu, hukumnya haram. Jika fizikal mereka sudah sempurna, tapi mengubahnya, ia ibarat tidak mensyukuri pemberian Allah.

“Orang yang melawan perintah Allah tidak akan dan tidak pernah menang. Mengubah diri menjadi semakin cantik maknanya kita tidak reda dengan pemberian-Nya,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya, ikon dalam hidup kita ialah Nabi Muhammad bukan artis K-pop atau orang lain.

“Sekarang ini pemuda-pemudi hilang ikon atau contoh terbaik diikuti, jadi mereka cepat meniru orang yang tidak sepatutnya.

“Mereka harus sedar kecantikan tidak bertahan lama kerana biar apa jua dilakukan setiap manusia pasti akan tetap dimakan usia,” katanya.

- Harian Metro

http://www.hmetro.com.my/articles/Hargalelakimahu_jelita_//Article