Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Tindakan Dap Panjangkan Isu Pemilihan Cec Bermotifkan Politik : Khairy

Khairy JamaluddinKhairy JamaluddinPETALING JAYA: Keputusan DAP untuk membuat pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas begitu lama diarahkan berbuat demikian menunjukkan parti itu sengaja mahu mempolitikkan isu itu sebelum ini, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Walaupun ia keputusan yang betul, beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa perkara itu dipanjangkan.

"Malah perkara ini dijadikan isu untuk simpati orang ramai sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi tetapi akhirnya akur juga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertandingan Dasar Awam Malaysia (MPPC) di sini, hari ini.

Pada 30 Julai lepas, Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan DAP perlu mengadakan pemilihan semula CECnya selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh DAP berhubung dakwaan penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan parti itu 15 Dis lepas.

Namun begitu, parti itu sebelum ini berulang kali mempertahankan bahawa pemilihan berkenaan telah diadakan secara bersih dan kesilapan yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal.

Semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh dalam satu kenyataan, berkata DAP akan mengadakan pemilihan semula CEC bagi mengelakkan pendaftaran mereka dibatalkan.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan melahirkan kekecewaannya terhadap senario politik negara yang menurutnya pada kebanyakan masa, tidak mengutamakan dasar awam, sebaliknya hanya politik semata-mata.

Menekankan bahawa politik dan dasar awam tidak patut dipisahkan, beliau berharap pada masa hadapan senario politik negara lebih kepada 'bukti' dan 'berdasarkan empirikal'.

"Kita terlalu banyak bagi ruang untuk emosi dan politik. Saya percaya ianya bagaimanapun boleh diatasi dalam masa panjang sekiranya masyarakat lebih matang dan memandang kepada dasar awam lebih daripada politik dan personaliti politik," katanya.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Khairy berharap selaras dengan isu yang dibawa, peserta yang terdiri daripada golongan muda dapat menjana idea kreatif dalam membantu kerajaan.

Pertandingan tiga hari bermula hari ini dengan membawa isu 'Brain Drain' itu disertai 80 pelajar Malaysia dari universiti-universiti seluruh dunia yang memerlukan mereka melakar draf dasar awam mengenai isu pertandingan seterusnya membentangkannya.



- Bernama