Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 9am

[KEPUTUSAN] PAS Kekalkan Kerusi DUN Sungai Limau N20

PAS Menang PRK Sungai Limau Dengan Majoriti 1,084 Undi

 

Pic:The Sun DailyPic:The Sun Daily

YAN: PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau -N20 dengan jumlah undi sebanyak 12,069 mengalahkan BN sebanyak 10,985 dengan majoriti 1,084 undi.









Namun begitu, majoriti yang diperoleh PAS dalam PRK kali ini adalah kurang berbanding 2,774 undi majoriti pada PRU13.

Terdahulu, seramai 23,249 pengundi (85.5%) telah turun menjalankan tanggungjawab di 17 pusat pengundian dibuka seawal 8 pagi tadi hingga 5 petang sebaik sahaja pusat pengundian ditutup.

PRK Sungai Limau menyaksikan persaingan antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi dan Mohd Azam Abdul Samat dari parti PAS.

Kerusi N20 telah dikosongkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dari parti PAS. Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah memenangi kerusi DUN itu pada PRU 2008.

DUN Sungai Limau mencatatkan seramai 27,222 pengundi yang meliputi 25,323 atau 93.02% Melayu, 1,842 atau 6.76% Cina, 15 atau 0.055% India dan 42 atau 0.15% terdiri daripada lain-lain kaum.




-mD 


Keputusan PRK Sungai Limau N20

YAN: Calon Pas, Mohd Azam Abd Samat menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim  dengan majoriti 1,084 undi pada  PRK Dun Sungai Limau.

Mohd Azam, 37, mendapat 12,069 undi dan Ahmad Sohaimi, 52, mendapat 10,985 undi, umum Pegawai Pengurus PRK Abdul Rashid Othman di SMK Agama Yan, Kedah malam ini.


1. Ahmad Sohaimi Lazim (BN)................... 10,985 undi

2. MOHD AZAM ABDUL SAMAT (Pas)................ 12,069 undi


    
Jumlah pengundi....................... (23,249)

Peratus............................ (85.5%)

Undi ditolak................... 145 undi   

Majoriti............................. 1,084 undi

    
Penyandang: Tan Sri Azizan Abdul Razak: Pas

Undi diperoleh: 2013: 13,294

Majoriti: 2,774





 - Bernama

 

 

YAN: Polis Kedah mengesahkan menerima laporan kes berhubung Ketua Wanita UMNO cawangan Bandar Baru Sentul (1C), Norsidah Abu Bakar yang didakwa ditumbuk penyokong PAS ketika merayu undi di depan Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, di sini, hari ini. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata polis menerima laporan yang dibuat Ketua Wanita UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Azizah Abdul Samad dan mangsa, pada jam 11 pagi ini.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 354 kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, di sini, hari ini.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi tadi di mana wanita itu ditumbuk di bahagian muka. Kita sedang usaha kesan siapa yang melakukan perkara ini dan wanita itu telah dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Yan," katanya.

Ahmad meminta penyokong kedua-dua parti supaya mematuhi arahan polis dan nasihat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berjalan lancar.

"Polis akan sentiasa bantu SPR supaya mereka tidak dikasari mana-mana penyokong semasa menjalankan tugas. Polis sedaya upaya sentiasa pastikan keadaan terkawal di kesemua 17 pusat pengundian," katanya.

Sementara itu, Norsidah, 50, yang juga anggota Jawatankuasa Wanita Bahagian Batu berkata, beliau bersama perayu undi Barisan Nasioanl (BN) lain yang tiba lebih awal mengambil tempat di kawasan berhadapan sekolah itu.
Mereka kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki dari PAS yang menyuruh mereka beredar dengan alasan tempat berkenaan milik mereka, katanya.

"Disebabkan keengganan kami (untuk beredar setelah didesak oleh kumpulan lelaki itu), maka mereka bertindak kasar hingga polis terpaksa mententeramkan keadaan.

"Tiba-tiba seorang lelaki berusia 30an menumbuk bahagian mata saya dengan tangannya yang dibaluti bendera PAS. Akibat tumbukan kuat itu, saya terus rebah dan hampir pitam," katanya.

Beliau kemudiannya dibawa untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Sedaka berhadapan sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Yan untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Doktor menyuntik ubat tahan sakit dan menasihatkan saya supaya kembali ke hospital jika mata saya masih berdenyut dan sakit dalam masa 24 jam ini," katanya yang sembilan hari berada di sini untuk berkempen bagi meraih undi di DUN Sungai Limau.





-Bernama



Kerajaan komited terus bangunkan Sungai Limau - Shafie



YAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin kebijaksanaan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu dapat dizahirkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, hari ini. 

"Saya yakin pengundi di Sungai Limau dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik kerana rakyat di negeri ini sudah bijak seperti pilihan raya umum lalu yang mana mereka memilih Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah di peringkat negeri," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di sekitar Sungai Limau di sini, sebentar tadi.

Beliau yang kerap turun pandang membantu jentera BN di Sungai Limau sejak 23 Oktober lalu berkata, walaupun terdapat provokasi oleh segelintir penyokong di luar pusat mengundi, namun secara keseluruhan proses membuang undi dilihat berjalan dengan lancar dan baik.

"Kita sudah tunaikan amanah dan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, yang penting kini terpulang kepada pengundi Sungai Limau untuk memilih wakil rakyat yang boleh membela nasib mereka.

"Kita yakin dengan calon yang ada ini (Dr Ahmad Sohaimi Lazim), beliau mampu menyelesaikan masalah dan menjaga kebajikan penduduk Sungai Limau," katanya.

Beliau juga membidas pihak pembangkang yang hanya tahu mencetuskan kontroversi dan membangkitkan isu lapuk sepanjang 12 hari berkempen di Sungai Limau.

"Kita sudah buat macam-macam, bukan macam pembangkang yang hanya tahu bangkitkan harga barang naik. Mereka hanya pandai bercakap, tetapi macam mana nak mengatasi masalah seperti masalah pengangguran langsung mereka tidak atasi.

"Barang naik, kita bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM)..Harga buku naik kita bagi baucar buku dan bantuan untuk anak-anak yang bersekolah. Itu penyelesaiannya. Inilah kepimpinan yang harus menjadi pilihan kepada rakyat, bukan hanya pandai cakap dan ceramah di merata-rata," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, kerajaan akan terus memberi fokus kepada pembangunan di Sungai Limau sekiranya BN gagal merampas kerusi itu.

"Dah kerja kita bantu rakyat... sesiapa yang perintah pun kerajaan akan tetap buat kerja. Namun sekiranya diberi peluang di kawasan ini, kita akan melipat gandakan lagi pembangunan khusus untuk kemudahan penduduk di sini.

"Kita akan bagi keutamaan seperti kemudahan asas. Ini bukan janji semata-mata, ini janji yang kita akan terus lakukan. Pembangkang perintah lebih 10 tahun pun tak buat apa-apa...buat jalan, api dan air di sini pun kita yang buat," katanya.




-Berita Harian




 55 peratus keluar mengundi sehingga 12 tengah hari



YAN: Sehingga 12 tengah hari tadi, 15,046 orang atau 55 peratus daripada 27,222 pemilih sudah keluar mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.


Angka itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), di sini.



- Berita Harian



Insiden tumbuk jejaskan 'mood' mengundi


YAN: Pengerusi Badan Perhubungan BN Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kesal apabila menerima laporan seorang petugas BN dicederakan oleh ahli Pas dalam insiden yang tidak diduga pagi tadi.

Katanya, walaupun pada awal hari, pengundian berjalan lancar namun insiden malang itu sedikit sebanyak telah mencemari dan menjejaskan 'mood' pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Petugas wanita BN telah ditumbuk ahli Pas pagi tadi dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku sedang berkempen pun berakhir dengan aman tanpa kacau bilau.

"Kita akan pastikan kes ini dapat perhatian pihak berkuasa supaya tidak jejaskan mood rakyat untuk keluar mengundi," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di sini, pagi tadi.



-Sinar Harian



Sasaran 90 peratus pemilih keluar mengundi cerah - Pengerusi SPR



YAN: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin sasaran 90 peratus pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau dapat dicapai.

Beliau berkata, ia berdasarkan peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab sehingga jam 10 pagi tadi yang memberangsangkan, di samping faktor cuaca baik.

"Kita yakin kalau ini berterusan dan pengundi tidak diganggu untuk keluar mengundi, peratusan pengundi yang membuang undi lebih besar daripada 89 peratus yang dicatatkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Dulang, di sini, sebentar tadi.




-Berita Harian


30.4 Peratus Keluar Mengundi Sehingga 10 Pagi


Sebanyak 30.4 peratus atau 4,210 orang daripada 27,222 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau mengundi bagi Pilihan Raya Kecil DUN itu sehingga 10 pagi ini.

Daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Sungai Limau, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.


-Bernama


14.43 Peratus Keluar Mengundi Sehingga 9 Pagi



YAN: Sebanyak 14.43 peratus atau 3,927 orang daripada 27,222 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau selesai mengundi bagi pilihan raya kecil DUN itu sehingga 9 pagi ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata peratusan keluar mengundi yang melebihi 10 peratus pada sejam pertama adalah sangat baik.

"Pemilihan 4 November (hari ini) sebagai hari mengundi adalah terbaik kepada semua," katanya menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa SPR tidak memikirkan pengundi yang bekerja atau tinggal di luar kawasan DUN itu.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula berkata proses mengundi hari ini berjalan lancar.




- Bernama




Kedua- Dua Calon PRK Dun Sungai Limau Selesai Mengundi


YAN:
Kedua-dua calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau selesai mengundi pagi ini. 

Calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan isteri mengundi di Sekolah Kebangsaan Dulang di sini pada 8.47 pagi manakala Mohd Azam Abd

Samat daripada PAS selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar pukul 8.30 pagi. 

Sehingga 9 pagi ini, perjalanan PRK lancar dengan polis mengawal lalu lintas di 17 pusat mengundi dan kawasan sekitarnya. 

Para pengundi mula memenuhi pusat mengundi sejak 7 pagi manakala penyokong kedua-dua parti turut berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada

parti masing-masing. 



- Bernama



Calon PAS Mengundi Di SK Bukit Besar


YAN: Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat membuang undi pada jam 8.30 di saluran 4 Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar bagi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau hari ini.




- Berita Harian

 



Calon BN Mengundi Di SK Dulang


YAN: Calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Dulang di sini, tepat jam 8.40 pagi tadi bagi membuang undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau yang segak berbaju Melayu biru, sempat bersalaman dengan pengundi setempat sambil ditemani isteri sebelum masuk membuang undi. Bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sulan Idris (UPSI) itu ditentang calon PAS, Mohd Azam Abd Samat yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar di sini.




- Berita Harian


 

Semua 17 Pusat Undi Mula Dibuka 8 Pagi


YAN:
 Pengundi mula beratur seawal jam 7.30 pagi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Dulang di sini untuk membuang undi pada jam 8 pagi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Tinjauan BH Online mendapati, oroses membuang undi itu berjalan lancar dalam cuaca baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Beberapa peraih undi setiap parti yang bertanding dilihat cuba meraih undi orang ramai pada saat-saat akhir di luar pusat mengundi.

Keadaan trafik di Pekan Yan juga dilihat lancar dan terkawal namun sedikit perlahan di beberapa jalan utama di sepanjang pusat mengundi di sini.

Bagaimanapun keadaan itu dijangka kembali reda apabila pengundi yang bekerja selesai membuang undi dan masuk bekerja selepas jam 9 pagi.

Seramai 499 pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 116 anggota polis serta 58 ketua tempat mengundi (KTM) terbabit pada proses pengundian ini, yang membabitkan 58 saluran dan 17 tempat mengundi bagi membolehkan 27,222 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat-pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Buloh; SK Sungai Dedap; Sekolah Menengah Agama Nahdzah; SK Bukit Besar; SK Simpang Tiga Sungai Daun; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Min; SK Haji Kassim Jasin; SK Sungai Daun Tengah; SK Sungai Limau; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Limau.

SK Sungai Kering; SK Ulu Sedaka; SMK Batu 17, Padang Lumat; SK Padang Lumat; SJKC Pei Hwa Batu 17, Gurun; SK Dulang dan SMK Dulang.

Semua pusat pengundian akan ditutup pada 5 petang ini dan pengiraan undi dijangka bermula 6 petang di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini.

Terdahulu, SPR menjangkakan keputusan PRK DUN Sungai Limau akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam ini.

DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan Mohd Azam Abd Samat dari PAS.



-Berita Harian