Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

'Apa Salah Saya' - Marina Mahathir

Marina ketika membawa bunga di perkarangan gereja Katolik 'Our Lady of Lourdes' di Klang beberapa hari lalu. Pic:  siemens-melayumaju.blogspot.com Marina ketika membawa bunga di perkarangan gereja Katolik 'Our Lady of Lourdes' di Klang beberapa hari lalu. Pic: siemens-melayumaju.blogspot.com "SAYA hanya pergi ke sana (gereja) untuk meredakan perasaan takut di kalangan kita berkenaan isu ini, apa salah saya?" luah aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir.

Marina berkata demikian kerana kesal dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau bersetuju dengan pengunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam dan mereka menggelarkannya sebagai pergerakan Islam liberal.

Kelmarin, tindakan anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyertai perhimpunan di perkarangan gereja Katolik 'Our Lady of Lourdes' di Klang dikecam hebat oleh orang ramai khususnya orang Islam.

Namun katanya, perbuatan itu hanya berniatkan untuk 'make peace' (berdamai) dengan kawan-kawan yang beragama Kristian supaya tiada lagi pertelingkahan selepas ini.

"Mengapa perkara ini dijadikan isu? Saya datang untuk memberikan sokongan moral dan bawa bunga tanda ikhlas untuk berbaik dengan penganut Kristian," luahnya kepada mD.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, selain daripada membawa bunga, Marina turut mempertahankan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald meskipun pihak berkuasa agama dan mahkamah menghalang tindakan tersebut.

Tindakan Marina disifatkan sebagai mencetus kontroversi atau sengaja mahu mencari publisiti murahan dan dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan yang mengecam tindakan Jais.

Isu Kalimah Allah mengundang kemarahan banyak pihak. Filepic: antarapos.comIsu Kalimah Allah mengundang kemarahan banyak pihak. Filepic: antarapos.comMenjelaskan perkara itu, Marina menegaskan tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dianggap keterlaluan apabila bertindak kasar dengan merampas kitab- kitab milik penganut Kristian.

"Ada cara yang lebih baik untuk menangani isu ini. Tindakan JAIS yang merampas kitab-kitab itu tidak betul... ianya adalah dengan cara kasar. Apa yang akan anda rasa jika orang lain merampas kitab suci anda," soalnya dengan penuh kesal.

JAIS sebelum ini pernah membuat serbuan terhadap pejabat Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim, Petaling Jaya, dan merampas lebih daripada 300 kitab Injil (Bible) berbahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pemimpinnya.

Sementara itu, Brian Yap, 30, menyifatkan tindakan JAIS itu tidak adil kerana ianya dianggap satu bentuk kekerasan terhadap penganut kristian.

Brian yang juga seorang penganut agama Kristian berkata, JAIS juga harus menghormati gereja sama seperti rumah ibadat yang lain di Malaysia.

"Perlembagaan kita membenarkan kebebasan beragama dan secara peribadi, saya merasakan bahawa JAIS juga perlu menghormati kami sama seperti penganut agama Islam yang lain.

Tambahnya lagi, dalam konteks lain, penganut agama Kristian perlu faham bahawa isu ini tidak akan berlanjutan sekiranya (Father Lawrence) tidak membangkitkannya.

Sebelum ini, Father Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun JAIS telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Jelas Brian, beliau berharap agar isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan kedua-dua agama berkaitan.

"Ini akan menjejaskan imej agama Kristian dan Islam sekiranya perkara ini berterusan serta dikhuatiri akan menjadi lebih sensitif," katanya.

Susulan daripada kejadian itu, Wira Perkasa Malaysia (Perkasa) semalam mengutuk sekeras - kerasnya tindakan Marina Mahathir yang dikatakan mempertahankan penganut - penganut Kristian dalam perhimpunan bagi menunjukkan solidariti bersama mereka.

Sekadar gambar hiasan. Pic: www.malaysia-chronicle.com Sekadar gambar hiasan. Pic: www.malaysia-chronicle.com Mohamad Syafiq Iqbal Mohamed, 25, pula berpendapat tindakan JAIS itu dianggap tepat pada masanya bagi membanteras penyebaran kitab yang boleh mengelirukan umat Islam dan mungkin akan menyebabkan terpesongnya akidah mereka.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 11, Fasal (1) ada mengatakan 'Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya' selagi tertakluk kepada Fasal (4) dimana 'Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam'.

"Penggunaan kalimah Allah dalam Injil (Bible) dianggap tidak boleh apabila Mahkamah Rayuan melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald, daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Malah katanya dalam Perkara 11 (3) tiap-tiap kumpulan agama berhak untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri bermaksud sama seperti yang dilakukan oleh JAIS.

"Apa yang JAIS lakukan adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan, malah dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 juga ada ditegaskan bagi mengelakkan kekeliruan agama di kalangan umat Islam.

"Bagi saya, Jais mempunyai kuasa untuk membanteras pergerakan yang boleh memesongkan Islam. Mereka buat begitu untuk melindungi agama Islam! Apa yang salah!" tegasnya.

Bagaimana pun, bagi Deepika A/P Padukum, 26, perbincangan antara kedua-dua tokoh agama (Islam dan Kristian) merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini.

"Setahu saya, isu ini telah lama diperkatakan dan keputusan mahkamah juga sudah ada namun ianya tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Sebagai penganut Hindu, saya juga mahu semua orang bersatu."

Jelasnya, pemimpin juga harus memainkan peranan untuk memberikan penerangan kepada masyarakat berkaitan isu ini tanpa menyelitkan unsur politik.

Tambah Deepika, isu kalimah Allah adalah satu isu yang sensitif dan seharusnya ada perasaan hormat sesama agama.

Perpaduan nasional. Pic: bm.malaysia-chronicle.com -Perpaduan nasional. Pic: bm.malaysia-chronicle.com -"Mereka seharusnya 'walk the talk' (mengotakan janji) untuk menenangkan orang-orang Islam dan Kristian, dan cakap dengan jujur supaya mereka faham situasi sebenar isu ini tanpa ada perbalahan kelak," jelasnya.

Menurut laporan sebuah portal semalam, mesyuarat pertama Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) membuat pendirian menyesali serbuan JAIS ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM) kerana ianya melanggar penyelesaian 10-perkara yang dibuat oleh Putrajaya dengan penganut Kristian sebelum ini.

Sehubungan itu, MPPN mendesak Putrajaya untuk memastikan semua pihak mematuhi penyelesaian 10-perkara yang dibuat pada April 2011.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, Putrajaya juga perlu mengambil tindakan segera terhadap isu perpaduan nasional kerana ia menjadi isu penting ketika ini.

"Kami juga menuntut pemimpin daripada semua parti politik untuk memastikan tindakan sedemikian tidak berulang supaya tidak ada lagi ketegangan antara kaum dan agama di negara ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kuala Lumpur hari ini.

Samsudin merujuk kepada tindakan JAIS pada 2 Januari lepas yang menyerbu pejabat PBM dan merampas lebih 300 Injil (Bible) versi bahasa Melayu dan Iban.

MPPN merupakan satu badan pelbagai pihak yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menjaga kepentingan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

 

 

-mD