Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

15,000 Unit Rumah PR1MA Di Pahang Dijangka Siap Sepenuhnya

PRIMAPRIMAKUANTAN- Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menyediakan 15,000 unit rumah untuk rakyat Pahang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2017, lebih awal daripada sasaran asal pada tahun 2018.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan tidak menyangka dalam masa setahun pembangunan 13,000 unit rumah mampu milik telah dilaksanakan dengan ada di antara unit-unit kediaman itu sedang dalam pembinaan atau telah disiapkan.

"Ketika PRU-13 lepas, Barisan Nasional (BN) berjanji akan menyediakan 15,000 rumah PR1MA Pahang untuk rakyat dalam masa lima tahun sekiranya BN mendapat mandat memerintah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek PR1MA di Kilometer 23, Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini hari ini.

Katanya, berharga RM150,000 dengan keluasan binaan 93 meter persegi atau 1,000 kaki persegi setiap unit, PR1MA menawarkan rumah mampu milik dan selesa kepada golongan sasaran iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah sebulan.

Projek yang melibatkan pembinaan 308 unit rumah teres setingkat dengan tiga bilik dan dua bilik air di atas tapak seluas 21.8 hektar itu adalah antara 29 projek PR1MA di seluruh negeri dengan keseluruhan kawasan seluas 668 hektar.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pembinaan projek PRIMA tambahan selepas 15,000 unit rumah itu siap sepenuhnya bagi menampung permohonan tinggi rakyat Pahang untuk memiliki rumah PR1MA.

 

 

- Bernama