Thu10232014

LAST_UPDATEThu, 23 Oct 2014 9am

Guru Ditipu Ejen

Gambar HiasanGambar HiasanPUCHONG: Hasrat seorang guru tuisyen mendapatkan khidmat pembantu rumah lebur apabila dia ditipu ejen pekerja asing.

Mangsa, Wong Yee Cheng, 34, berkata, dia diperkenalkan ejen wanita berusia lingkungan 40-an oleh seorang rakan sebelum bersetuju mengambil seorang pembantu rumah warga Indonesia, Januari lalu.

Perbincangan dan penyerahan dokumen diadakan di rumah ejen itu di Puchong yang dijadikan sebagai pejabat. Yee Cheng membuat bayaran sebanyak RM14,500 dan membawa  pembantu berkenaan pulang.

Dalam perbincangan, ejen memberitahu pembantu rumah itu hanya mempunyai visa pelancongan tetapi boleh bertukar menjadi permit kerja dalam tempoh empat bulan.

Permohonan permit kerja pula sudah dihantar ke Jabatan Imigresen Putrajaya dan dalam proses untuk diluluskan.

“Tunggu dari bulan ke bulan, tiada apa-apa berita mengenai permit kerja, bila hubungi ejen dia kata kena tunggu,” katanya.

Curiga dengan jawapan dolak-dalik ejen, Yee Cheng kemudiannya merujuk Jabatan Imigresen Putrajaya dan terkejut apabila diberitahu tiada sebarang permohonan permit kerja untuk pembantu rumah itu diterima.

Disebabkan takut ‘menyimpan’ pembantu rumah secara haram, Yee Cheng mengembalikan wanita itu kepada ejen itu semula.

Selepas beberapa hari, ejen menghubunginya menyatakan bekas pembantu rumahnya sakit tenat dan ditahan di wad Hospital Serdang.

“Saya tidak dibenarkan melawatnya tetapi disuruh bayar bil hospital,” katanya.

Ejen itu turut meminta membiayai kos penerbangan dan penginapan seorang ‘runner’ daripada Indonesia yang didakwa untuk menguruskan keadaan pembantu rumah ketika berada di hospital dan memberitahu ia prosedur.

Yee Cheng bagaimanapun tidak membuat sebarang bayaran kerana mengesyaki sesuatu.

“Hospital pun kata tidak perlu ‘runner’ untuk uruskan kemasukan ke hospital,” katanya.

Sebaik sedar ditipu, dia membuat laporan di Balai Polis USJ 8. Ejen terbabit setuju memulangkan sebahagian wang yang dibayar kerana bimbang diambil tindakan pihak berkuasa.

Sementara itu Adun Kinrara, Ng Sze Han yang menerima aduan itu menasihati orang awam menggunakan agensi berdaftar dengan kementerian untuk urusan pembantu rumah warga asing.


-Sinar Harian