Wed07302014

LAST_UPDATEWed, 30 Jul 2014 3pm

Allahyarham Sharifah Aini Gemar Buat Kebajikan

Solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail semalam. Gambar: Sinar HarianSolat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail semalam. Gambar: Sinar HarianPEMERGIAN biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar,  61, ke rahmatullah benar-benar mengemparkan industri seni tanah air dan peminatnya.

Siapa sangka dalam bulan penuh berkat ini, Ramadan, Allahyarhamah Sharifah Aini pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira jam 12.10 minit tengah hari semalam, jenazah Allahyarhamah turut diiringi ahli keluarga serta anak tunggalnya, Aliff Omar Ali dan saudara-mara.

Bahkan rakan artis dilihat turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Nasir Wahab, Datuk DJ Dave, Herman Tino, Hail Amir, Uji Rashid, Rohana Jalil, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datin Umie Aida.

Menurut bekas suaminya, Ali Bakar, 62, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar baginya.

Katanya, sepanjang hidup bersama, Allahyarhamah seorang yang sangat manja dan penyayang.

"Dia juga seorang yang amat pemurah, sejak dia melibatkan diri dalam industri seni sehingga ke akhir hayatnya, dia gemar membuat kebajikan kepada yang memerlukan," katanya sempat menjenguk Sharifah Aini ketika Allahyarhamah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya tiga hari lalu.

Ali bagaimanapun masih terkejut kerana tidak menyangka arwah akan meninggalkannya secepat ini.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada Aliff pagi semalam mengenai perkara ini, saya memang terkejut walaupun saya tahu dia berada dalam koma sebelum ini," katanya terlalu banyak kenangan manis ketika mereka bersama.

Terdahulu, Sharifah Aini telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Pusat Rawatan Pakar Damansara, Isnin lalu selepas mengadu sukar bernafas akibat penyakit fibrosis paru-paru.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Seri Dewi Malam ini menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.26 pagi semalam dan telah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail sebagai penghormatan terakhir.

- Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/hiburan/allahyarham-sharifah-aini-gemar-buat-kebajikan-1.296784