Sat09232017

LAST_UPDATEFri, 22 Sep 2017 8pm

Mengapa 'Boikot Israel' Perlu Dilakukan Segera

HARI ini akan genaplah 14 hari Israel melancarkan serangan keatas Gaza yang mereka namakan sebagai “Operation Protective Edge”. Pada waktu artikel ini ditulis, sebanyak 343 warga Palestin telah terkorban manakala 2,600 yang lain cedera. Angka ini kebanyakannya terdiri daripada orang awam termasuklah kanak-kanak. Di pihak Israel pula, hanya ada lima mangsa terkorban setakat ini.

Sebenarnya, pendudukan haram Palestin itu sendiri sudah merupakan satu bentuk jenayah. Untuk memahami situasi Israel-Palestin ini dengan lebih lanjut, saya menjemput anda untuk menonton video pendek enam minit berikut. Ianya telah dihasilkan oleh kumpulan ‘Jewish Voice Of Peace’. Ya, ianya telah dihasilkan oleh orang Yahudi sendiri. Sekiranya anda membaca dengan lebih lanjut, anda akan mengetahui bahawa terdapat perbezaan antara orang Yahudi dan Zionis, dan sebenarnya terdapat ramai orang Yahudi yang membantah negara Zionis-Israel ini.

 

Setelah satu demi satu jenayah perang dilakukan rejim apartheid ini, penduduk serata dunia telah bergabung menyatakan bantahan terhadap Israel. Kempen ‘Boikot Israel’ ini boleh didengari di seluruh pelusuk bumi dan ini termasuklah di tanahair tercinta kita sendiri, Malaysia.

Bagaimanapun ada juga mereka yang menyatakan rasa tidak setuju. Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin contohnya merupakan salah seorang daripada mereka. Awal minggu ini, Khairy menyatakan bahawa tindakan memboikot produk-produk tertentu ini sebagai sesuatu yang tidak rasional. Menurutnya adalah sukar untuk menentukan jika sesuatu produk itu benar-benar dari Israel.

Khairy menyatakan bahawa rakyat Malaysia sendiri yang akan terkesan hasil tindakan boikot ini. "Sebagai contoh, ada yang kata boikot produk-produk Nestle. Produk Nestle yang dijual di Malaysia ini dibuat di kilang Nestle di Rembau. Kalau kita boikot Nestle, ramai pekerja di sana akan kehilangan pekerjaan di kawasan saya. Jadi kita kena fikir betul-betul,” kata Ketua Pemuda Umno ini.

“Kalau boikot sesetengah produk, yang rasa kesannya bukan Israel tapi orang kita, pekerja kita, rakyat kita dan sebagainya. Kecuali jelas bahawa syarikat itu menyokong (Israel) dan tidak ada kena mengena dengan pekerja di sini dan sebagainya," tambahnya lagi.

Mengapa Boikot?

Sebagai respon terhadap pandangan Khairy itu, Malaysian Digest telah menghubungi Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengarah PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin). PACE adalah cabang penyelidikan dan kemajuan untuk Aqsa Syarif dan merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang menjalankan kajian strategik dan futuristik terhadap isu umat Islam di Palestin dan Timur Tengah.

Dr Hafidzi Mohd NoorDr Hafidzi Mohd Noor“Apabila kita bercakap mengenai boikot, pertama sekali kita perlu jelaskan apakah entiti yang kita boikot dan cara bagaimanakah kita mahu jalankan boikot tersebut. Apabila kita berkempen kepada orang ramai, kita meminta mereka untuk memulau dan menjauhi produk-produk yang telah terbukti memberikan sokongan kepada Israel,” kata Dr. Hafidzi.

Pensyarah UKM ini kemudiannya menerangkan bahawa sasaran kempen ini bukanlah syarikat-syarikat, tetapi sebaliknya yang menjadi sasaran adalah negara Israel itu sendiri. “Tetapi oleh kerana syarikat-syarikat ini menyumbang kepada ekonomi Israel, kita meminta orang ramai untuk memboikot mereka. Pada masa yang sama kita telah meminta syarikat-syarikat ini untuk menghentikan sokongan mereka kepada negara tersebut. Kita mahukan mereka untuk bersama-sama menyertai masyarakat awam diseluruh dunia yang menyatakan bantahan mereka terhadap Israel.”

Menurutnya lagi, perlu diperjelaskan bahawa kempen tersebut bukannya kempen ‘Boikot Yahudi’ ataupun ‘Boikot Amerika’. Malahan Dr. Hafidzi menyatakan terdapat ramai orang Yahudi sendiri yang menentang negara Zionis Israel. “Terdapat perbezaan diantara Yahudi dan Zionis. Kita tidak memboikot sesuatu syarikat itu kerana mereka merupakan Yahudi, kita memboikot mereka kerana sokongan mereka terhadap Israel. Jikalau syarikat itu merupakan syarikat Kristian atau syarikat Islam sekalipun, kami akan boikot sekiranya mereka menyokong Israel. Konflik Israel-Palestin bukannya isu keagamaan, tetapi konflik kemanusiaan.”

Adakah Boikot Itu Berkesan?

“Boikot ini sebenarnya suatu strategi peperangan,” kata Dr. Hafidzi, sebelum menambah “Pada zaman moden ini peperangan bukan hanya melibatkan senjata di medan pertempuran. Perang kita dengan pihak Zionis merupakan suatu ‘peperangan yang menyeluruh’. Ianya melibatkan faktor-faktor seperti ekonomi, politik, sosial, kebudayaan, dan pendidikan. Pada hari ini kita dapat lihat Israel mempunyai cengkaman terhadap dunia. Malahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri tidak mampu untuk menguatkuasan resolusi-resolusi mereka terhadap Israel. Negara itu dilindungi oleh Amerika Syarikat yang mempunyai kuasa veto untuk menolak apa-apa sahaja resolusi keselamatan yang dikenakan. Boikot ini merupakan senjata paling efektif untuk memerangi ekonomi Israel.”

Untuk mengukuhkan lagi hujahnya, Dr. Hafidzi telah merujuk kepada gerakan Anti-Apartheid di Afrika Selatan sebagai bukti keberkesanan kaedah boikot ini. “Untuk lebih lanjut lagi, kita boleh lihat kepada ucapan daripada Perdana Menteri Israel sendiri, iaitu Benjamin Netanyahu. Beliau telah menyatakan bahawa kempen boikot ini akan menjadi sesuatu masalah yang besar kepada Israel,” katanya merujuk kepada ucapan Netanyahu di New York awal tahun ini. Malahan ucapan itu mengesahkan kebimbangan beberapa menteri kabinet Israel termasuklah Menteri Kewangannya iaitu Yair Lapid. Lapir telah menganggarkan bahawa Israel akan mengalami kerugian sebanyak 5.7 billion Dollar Amerika sekiranya boikot ini dibiarkan berterusan.

“Tindakan boikot ini bukanlah hanya dilakukan di negara-negara Muslim atau yang mempunyai masalah dengan Israel sahaja, tetapi kita dapat lihat ianya merupakan satu tindakan boikot dari seluruh dunia. Konflik Israel-Palestin ini bukannya satu konflik keagamaan, tetapi merupakan satu konflik kemanusiaan. Pada hari ini kita dapat lihat majoriti masyarakat antarabangsa menyokong Palestin walaupun terdapat laporan yang berat sebelah dari media. Masyarakat antarabangsa sekarang tahu tentang realiti sebenar yang berlaku,” kata Dr. Hafidzi yang mempunyai PhD dalam bidang Zoologi.

Gerakan BDSGerakan BDS

Menurutnya lagi, kempen boikot yang paling berkesan dapat diperhatikan dinegara-negara barat, khususnya di Amerika Syarikat. Kempen diperingkat antarabangsa seperti Minggu Apartheid Israel dan gerakan Boycott, Divest, and Sanction (BDS) merupakan bukti yang dapat dilihat dengan jelas. Pada bulan Ogos 2010, kerajaan Norway yang telah mendapat nasihat daripada Majlis Etika Norway telah menyingkirkan dua syarikat Israel dari skim saraan kerajaannya. Semakin banyak juga bank dan industri di Eropah yang mula menarik diri daripada industri pelaburan di Israel. Bank Danske (Ireland), Bank Nordea (Sweden), dan syarikat air Vitens (Belanda) merupakan sebahagian daripada mereka. Malahan badan keagamaan seperti The Church of England Synod juga telah turut sama mengikut serta.

“Bukti lebih lanjut dapat disaksikan dengan apa yang telah terjadi di syarikat Caterpillar Inc. Mereka ini terpaksa memindahkan operasi mereka dari Tebing Barat setelah dikenakan tindakan boikot. Terdapat banyak lagi contoh keberkesanan tindakan ini, antaranya ialah boikot terhadap Alstom dan Motorola,” ujar Dr. Hafidzi.

Kerugian Buat Malaysia?

Tetapi bagaimana pula dengan kegusaran seperti yang disuarakan oleh Khairy Jamaluddin? Adakah pekerja-pekerja Malaysia yang akhirnya menjadi mangsa?

Dr. Hafidzi mempunyai jawapan: “Seperti yang disebutkan, sasaran boikot ini bukanla syarikat-syarikat tersebut, tetapi negara Israel itu sendiri. Kita mahukan syarikat-syarikat ini untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Israel dan selepas daripada itu kita boleh terus menggunakan produk dan perkhidmatan mereka. Sekiranya benar ianya akan menjejaskan ekonomi kita, mungkin itulah harga yang perlu dibayar untuk mencapai objektif yang lebih tinggi. Sebab itulah kita sasarkan syarikat-syarikat besar dan multinasional seperti McDonalds yang mempunyai puluhan malah ratusan ribu cawangan serata dunia. Setiap cawangan ini menyumbang kepada syarikat induk di Amerika Syarikat. Ada diantara mereka ini yang telah menerima anugerah ‘Friends of Israel’ diatas sumbangan mereka terhadap ekonomi Israel.”

Malahan menurutnya lagi daripada pandangan Islam itu sendiri, pekerja Muslim di syarikat-syarikat tersebut tidak perlu berhenti kerja.

“Mereka boleh terus bekerja disitu. Tetapi dengan syarat mereka mempunyai inisiatif untuk mencari pekerjaan lain yang menawarkan gaji yang setara atau lebih tinggi daripada yang sedang mereka perolehi.”

Secara positifnya juga, ada yang berpendapat dengan memboikot syarikat-syarikat gergasi ini, produk-produk tempatan akan memperoleh peluang untuk menyinar. Ini seterusnya akan membantu ekonomi negara.

Empat Syarikat Utama

Inminds, sebuah syarikat Islamik yang berpangkalan di United Kingdom telah menjalankan kajian yang mendalam mengenai syarikat-syarikat yang memberi sumbangan terhadap Israel. Dengan itu, kempen yang dijalankan bukan satu kempen secara membuta-tuli. Hanya syarikat-syarikat yang telah terbukti terlibat dengan Israel yang menjadi sasaran.

Dr. Hafidzi bagaimanapun menyatakan kempen ini lebih terarah kepada empat syarikat utama iaitu McDonalds, Nestle, L’Oreal, dan Coca-Cola. “Mengapa kita tidak tumpukan kepada syarikat seperti Starbucks yang juga telah terbukti menyokong Israel? Kerana mereka ini lebih merupakan produk ‘high-end’ iaitu produk yang lebih cenderung kepada mereka yang berpendapatan tinggi. Kita tumpukan terhadap produk yang boleh dibeli oleh orang ramai seperti produk empat syarikat utama tadi. Sekiranya orang ramai mahu tambah syarikat lain untuk mereka boikot, mereka boleh lakukan sekiranya mereka mampu.”

Menurut Chicago Jewish Community Online (website untuk Jewish United Fund of Metropolitan Chicago), McDonald’s Corporation yang berpangkalan di luar Chicago, adalah merupakan rakan korporat utama kepada Jewish United Fund (JUF) and Jewish Federation(2002) .

Melaui Suruhanjaya Israel-nya, Jewish United Fund “berkerja untuk mengekalkan sokongan ketenteraan, ekonomi dan diplomatik Amerika kepada Israel; memantau dan, apabila perlu, bertindak balas terhadap liputan media terhadap Israel.” Ya, benar. Antara perkataan awal dalam misi JUF tadi adalah sokongan KETENTERAAN. Oleh sedemikian, sememangnya boleh dikatakan bahawa apabila anda membeli McDonalds, anda sebenarnya menyumbang kepada peluru yang meragut nyawa orang ramai di Palestin.

McDonalds Malaysia pada dua minggu lepas telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan Israel. Mereka menyatakan bahawa Jack Greenberg, iaitu individu yang dikaitkan dengan JUF, telah meninggalkan posisi CEO pada 10 tahun lepas.

Dr. Hafidzi tidak bersetuju dengan kenyataan ini. “Kita dapat lihat CEO-CEO selepas daripada Greenberg masih lagi menyumbang kepada Israel. Salah seorang daripada mereka juga telah menerima anugerah diatas sumbangannya membina muzium holocaust di Chicago. Seandainya McDonalds tidak lagi terlibat, Kenapa mereka tidak menyaman Inminds?” katanaya. Nyata bahawa mereka tidak berbuat demikian kerana mereka tidak mampu.

Senarai yang lebih terperinci mengenai syarikat-syarikat yang terlibat dan bagaimana mereka menyumbang kepada Israel boleh didapati dengan melayari laman sesawang Inminds (www.inminds.com/boycott-israel-2012.php).

Kenyataan Politik

Beberapa personaliti antarabangsa telah menunjukkan kenyataan politik ataupun ‘Political Statement’ yang jelas mengenai kepentingan memboikot Israel dan menyokong Palestin ini.

Saintis tersohor, Professor Stephen Hawking, yang mana penyelidikan dan tulisan-tulisan beliau telah mencorakkan bagaimana kita memahami alam semesta, juga telah menyokong tindakan memboikot Israel. Ini dapat dilihat apabila beliau telah menarik diri daripada satu persidangan akedemik yang dianjurkan Presiden Israel, Shimon Peres di Jurusalem sebagai tanda protest diatas layanan Israel terhadap warga Palestin.

Atlit-atlit Iran seperti Arash Miresmaeili dan Taleb Nematpour juga pernah menarik diri daripada perlawanan mereka menentang atlit lawan dari Israel. Miresmaeili, seorang atlit Judo yang bertanding di Sukan Olimpik dikatakan menarik diri kerana telah melebihi had berat badan. Tetapi dia telah dilaporkan berkata bahawa dia telah menghindari perlawanan itu sebagai tanda simpati terhadap rakyat Palestin. Ini dilakukan atlit-atlit ini walaupun mereka merupakan pilihan untuk memenangi pingat.

Cristiano Ronaldo menunjukkan sokongan kepada Palestin. /pic:www.ibtimes.co.ukCristiano Ronaldo menunjukkan sokongan kepada Palestin. /pic:www.ibtimes.co.uk

Bintang bolasepak antarabangsa, Cristiano Ronaldo dari Portugal telah menunjukkan sokongan secara terbuka terhadap Palestin apabila dia enggan menukar jersi dengan pemain-pemain Israel selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia diantara kedua-dua negara di Tel Aviv tahun lepas. Ronaldo juga telah mendermakan anugerah Kasut Emas miliknya yang bernilai €1.5 juta kepada dana yang membantu kanak-kanak di Palestin.

Beberapa minggu lepas, kumpulan rock British, Coldplay, telah berkongsi pautan kepada video muzik “Freedom For Palestine” yang dinyanyikan oleh kumpulan OneWorld. Peminat-peminat yang merupakan anti-Israel telah menulis komen yang menyokong Palestine seperti “Zionism adalah perkauman” dan “Israel adalah negara apartheid”.  Peminat-peminat kumpulan tersebut yang pro-Israel pula berang dengan tindakan Coldplay itu. Mereka berjanji untuk memulaukan kumpulan itu dan sebuah laman Facebook telah direka untuk mendesak Coldplay memohon maaf kepada Israel.

Maka timbul persoalan jika penyokong Israel mampu memboikot sebuah kumpulan hanya kerana mereka berkongsi video yang menyokong kebebasan untuk Palestin, mengapa pula penyokong Palestin, penyokong kemanusian, dan penyokong kebebasan tidak boleh memboikot syarikat-syarikat yang membantu keganasan tentera Israel?

Miko Peled, penulis buku ‘‘The General’s Son: Journey of an Israeli in Palestine’, pula merupakan seorang aktivis keamanan yang membesar dalam sebuah keluarga Zionis. Datuknya, Avraham Katsnelson, merupakan salah seorang pengasas negara Israel, malahan merupakan individu yang menandatangani Deklarasi Kemerdekaan Israel. Ayah Peled pula merupakan seorang Jeneral dalam tentera Israel. Tetapi bagaimanapun Miko Peled menentang secara keras pembentukan sebuah negara Zionis malahan menyokong tindakan memboikot Israel. 

Baru-baru ini ketika ditemuramah oleh rancangan berita, Breaking The Set, Peled telah menyatakan: “Jikalau mereka (Israel) tidak menyukai roket-roket (yang dilancarkan oleh Hamas), mereka boleh hentikan serangan terhadap Gaza dan membenarkan pelarian Palestin kembali ke tempat tinggal mereka. Selanjutnya mereka boleh bebaskan kesemua tahanan Palestin tanpa syarat dan adakan sebuah pilihanraya yang bebas dan telus — satu undi untuk setiap individu yang tinggal di negara ini (Israel). Dan seterusnya batalkan rejim apartheid atau dalam ertikata yang lain, tumbangkan rejim apartheid. Inilah yang perlu dilakukan dan ianya perlu dilakukan segera. Dan selagi ianya tidak dilakukan, dunia harus memboikot tempat ini (Israel) dan kenakan sekatan ke atas Israel.”

Pada pendapat peribadi penulis, derma dan sumbangan kepada Palestin sememangnya amat dialu-alukan. Tetapi ianya adalah satu tindakan bertahan. Seseorang tidak boleh bergantung kepada tindakan bertahan semata-mata untuk jangka masa yang panjang. Tindakan memboikot Israel merupakan tindakan serangan dan juga merupakan tindakan yang amat diperlukan pada masa ini.

Golongan yang memboikot Israel semakin hari semakin bertambah bilangannya di segenap pelusuk dunia. Mungkinkah sudah tiba masanya anda turut serta?

 

- mD