Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 7pm

Adakah Kita Perlu Akta Hasutan 1948?

Pic: Malaysia ChroniclePic: Malaysia ChronicleAkta Hasutan 1948 merupakan satu akta undang-undang di Malaysia yang digubal bagi mencegah dan menghalang sebarang perbincangan yang boleh dikatakan atau didakwa sebagai tujuan untuk menghasut.

Pada tahun 1948, kerajaan British telah menggubal akta tersebut dan bersempena dengan tahun tersebut nama ‘Akta Hasutan 1948’ diangkat sehingga kini.

Menurut tafsiran dalam Akta 1948, sebarang ucapan yang mempunyai kecenderungan menghasut adalah boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah.

Akta Hasutan Di Singapura

Menurut Perlembagaan Repubik Singapura, terdapat Perkara 14 (1) yang memberi kebebasan bersuara, bercakap dan berhimpun kepada rakyat Singapura. Walaubagaimanapun, Perkara 14 (2) menghadkan hak-hak keseronokan dan kebebasan yang diberikan kepada rakyat Singapura oleh Parlimen Singapura atas alasan keselamatan Singapura dan ketenteraman awam.Pic: WikipediaPic: Wikipedia

Memetik laporan dari Agenda Daily baru-baru ini, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata Malaysia harus belajar dan mencontohi negara rupublik berkenaan dalam hal ehwal akta hasutan.

‘’Singapura masih mempunyai Akta Hasutan di mana mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang jika didapati mereka bersalah dalam tujuan menghasut walau apa jua perkara sekalipun’,’’ katanya.

Tambah beliau, sepanjang pemerhatian dan dalam kes yang ditemui, semua yang tertuduh dalam akta hasutan adalah mereka yang bukan beragama islam kerana kesalahan mereka terhadap orang islam.

Rasionalisasi Akta Hasutan 1948 Di Malaysia

Adakah masih relevan akta hasutan di Malaysia jika dipraktikkan di zaman 1 Malaysia kini?

Menurut laporan dari Berita Harian baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu kepada umum bahawa Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) bukanlah titik akhir dalam menukar akta hasutan kepada Rang Undang-Undang Harmoni Nasional, malah sebaliknya Kabinet yang menentukan keputusan akhir.

Menurut kenyatan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib di akhbar Berita Harian dua tahun lepas, Akta Keharmonian menekankan kepada aspek pemupukan semangat perpaduan dan nilai murni saling menghormati dalam masyarakat Malaysia.

‘’Undang-undang ini besifat lebih spesifik dan memebolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional,’’ katanya.

Namun sehingga kini, akta hasutan masih dijalankan walaupun pihak kerajaan berhasrat menukar akta hasutan 1948 kepada akta keharmoian pada tahun terdahulu.

Jelas disini, kerajaan memperlihatkan akta hasutan masih rasional dan relevan digunapakai sehingga kini.

Namun, rata-rata rakyat Malaysia tidak memepersetujui akta tersebut digunapakai dan menjalankan pelbagai kempen dan rasa luahan mereka di laman-laman sosial.

Antaraya,menurut portal rasmi Badan Peguam Malaysia, mereka telah mengadakan kempen memansuhkan akta hasutan pada khamis lepas.

Kempen yang dilancarkan oleh Badan Peguam Muda Negara di Auditorium Raja Aziz menuntut agar akta hasutan dimansuhkan.

Terbaharu, bakal diadakan pada selasa hadapan perhimpunan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) yang juga menuntut akta hasutan dimansuhkan.

GHAH menuntut tiga tuntutan dalam perhimpunan tersebut iaitu, hapuskan akta hasutan, gugurkan semua pertuduhan dan tiada akta gantian.

Usung Mayat Demi Hapuskan Akta Hasutan

Pic: Harian BloggerPic: Harian BloggerMenurut laporan di portal berita Malaysia Kini, terbaharu apabila sekumpulan mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) menghantar satu memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri bagi pemansuhan akta hasutan.

Mereka turut menghantar satu replika jenazah yang sempurna dikafankan sebagai simbolik kepada demokrasi yang semakin pudar.

Ketika ditemubual oleh Malaysian Digest, Ridzuan Asit yang juga seorang pengguna laman sosial facebook meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap akta hasutan ini.

‘’Akta hasutan 1948 wajar dimansuhkan sebab kerajaan menggunakan akta ini utk menghukum rakyat yg mengkritik umno sedangkan yang menghina Islam dan perkauman dari umno tak didakwa di bawah akta ini dan dibiarkan bebas untuk bercakap apa saja untuk menghentam Pakatan Rakyat, saya rasa akta ini tak adil pada rakyat dan wajar dimansuhkan,’’ katanya.

Kronologi Terbaharu Mereka Yang Ditahan Di Bawah Akta Hasutan 2014

Ramai yang ditahan di bawah akta hasutan 1948, namun yang menjadi perhatian orang ramai baru-baru ini adalah bermula dengan pelajar dari sebuah sekolah di Pulau Pinang yang meng”like” page “I Love Israel” di Facebook didakwa di bawah akta hasutan dan di soal siasat.

Menurut laporan dari The Malaysian Insider bertarikh 14 Ogos 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membidas penahanan pelajar tersebut oleh pihak berkuasa.

‘’Kita tidak perlu bertindakbalas dengan terburu-buru sebab apa yang dilakukan itu mungkin tanpa niat,’’ katanya.

Selepas kes dari pelajar tersebut, seorang tokoh akademik pensyarah undang-undang dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azmi Sharom yang didakwa menghasut memalui kenyataannya mengenai krisis perlembagaan perak ekoran dari krisis Menteri Besar Selangor yang diluahkan di sebuah portal berita.

Walaubagaimanapaun, Azmi tidak mengaku bersalah dan mahukan kesnya dibicarakan oleh pihak mahkamah.Prof Madya Dr. Azmi SharomProf Madya Dr. Azmi Sharom

Seterusnya diikuti oleh seorang wartawan dari portal berita Malaysia Kini, Susan Loone. Dia yang didakwa di bawah akta hasutan seksyen 4(1) (c) kerana menyiarkan bahan yang berunsur menghasut.

Laporan tersebut berhubung dengan penangkapan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang.

Namun Susan dilepaskan oleh Pihak Polis baru-baru ini kerana selepas disoal-selidik tiada alasan yang kukuh untuk menahan beliau di bawah akta tersebut.

Rentetan dari kes penahan wartawan tersebut, menurut laporan portal berita Malaysia Kini, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew memohon pihak polis untuk memohon maaf kepada Susan.

"Walaupun pihak polis mempunyai hak untuk menyoal siasat sesiapa saja melalui aduan yang dibuat oleh NGO tertentu, tetapi kami amat merasakan bahawa Akta Hasutan telah salah digunakan dalam kes Susan dan polis harus mengeluarkan permohonan maaf kepada beliau untuk trauma dan kesulitan yang dialaminya dan keluarganya’’, katanya.

Persoalannya adakah kita benar-benar memerlukan akta hasutan ini?

Menerusi portal rasmi UMNO Online, Perdana Menteri berkata usah musykil dengan akta keharmonian ini kerana ianya lebih relevan berbanding dengan akta hasutan.

Justeru, dilihat dengan keyakinan daripada Najib Razak membuatkan kita sebagai rakyat Malaysia berkata bahawa kita sememangnya tidak memerlukan akta hasutan lagi.

Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk meneliti perkara ini.

Pada dasarnya, Akta Keharmonian Nasional membawa pendekatan yang lebih longgar untuk rakyat untuk melemparkan kritikan atau ketidakpuasan hati dengan syarat ia tidak membawa niat jahat dan menghasut.

Dengan itu, dengan jaminan kerajaan untuk mengekalkan kuasa bagi menghalang berlakunya ketegangan yang mungkin berpunca dari kelonggaran ini, tidak ada sebab untuk rakyat terus merasa musykil mengenai akta baharu ini.

Sebagai rakyat Malaysia kita akan lihat sejauh mana akta keharmonian ni bergerak seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh gagasan Satu Malaysia.

Adakah kata-kata Najib benar digunapakai atau ianya sekadar sandiwara politik semata-mata.

 

 

--mD