Fri01192018

LAST_UPDATEFri, 19 Jan 2018 10am

Tiada Sijil Halal Tetapi Daging Diluluskan JAKIM

 Meskipun restoran teersebut tidak diberikan Sijil Halal tetapi kesemua bekalan daging serta makanan yang digunakan di rangkaian restoran itu di seluruh negara diperoleh daripada pembekal dari Australia yang merupakan pembekal serta pengeluar makanan halal terkemuka Meskipun restoran teersebut tidak diberikan Sijil Halal tetapi kesemua bekalan daging serta makanan yang digunakan di rangkaian restoran itu di seluruh negara diperoleh daripada pembekal dari Australia yang merupakan pembekal serta pengeluar makanan halal terkemukaKUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menegaskan mana-mana restoran yang menghidangkan atau menjual minuman beralkohol (arak) tidak akan diberikan Sijil Halal memandangkan ia tidak memenuhi kriteria yang melayakkan premis mereka diiktiraf mengikut pensijilan Halal di negara ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang premis perniagaan ini dalam pengeluaran Sijil Halal.

Bagaimanapun, beliau menyatakan ia bergantung kepada kesedaran orang ramai khususnya muslim untuk memilih dan mengunjungi restoran berkenaan

“Semua premis perniagaan berasaskan makanan dan minuman di Malaysia tidak boleh mengandungi apa-apa bahan terlarang atau haram dalam restoran untuk membolehkan mereka menerima Sijil Halal.

“Pihak JAKIM akan memastikan semua proses dan prosedur pemberian Sijil Halal dipatuhi termasuk dalam penyediaan bahan mentah untuk masakan.

“Ini juga melibatkan kesedaran masyarakat kerana isu halal tidak hanya boleh diselesaikan melalui undang-undang semata-mata tetapi perlu kerjasama daripada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status sebuah restoran makanan barat yang popular di kalangan masyarakat bandar, Tony Roma’s yang dipersoalkan beberapa pengunjung selepas tidak mempunyai Sijil Halal daripada JAKIM.

Katanya, sesebuah restoran yang tidak mendapat Sijil Halal tidak akan disabitkan kesalahan selagi ia tidak meletakkan mana-mana logo halal palsu.

Terdahulu, sebuah risalah yang diterbitkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya telah melabelkan makanan di restoran Tony Roma’s sebagai 'Non-Halal'.

Pendedahan tersebut menimbulkan reaksi pelbagai dan keraguan kepada orang ramai terutamanya melibatkan dakwaan bahawa restoran tersebut adalah tidak halal apabila Tony Roma's tiada dalam senarai yang diberi Sijil Halal oleh JAKIM.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Pengurus Pemasaran Tony Roma’s, Johnny Pan berkata, meskipun restoran tersebut tidak diberikan Sijil Halal tetapi kesemua bekalan daging serta makanan yang digunakan di rangkaian restoran itu di seluruh negara diperoleh daripada pembekal dari Australia yang merupakan pembekal serta pengeluar makanan halal terkemuka.

Katanya, kesemua pembekal dan bekalan daging atau makanan harus mendapat kelulusan daripada JAKIM.

“Kami sedar betapa pentingnya memastikan mutu dan keselamatan bekalan makanan kami seiring dengan syarat serta peraturan yang ditetapkan JAKIM khususnya pelanggan beragama Islam agar dapat menikmati hidangan di rangkaian restoran kami tanpa was-was,” katanya dalam satu kenyataan di emel kepada Malaysian Digest.

Tambahnya, penyediaan makanan oleh pihak Tony Roma’s juga disediakan kakitangan atau chef yang beragama Islam dan terlatih dalam aspek penyediaan makanan.

“Mereka dilatih dalam segala aspek penyediaan makanan, termasuk tatacara penyediaan makanan secara halal. Aspek kebersihan dan keselamatan dalam penyediaan makanan juga ditekankan semasa tempoh latihan tersebut.

“Latihan itu dijalankan di restoran Tony Roma’s di Sunway yang diiktiraf sebagai pusat latihan serantau.

“Kami amat peka dengan keperluan serta kemahuan pelanggan kami khususnya mereka yang beragama Islam.

“Para pelanggan kami boleh berasa yakin setiap kali mereka menjejak kaki ke mana-mana restoran Tony Roma’s di seluruh negara dan mereka boleh menikmati hidangan tanpa was-was kerana makanan yang disajikan adalah Halal,” jelasnya.

 


- mD