Wed04252018

LAST_UPDATEWed, 25 Apr 2018 9pm

Pejuang Kemerdekaan Wanita: Wajarkah Aishah Ghani & Shamsiah Fakeh Diangkat Sebagai Srikandi Negara?

Gambar FotoGambar Foto"Dalam perjuangan mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan kanan. Aliran kiri diterajui oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS).

Aliran kanan pula dipelopori persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berjaya mencapai kemerdekaan.

Pada masa itu, gerakan nasiolis kiri terpinggir dan terkeluar arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan manoriti Melayu, namun ada satu kelompok kecil dari kalangan pemimpin gerakan nasionalis kiri Melayu telah memilih jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka," – Petikan daripada buku Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan oleh Mohamed Salleh Lamry, bekas Profesor Madya dan Sarjana Tamu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Merujuk kepada fakta sejarah berkenaan, golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam bersama menyertai perjuangan menentang penjajah untuk menuntut kemerdekaan tanah air pada waktu itu.

Allahyarham Aishah GhaniPenglibatan tokoh wanita negara yang disegani, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani dalam bidang politik bermula sebaik sahaja Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada tahun 1945 dan beliau menjadi Ahli Jawatankuasa sekaligus mengetuai sayap wanita gerakan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) memperjuangkan hak-hak wanita yang tertindas ketika itu manakala pada ketika itu juga, Aishah berkhidmat sebagai wartawan Pelita Malaya, juga lidah rasmi PKMM.

Aishah mengambil keputusan keluar daripada AWAS pada tahun 1946 dan menyertai perhimpunan menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada Mac tahun yang sama. Pada tahun 1949, beliau secara rasminya menyertai UMNO Kampung Bharu dan dilantik menjadi Setiausaha.

Namun, Shamsiah Fakeh pula telah menggantikan tempat Aishah Ghani, sebagai ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), bergandingan dengan Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) sekaligus membakar semangat sebilangan rakyat Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Oleh itu, AWAS telah diharamkan pada tahun 1948 dan menjadikan Shamsiah sebagai salah seorang daripada kelompok kecil yang memilih untuk meneruskan perjuangan dengan menyertai Rejimen Ke-10, sayap kanan Parti Komunis Malaya (PKM).

Namun, sejauh manakah sejarah menobat wanita sebagai pejuang Tanah Melayu?

Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang memperjuangkan kebebasan wanita dan kemerdekaan tanahairAngkatan Wanita Sedar (AWAS) yang memperjuangkan kebebasan wanita dan kemerdekaan tanahair

Pensyarah Kanan, bidang Sejarah Politik Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin berkata:

“Sejarah kita masih baru. Isu yang ditulis lebih banyak tertumpu kepada politik berbanding sosial. Kajian tentang wanita kurang berkembang kerana sejarah ortodok lebih menekankan watak dari atas sedangkan watak-watak dari atas umumnya dalam negara kita dipegang oleh lelaki.

"Sejarah masih belum diterokai dengan berkesan dan akhirnya golongan seperti wanita dan petani jadi tidak penting.

“Dalam konteks kajian sejarah juga, tulisan mengenai wanita masih belum berkembang walaupun sudah ada usaha ke arahnya," katanya kepada Malaysian Digest.

Foto : mDFoto : mDMenyentuh mengenai hak-hak wanita pada zaman Tanah Melayu pula, tegas Dr Azmi, golongan wanita pada masa itu bukanlah tersisih atau tertutup. Zaman Melayu Melaka sekalipun sudah menyentuh mengenai peranan wanita seperti Tun Fatimah.

Namun, rakyat Malaysia sendiri yang membiarkan minda mereka tertutup dan kurang terdedah dengan cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita.

“Awal kurun ke-20 telah muncul seruan ke arah meningkatkan kedudukan wanita dan ianya dibawa oleh pelopor pembaharu dari golongan agama. Namun, kolonialisme dan struktur konservatif menjadi penyekat kepada kesedaran rakyat.

"Yang saya lihat, hanya pada masa Malayan Union saja peranan wanita nampak menonjol kerana kesedaran pada waktu itu terlalu kuat untuk disekat dan meningkat secara mendadak sehingga ke hari ini," katanya.

Jika disimpulkan pengetahuan umum terhadap pejuang wanita dalam konteks suka (like) dan tidak suka (dislike), hakikatnya tidak ramai generasi kita mampu menerima fakta yang tertulis lebih-lebih lagi apabila melibatkan pejuang berhaluan kiri apatah lagi menyentuh mengenai jantina iaitu wanita yang diangkat sebagai pejuang kemerdekaan.

“Rakyat kita di Malaysia bukan tidak menerima tetapi mereka tidak disedarkan dengan peranan golongan lain, selain pihak kanan yang konservatif. Sesetengah orang kata, sejarah ditulis adalah untuk mereka yang menang dan berkuasa.

"Maka, mereka yang berjuang berasaskan idelogi dan aliran yang berbeza kurang diiktiraf. Saya tidak nafikan dalam sejarah golongan wanita itu ada.

Allahyarham Shamsiah Fakeh. Adakah benar beliau pengkhianat bangsa atau pejuang kemerdekaan?“Namun, yang berhaluan kiri lebih menonjol. Apa yang saya lihat, pejuang wanita berhaluan kiri ini sering dipropagandakan dalam pemikiran masyarakat kita. Akhirnya, mereka tenggelam dan pengorbanan mereka dinafikan.

"Contohnya, Shamsiah dan Khadijah Sidek. Bahkan, sumbangan dan perjuangan Aishah sewaktu berdiri di platform AWAS sendiri sukar diketahui. Apatah lagi nak berbincang tentang wanita dalam Parti Komunis Malaya (PKM).

“Minda rakyat akan jadi lebih terbuka jika jalan ke arah itu dibuka. Tiada halangan untuk mereka yang berfikiran bebas. Pemerintah jangan campur urusan ahli sejarah. Biar ahli sejarah sendiri bercakaran sesama sendiri. Sekurang-kurangnya keputusan yang dibuat, atas persetujuan pakar sejarah sendiri.

"Kalau ahli politik ikut campur, maka rosaklah sejarah,” sambungnya.

Aishah dan Shamsiah, dua wanita berani yang bermula dengan gerakan berhaluan kiri iaitu AWAS. Akhirnya, Aishah membuat pilihan menyertai UMNO dan Shamsiah meneruskan perjuangan bersama PKM.

Apabila ditanya kepada Dr Azmi, adakah untuk menjadi ‘Srikandi Negara’ di mata masyarakat hari ini haruslah memiliih haluan kanan? Adilkah pengorbanan Shamsiah Fakeh memperjuangkan hak-hak wanita sewaktu AWAS dilupakan dek kerana kesilapan beliau memilih PKM sebagai platform perjuangan?

“Aishah dan Shamsiah ini berbeza tahap perjuangan mereka. Cabaran yang dihadapi mereka juga berbeza. Aishah sederhana dalam perjuangan kirinya. Apabila pihak British mengisytiarkan darurat di atas pemberontakkan PKM, Aishah memilih jalan selamat dengan menyertai UMNO.

“Shamsiah berbeza. Beliau berjiwa merdeka. Maka, beliau tetap dengan pendirian memilih untuk meneruskan perjuangan. Malangnya, gerakan perjuangan beliau tiada, kerana diharamkan oleh pihak British.

"Maka, PKM dipilih bukan kerana ideologi tetapi sebagai tunggangan perjuangan politiknya. Tiada pilihan lain dan Shamsiah adalah seorang wanita yang kuat dalam perjuangannya memerdekakan tanahair.

“Secara umum, sejarah yang ada bagi saya boleh diketepikan dan dikaji semula," katanya mengakhiri temubual bersama Malaysian Digest.

Menurut Tan Sri Zaleha Ismail yang juga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang kini Presiden Yayasan Suara Wanita, menyifatkan Aishah adalah seorang wanita yang tegas dalam pendirian.

“Beliau memang berani tapi sangat baik hati. Saya kenal dia waktu saya bekerja sambilan di Radio Malaya bersama arwah suami beliau.

"Waktu itu hak-hak wanita tidak mendapat perhatian daripada pemimpin-pemimpin pada awal era kemerdekaan, jadi beliau ini tampil bagi mengetengahkan wanita dalam arus pembangunan negara.

Tan Sri Zaleha Ismail bergambar bersama Allahyarham Tan Sri Aishah GhaniTan Sri Zaleha Ismail bergambar bersama Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani

“Apa yang penting bagi beliau adalah pendidikan. Tanpa pendidikan, kita ni seperti tidak ada jalan. Beliau banyak berkhidmat di kawasan luar bandar membasmi buta huruf dalam kalangan wanita sehingga peratusan mereka yang buta huruf telah berkurangan.

“Beliau juga amat tulus dalam perjuangan dan semangat perjuangan beliau sebelum kemerdekaan lagi sudah dilihat,” katanya ketika ditemubual wartawan Malaysian Digest, semalam.

Foto : mDNyata, golongan wanita harus diberi perhatian sekaligus mengiktiraf mereka ini sebagai pejuang sebelum kemerdekaan lagi. Janganlah dek kerana terlalu emosi dalam membaca sejarah, segala fakta yang ditulis diketepikan terutama sekali bagaimana sejarah ditulis dalam menobatkan wanita sebagai seorang pejuang.

Sebagai renungan bersama, petikan kata-kata Shamsiah ini menunjukkan persahabatan kedua pejuang negara ini begitu utuh tetapi mengakui masing-masing tetap mempunyai matlamat perjuangan berbeza.

"Aishah dengan aku bagai adik-beradik. Dia adalah tokoh perjuangan kemerdekaan dan aku bersyukur dengan kejayaannya. Cakap Aishah mungkin betul separuh, tapi kalau masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang dimana hidup aku akan senang-lenang dan tiada risiko, maka aku bukanlah Shamsiah." – Shamsiah Fakeh.



- Malaysian Digest