Fri12152017

LAST_UPDATEThu, 14 Dec 2017 11pm

Shafee Fail Saman Fitnah Terhadap Majlis Peguam Dan Peguam

Gambar : The Malaysian InsiderGambar : The Malaysian InsiderPeguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan saman fitnah terhadap Majlis Peguam Malaysia dan tiga yang lain kerana cuba membincangkan kelakuannya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) majlis itu dua minggu lalu, kata peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin.

"Ya, anak guam saya memfailkan saman fitnah sebagai tindakan terhadap defendan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Shafee memfailkan saman itu dan satu injunksi menghalang Majlis Peguam, bekas Presiden Christopher Leong, peguam Tommy Thomas dan Tan Sri VC George pada 12 Mac.

Shafee memperoleh injunksi ex-parte itu pada hari berikutnya daripada hakim Datuk Asmabi Mohamad bagi menghentikan usul difailkan Thomas dan disokong George yang akan dibincangkan pada AGM 14 Mac.

Mahkamah akan mendengar permohonan hari ini bagi mengetepikan injunksi Shafee itu yang menghentikan perbincangan mengenai kelakuan peguam kanan itu ketika mengambil bahagian dalam road show mengenai perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Leong dan Majlis Peguam diwakili Lambert Rasa-Ratnam, sementara Datuk Ambiga Sreenevasan akan mewakili Thomas, dan Porres Royen untuk George.

Thomas dan George, dua anggota kanan Majlis Peguam, pada AGM itu menggesa majlis itu mengambil tindakan terhadap Shafee berhubung kelakuannya susulan sabitan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.

Mereka berkata sejak ketika Mahkamah Persekutuan mensabitkan Anwar pada 10 Februari, Shafee berkelakuan dengan cara yang membuatkan orang meluat, mencemar nama baik profesion undang-undang.

Dalam usul yang dikemukakan kepada AGM itu, dua peguam kanan itu juga menggesa barisan jawatankuasa majlis penggal 2015-2016 membuat laporan terhadap Shafee dengan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam.

Mereka berkata langkah perlu diambil bagi mengelakkan Shafee terus memburukkan profesion undang-undang itu.

Shafee, yang dilantik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan Liwat II, dituduh dengan sengaja, dan dengan sewenang-wenangnya:

- mengadakan sidang akhbar mengutuk Anwar yang tidak boleh bertindak balas memandangkan beliau di penjara;

- menunjukkan kehebatannya, dikatakan sebagai pendakwa atasan;

- memperlekehkan Anwar dan pasukan undang-undangnya, dan pembelaan mereka dalam prosiding mahkamah;

- memberi temu bual kepada media tradisi dan dalam talian mengenai prestasinya sebagai pendakwa; dan,

- menganjurkan dan mengambil bahagian dalam jelajah seluruh negara bersama sebuah parti politik, dengan tujuan menghina seorang banduan yang disabitkan kesalahan dan menonjolkan peranannya dalam sabitan itu.

Shafee dikatakan melanggar Akta Profesion Undang-undang (Publisiti) Peraturan 2001 yang melarang peguam daripada memberi publisiti kepada dirinya atau amalannya melalui sebarang cara.

Mereka juga menyatakan, walaupun Shafee disokong kerajaan pemerintah, beliau tidak lepas daripada undang-undang.

Shafee sebelum ini didapati bersalah kerana salah laku dan didenda RM5,000 kerana mengiklankan dirinya. Rayuannya kepada Mahkamah Tinggi ditolak dan kes itu masih di Mahkamah Rayuan.

 

 - The Malaysian Insider