Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Peguam Negara Gugur Kes Ali Tinju

KUALA LUMPUR: Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan yang dibuat di bawah Akta Hasutan terhadap Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu Mohd. Ali Baharom selepas membuat penilaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menjelaskan penarikan tuduhan dilakukan setelah jabatan berkenaan meneliti semula keterangan dan bukti yang dikemukakan oleh saksi berkaitan dalam kes itu.

“Setiap kes yang dinilai semula oleh Jabatan Peguam Negara bagi kes-kes yang telah dipertuduh di bawah akta tersebut bergantung sepenuhnya kepada fakta dan keadaan kes.

“Sekiranya terdapat keterangan baru yang mewajarkan pertuduhan ditarik balik, pertuduhan akan ditarik balik,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, keputusan Jabatan Peguam Negara dalam mengemukakan pertuduhan atau menarik balik pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan kepada keterangan dan fakta kejadian.

Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Sebelum itu, Gobind telah meminta agar Perdana Menteri menyatakan apakah sebab-sebab pertuduhan Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju di bawah Akta Hasutan digugurkan dan adakah kerajaan akan mengesyorkan supaya semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan digugurkan.

Sebelum ini, Ali Tinju telah didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan pada 16 Julai.

Ketika kejadian, beliau didakwa mengeluarkan kenyataan: “Baiklah, kita mahu keadilan ini. maruah orang Melayu, bukan kerana seorang budak Cina menyerang ramai orang Melayu. Inilah negeri Melayu. Bersatu, dan serang Cina DAP yang kurang ajar.”

Ali adalah antara tiga individu yang ditahan pihak polis mengikut Akta Hasutan berhubung pergaduhan itu.

Dua lagi ialah blogger Wan Mohd Azri Wan Deris atau Papagomo dan Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin.

Ia susulan kekecohan di Plaza Low Yat tercetus pada 11 Julai lalu apabila dua remaja datang ke sebuah kedai menjual telefon bimbit untuk membeli sebuah telefon pintar jenama Lenovo S860 bernilai RM799.

 

- FMT