Mon07232018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Orang Cina Dan Janggut

Haji Mohd Hassan bin Munas (1853-1915), atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut, merupakan seorang pahlawan Melayu terkenal yang berasal dari Kelantan. Beliau digelar Tok Janggut kerana memiliki janggut yang panjang hingga ke dada.

Orang Melayu berjanggut adalah perkara biasa. Berlainan dengan Cina. Susah nak jumpa orang Cina berjanggut. Adakah orang Cina tidak suka menyimpan janggut? Kalau ya, kenapa? Sebenarnya, orang Cina pada suatu waktu dahulu juga berjanggut. Malahan, ahli falsafah Cina, pahlawan perang Cina, termasuk pahlawan kungfu Shaolin, menyimpan janggut. Tetapi sekarang, amat sukar untuk mencari orang Cina yang menyimpan janggut. Jika ada pun di negara China, mereka akan dicop sebagai pengganas.

Menurut laporan China Youth Daily, sebuah mahkamah di Bandar Kashgar telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada seorang lelaki Uighur berusia 38 tahun hanya kerana dia berjanggut, manakala isterinya pula dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana berpurdah. Berjanggut adalah amalan yang tidak dibenarkan pihak berkuasa di Wilayah Xinjiang, China.

Jika kita lihat sejarah China, Guang Gong (Guan Yu), atau Kwan Kong dalam dialek Hokkien, adalah seorang pahlawan perang yang terkenal yang hidup dalam tahun 221-269 Masehi, iaitu pada zaman Tiga Negara (Three Kingdoms Era). Kwan Kong dipuja kerana kejujuran dan kesetiaan beliau. Dia adalah lambang satria sejati yang sentiasa menepati janji dan setia pada sumpahnya. Kebiasaannya, golongan kongsi gelap Cina akan melakukan sumpah sejati di hadapan patung atau lukisan Kwan Kong.

Antara kata-kata Kwan Kong yang terkenal adalah, “Membaca buku-buku yang bagus, berbicara hal yang baik, melakukan perbuatan yang benar, jadilah orang yang baik”. Setelah lebih 1,000 tahun kematian Kwan Kong, beliau dipuja sebagai seorang dewa, sebagai penghormatan ke atas beliau yang begitu teguh memegang sumpah, tidak goyah oleh harta, kekuasaan dan kedudukan, serta setia kepada sahabat. Yang menariknya, Kwan Kong mempunyai janggut yang panjang.

Kwan Kong juga telah mengangkat sumpah persaudaraan dengan Liu Bei (Raja Shu ketika itu) dan juga seorang lagi pahlawan perang, Zhang Fei. Mereka berdua ini juga menyimpan janggut sebagaimana Kwan Kong. Satu lagi dewa berjanggut yang sering disembah ketika Tahun Baru Cina ialah Dewa Cai Shen iaitu dewa kekayaan, harta dan rezeki. Banyak lagi dewa orang Cina yang mempunyai janggut panjang seperti dewa tanah (Tu Di Gong), dewa mimpi (Zhou Gong), dan lain-lain lagi.

Confucius atau Kung Fu Tze (551-479 SM), merupakan ahli falsafah yang termasyur di China. Beliau menekankan prinsip moral dan politik, hubungan sosial, keadilan dan keikhlasan. Pemikiran Confucius telah dikembangkan menjadi satu sistem falsafah yang luas dan lengkap, dan kini dikenali sebagai Confucianism atau Konfusianisme. Walaupun sudah lama meninggal dunia, ajaran dan falsafah beliau masih diamalkan sehingga sekarang. Beliau juga mempunyai janggut yang panjang.

Jika kita menonton cerita kungfu, contohnya Master Shaolin, mereka juga mempunyai janggut putih yang panjang. Selain itu, pahlawan Wushu yang terkenal di negara China, Wang Zi Ping (1881-1973), yang merupakan seorang muslim, juga menyimpan janggut. Malahan, majalah Kung Fu Tai Chi keluaran Julai/Ogos 2012 terbitan TC Media Inc, Freemont, CA, USA, mempamerkan wajah seorang pahlawan kung fu berjanggut panjang di muka hadapan majalah mereka.

Di Eropah, pahlawan Viking yang perkasa juga mempunyai janggut. Begitu juga hero Inggeris di Nottingham, Robinhood, dan pahlawan Sparta di Greek. Sekarang ini, selain dari orang Islam, pendita Yahudi, sami Hindu dan penganut Sikh juga menyimpan janggut. Begitu juga paderi Kristian Ortodoks. Nabi Isa juga digambarkan sebagai berjanggut oleh orang Kristian.

Menurut seorang sahabat keturunan Cina, janggut menggambarkan bahawa seseorang itu tua dan matang. Walau bagaimanapun, janggut tidak popular di kalangan orang muda kerana mereka akan kelihatan seperti orang yang tidak terurus dan kotor. Artis-artis dan model Cina kebanyakannya tidak berjanggut. Mereka yang tidak berjanggut digambarkan sebagai kemas dan bersih, serta lebih bertamadun. Tapi itu adalah persepsi semata-mata.

Menurut kajian saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat, yang berjudul “The Amazing Fact of Human Body”, janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang boleh membantu kesuburan wanita. Ia boleh membantu menstabilkan kitaran haid dan menggalakkan pertumbuhan telur wanita.

Kajian oleh saintis dari Boston University, Amerika Syarikat, Dr Herbert Mescon pula mendapati bahawa janggut dapat melindungi muka dari molekul-molekul berbahaya di dalam udara, yang boleh merosakkan sel dan meningkatkan risiko kedutan dan kulit bermasalah. Janggut melindungi kulit dan kelenjar sebum dari dijangkiti oleh bakteria jerawat, Vulgaris, sekaligus mencegah jerawat dan bintik hitam.

Profesor dalam bidang Radiasi Fizik, Prof. Alfio Parisi dari University of Southern Queensland, telah membuat kajian mengenai janggut dan hasil penemuan beliau yang diterbitkan dalam jurnal Radiation Protection Dosimetry (2012), janggut dapat menghalang 90-95 peratus sinar ultraviolet (UV) yang berbahaya, seterusnya melambatkan proses penuaan dan mengurangkan risiko kanser kulit. Dalam kajian tersebut, kepala patung yang berjanggut penuh, berjanggut sedikit dan tiada janggut dibiarkan di bawah panas terik matahari di Queensland, Australia. Kepala patung itu juga akan di pusing ke beberapa arah dan kadar UV disukat.

Dr De Fiori, pakar kulit dari Rosacea Treatment Clinic di Melbourne, Australia, turut menyokong penemuan tersebut. Beliau mengatakan bahawa lagi panjang janggut seseorang, lebih tinggi kadar perlindungan dari sinar UV yang berbahaya. Janggut berupaya melindungi muka dari kanser kulit dengan menahan serta menyerap sinar UV sebagaimana krim pelindung cahaya matahari berfungsi. Dr Nick Lowe, pakar kulit ternama dari London, turut bersetuju dengan penemuan ini.

Terurus dan kemas atau tidak seseorang itu bukan bergantung pada janggut. Seorang yang tidak berjanggut pun akan kelihatan selekeh dan kotor sekiranya tidak menjaga kebersihan dan penampilan diri. Janggut jika dijaga rapi, akan menambahkan seri pada kaum lelaki, malah mungkin nampak lebih “macho”.

Bagi umat Islam pula, menyimpan janggut juga adalah sunnah Nabi Muhammad SAW dan jika seseorang menyimpan janggut dengan niat untuk mengikut sunnah Baginda, insyaAllah akan mendapat pahala. Malah, setiap nabi dan rasul menyimpan jambang dan janggut. Ia juga amalan para sahabat, tabiin dan ulama.

Terdapat beberapa hadis berkenaan pemeliharaan janggut. Antaranya, “Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu” (Riwayat Bukhari), “Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin dan peliharalah janggut kamu” (Riwayat Bukhari dan Muslim), dan “Janganlah kamu meniru orang-orang Majusi kerana mereka itu memotong janggut mereka dan memanjangkan misai mereka” (Riwayat Muslim).

Salah satu tanda-tanda kelakian yang hakiki terletak pada janggut. Janggut hanya dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada orang lelaki. Ia membezakan di antara lelaki dan perempuan walaupun seorang lelaki itu hanya mempunyai beberapa helai janggut.

Sebagai kesimpulan, janggut bukanlah hanya untuk sesuatu kaum. Malah, sejarah membuktikan masyarakat Cina di China, tanpa mengira agama, juga menyimpan janggut satu ketika dahulu. Dan, janggut memberi kelebihan dan kebaikan tersendiri bagi sesiapa yang menyimpannya. Simpanlah janggut walau sejemput.


Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan