Fri02232018

LAST_UPDATEFri, 23 Feb 2018 1pm

Kerjasama UMNO Dan PAS Bukannya Mustahil

Tahun 2016 membuka lembaran baru dalam dunia politik Malaysia apabila dua parti Melayu dan Islam terbesar, UMNO dan PAS, dilihat boleh duduk semeja dan bekerjasama demi kepentingan Islam dan perpaduan ummah. Meskipun harapan untuk melihat kedua-dua parti itu bergabung seperti era 1970an agak tipis, ia tidak mustahil.

Baru-baru ini, tokoh pendakwah agama yang tersohor, Dr Zakir Naik, telah menyarankan supaya UMNO dan PAS membentuk kerjasama politik di dalam kerajaan campuran bagi menjadikan agama Islam dan negara ini lebih kuat. Beliau mengatakan demikian dalam sidang media selepas menjadi tetamu dalam program bual bicara “Persepsi” di TV Al Hijrah. Menurut Dr Zakir, kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam. Ini merupakan pandangan jujur seorang pendakwah Islam yang ingin melihat umat Islam bersatu dan menjadi tonggak utama dalam negara.

Seruan Dr Zakir Naik agar UMNO dan PAS bekerjasama menarik perhatian banyak pihak. Ada yang menyokong dan ada juga yang kurang senang. Malah, PAS sendiri menolak cadangan tersebut, seperti yang disuarakan oleh Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS. Menurut beliau, pendirian itu selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 2 Januari 2016 yang memutuskan bahawa “PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional”.

Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Dr Zakir itu menepati usaha awal kedua-dua parti tersebut yang telah menjalin muafakat sejak tahun lalu.

Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyokong pendapat Dr Zakir. Menurut Yang Dipertua Majlis Syura ISMA, Sharipuddin Ab Kadir, permuafakatan tidak seharusnya terhad kepada UMNO dan PAS sahaja, sebaliknya perlu melibatkan seluruh parti Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, turut menyambut baik saranan tersebut. Beliau berkata, PAS dan UMNO tidak boleh dipisahkan walaupun kedua-duanya mempunyai ideologi yang berbeza. Beliau turut berpendapat UMNO dan PAS wajib menjalankan kerjasama demi kelangsungan Islam di negara ini dengan mewujudkan kerajaan campuran.

Walaupun PAS tidak akan berganjak dari pendiriannya untuk tidak bergabung dengan UMNO, menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pandangan tersebut diterima dengan terbuka.

Menurut Datuk Takiyuddin, PAS sentiasa berpegang kepada dasar Islam, di mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan. Hal ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan kebaikan, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” Lalu ditanya kepada Baginda, “Ya Rasulullah SAW, kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim?” Baginda menjawab, “Elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka.” (Riwayat Imam Bukhari)

Bersandarkan nas-nas di atas, PAS sentiasa konsisten serta mengambil pendekatan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya. Ianya juga selaras dengan Fasal 6(6), Perlembagaan PAS (Usaha-usaha) yang memperuntukkan:

“Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.”

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS menghormati pandangan Dr Zakir Naik sebagai seorang cendekiawan Muslim yang dihormati di seluruh dunia. Namun, PAS masih terus dengan pendiriannya bahawa penggabungan PAS dan UMNO tidak akan berlaku sama-sekali. PAS akan terus dengan politik matang dan sejahtera, bekerjasama dengan kerajaan dalam isu-isu yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Penulis melihat PAS yang sudah sekian lama memperjuangkan hukum-hukum Islam tidak dapat melakukannya bersendiri. Parti manakah yang dapat menyokong usaha-usaha PAS ini, sekurang-kurangnya dengan memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia terlebih dahulu, kalau bukan UMNO? Jika dahulu, UMNO dikatakan penghalang untuk pelaksanaan hudud di Kelantan tetapi kini UMNO menjadi parti yang menyokong usaha kerajaan PAS ini.

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang setebal 47 mukasurat itu di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada bulan Mac 2015 telah mendapat sokongan sebulat suara ADUN Kelantan, termasuk 12 daripada UMNO.

Setelah sekian lama perbalahan politik antara PAS dan UMNO, sekarang ini kelihatan lebih banyak usaha untuk merapatkan kedua-dua pihak ini termasuk cadangan daripada Dr Zakir Naik. Sebagai rakyat biasa yang melihat perkembangan ini, penulis berpendapat bahawa langkah kerjasama tersebut harus dimulakan secepat mungkin demi kebaikan rakyat.

Kerjasama ini bukan bermakna PAS harus melupakan ideologi politik mereka tetapi sebagai gabungan yang mengekalkan identiti tersendiri dan bertindak sebagai penasihat kerajaan seperti yang tertulis dalam surah al-Asr, “berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. Jika PAS boleh bekerjasama dengan parti lain yang tidak bermatlamatkan Islam (tahaluf siyasi) dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, mengapa tidak boleh berbuat perkara yang sama dengan UMNO di dalam BN?

Ketika parti-parti bukan Islam menunjukkan kebijaksanaan politik mereka dan bersetuju dalam beberapa isu walaupun berbeza ideologi, mengapa umat Islam pula memilih untuk berpecah dan terus lemah?

Mungkin masih terdapat saki-baki dendam lama akibat pengalaman pahit ketika PAS bekerjasama dengan UMNO dari tahun 1973 hingga 1977. Kes darurat di Kelantan pada 8 November 1977 dan tersingkirnya PAS dari BN pada 13 Disember 1977 sememangnya telah meninggalkan parut yang dalam.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Dato Seri Najib Tun Razak, dan Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang, telah memecahkan tembok psikologi bahawa kononnya kedua-dua parti tersebut sukar berbaik atau bermuafakat. Sebenarnya, UMNO dan PAS sudah mula bersatu hati terutama dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam. Presiden PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti yang diterajuinya itu bersedia menjadi pendokong kuat kepada UMNO sekiranya parti tonggak Barisan Nasional itu mentadbir negara dengan ikhlas serta kembali kepada ajaran-ajaran Islam.

“Kalau UMNO kembali pada Islam, laksanakan Islam mengikut hidayah Allah, bukan kerana Islam untuk dapatkan soko¬ngan rakyat; serta benar-benar ikhlas kerana Allah, kita akan dokong agar Islam ditegakkan. PAS tak berebut jawatan atau kuasa. Apa yang PAS mahu hanya Islam ditegakkan,’’ kata Dato Seri Abdul Hadi ketika berucap merasmikan program Himpunan Harapan Rakyat di Kampung Padang Mengkuang, Marang, Terengganu pada 28 Februari 2016.

Ini bukan kali pertama PAS menunjukkan sokongan terbuka kepada UMNO. November tahun lepas, Dato Seri Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan mahu penjadi penasihat kepada kerajaan. Beliau berkata perjuangan PAS berpaksi kepada mengubah dasar pemerintahan kerajaan dan bukannya lagi ingin merebut jawatan dan mahu memerintah negara.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, turut mengatakan bahawa jika UMNO membuat perkara baik maka PAS seharusnya menyokong usaha tersebut. Menurut beliau, sebagai pembangkang, PAS tidak boleh asyik nak bangkang sahaja, walaupun perkara baik yang dibuat UMNO dan itu juga bukan politik sihat.

Walaupun cakap-cakap mengenai kerjasama ini sudah acapkali kedengaran, perjalanannya masih jauh. Banyak juga cabaran besar yang harus ditempuhi, lebih-lebih lagi cabaran dari dalam, iaitu dari kalangan para pemimpin PAS dan UMNO sendiri.

Dan walaupun agak tidak realistik untuk melihat parti-parti ini bergabung dalam masa terdekat, ramai yang mengharapkan penyatuan dua parti Melayu terbesar ini agar dapat memperkukuhkan lagi perjuangan isu-isu berkaitan Islam. Yang pasti, kerjasama antara UMNO dan PAS untuk kepentingan agama dan rakyat akan membuka dimensi baharu dalam landskap politik di Malaysia.

 

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan