Fri07202018

LAST_UPDATEThu, 19 Jul 2018 11pm

Telur Halal Dan Isu Logo Halal

Islam ialah agama yang menyeluruh, mencakupi semua sudut kehidupan. Antaranya berkaitan isu halal dan haram, bukan sahaja untuk makanan dan minuman, tetapi juga aspek-aspek lain seperti solat, puasa, haji, simpanan wang, pelaburan, sewa, pembelian, pinjaman, percakapan dan sebagainya. Malah, ia juga merangkumi skop yang lebih luas iaitu ilmu, akidah, syariah dan juga akhlak.

Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut berkenaan halal dan haram dalam Islam, perlu kita faham terlebih dahulu apa yang dimaksudkan sebagai halal dan haram itu sendiri. Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak. Halal menurut majoriti ulama ialah perkara yang harus yang tidak terdapat dalil daripada syarak yang mengharamkannya. Manakala yang haram pula apabila terdapat penjelasan oleh nas, sama ada daripada Al-Quran mahupun hadis, yang mengharamkannya. Yang tidak dijelaskan oleh nas pula, dijelaskan oleh ijmak ulama.

Islam menganjurkan kepada umatnya supaya memakan makanan yang halal lagi berkhasiat, kerana makanan halal lagi berkhasiat bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan, bahkan juga kepada kesucian hati. Inilah yang dimaksudkan dengan halalan toyyiban yang mungkin sering diungkapkan tetapi tidak atau kurang dimengerti lalu sangat kurang dihayati. Tiada agama yang sangat prihatin dalam hal pemakanan seperti Islam. Apa yang masuk ke dalam perut akan meninggalkan kesan pada akhlak dan hati.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang bagi kamu.” (Al-Baqarah: 168)

Baru-baru ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyifatkan tindakan pengeluar mengedarkan telur ayam dicop logo halal pada setiap biji telur seperti yang tersebar di media sosial sebagai melanggar peraturan berkaitan penggunaan logo halal. Manakala viral telur halal yang disebarkan di media sosial juga adalah keterlaluan.

JAKIM melalui Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hub Halalnya berkata, tindakan syarikat pengeluar yang meletakkan logo halal pada setiap biji telur adalah bercanggah dengan peraturan berkaitan penggunaan logo halal. Menurut JAKIM lagi, Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan untuk produk telur ayam adalah bagi memastikan proses pembersihan dan pembungkusan tidak melibatkan proses meragukan.

Ramai yang berkata telur ayam sudah tentu halal, perlukah pengesahan halal dari JAKIM sehingga dicop pula dengan logo halal pada setiap biji telur? Perkara ini sememangnya menimbulkan kekeliruan yang tidak sepatutnya.

Sebelum cuba mengambil tahu tentang keperluan pengesahan halal, kita perlu terlebih dahulu faham takrifan halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan “Halal”) 1975 yang mana ia adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu, maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu:

a) Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.
b) Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.
c) Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut Hukum Syarak.
d) Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang       dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Hukum Syarak bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafie atau undang-undang dalam mana-mana suatu daripada Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah dipersetujui oleh Yang DiPertuan Agong dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana negeri dikuatkuasakan dalam negeri itu (Portal Rasmi Halal Malaysia).

Menurut Portal Rasmi Halal Malaysia, pemohon yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal dikategorikan seperti berikut:

a) Pengeluar/ pengilang produk (manufacturer/ producer);
b) Pengedar/penjual (distributor/ trader);
c) Pengeluar sub-kontrak (sub-contract manufacturer);
d) Pembungkusan semula (repacking);
e) Premis makanan (food premise);
f)  Rumah sembelih (abattoir/slaughter house).

Manakala permohonan akan ditolak bagi perkara-perkara berikut:

a) Syarikat yang mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal;
b) Produk yang tidak halal;
c) Bahan semulajadi yang tidak melibatkan sebarang pemprosesan;
d) Ubat-ubatan atau produk yang dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ;
e) Pewarna rambut (hair color/hair dye);
f)  Produk siap diproses (finished and processed product) yang dikeluarkan di luar negara;
g) Baja dan makanan binatang.

Berbalik kepada isu telur halal, perlukah telur mendapat pengesahan halal? Ada yang mengeluarkan kata-kata yang berbentuk sindiran seperti telur halal dijamin keasliannya dan tidak mengandungi lemak babi, ayam-ayam telur tersebut tidak terlibat dalam pergaulan dan seks bebas, dan sebagainya. Kita kurang terkesan jika yang bukan Islam mempersoalkan perihal keperluan sijil halal ini kerana berkemungkinan besar mereka tidak faham. Masalahnya, ramai juga umat Islam yang mempersendakannya.

Jika kita lihat laporan berita Borneo Post bertarikh 17 Disember 2015, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) Sarawak merampas tujuh jenis beras berjumlah kira-kira 23 tan metrik berikutan penggunaan logo halal yang tidak diiktiraf di sebuah kilang di Jalan Demak Maju. Lebih 20,000 bungkusan beras yang dianggarkan bernilai RM51,000 di dalam kilang berkenaan didapati menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketika itu ramai yang bertanya, wujudkah beras yang tidak halal? Penulis pernah berbicara dengan seorang konsultan pensijilan halal dan beliau ada berkongsi perihal permohonan sijil halal pengusaha serunding beragama Islam yang tidak diluluskan. Mengapa terjadi begitu?

JAKIM mengamalkan konsep halalan toyyiban seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini. Ia membawa maksud makanan yang dibenarkan atau diberi kebenaran untuk dimakan, bergantung kepada undang-undang Syarak selagi ianya selamat dan tidak memudaratkan. Haram atau tidak halal adalah berlawanan dengan halal dan ia bermaksud sesuatu yang dilarang atau ditegah. Sebarang makanan atau minuman yang berada dalam bahagian samar-samar dan tidak secara langsung atau jelas berada dalam kategori halal atau tidak halal dikategorikan sebagai “syubhah”, yakni was-was atau disangsikan.

Dari Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Darimi r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Apa yang halal adalah jelas. Apa yang haram juga adalah jelas. Dan di antara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barang siapa yang menjaga dirinya dari perkara yang samar, ia telah membersihkan kehormatannya (dari dosa). Barang siapa yang terjatuh dalam melakukan perkara samar, maka ia telah terjatuh dalam melakukan perkara yang Haram.”

Menurut ajaran Islam, prinsip umum berkenaan makanan ialah semua adalah halal kecuali kotoran (atau yang telah bercampur kotoran), memudaratkan dan memabukkan. Oleh itu, adalah wajib bagi seorang Muslim memakan makanan yang baik dan menyihatkan dan mengelak semua yang dilarang seperti yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Penjelasan yang lebih terperinci tentang prinsip halal dan haram boleh dibaca dalam buku yang ditulis oleh tokoh Islam yang dihormati, Dr Yusuf al-Qaradawi iaitu “The Lawful and the Prohibited in Islam”.

Dengan ini, jelas bahawa selain memenuhi undang-undang Syariah yang wajib bagi setiap umat Islam, keselamatan makanan memainkan peranan penting dalam menentukan toyyiban, contohnya aspek kebaikan (selamat, bersih, berkhasiat, berkualiti) makanan tersebut.

Maka, untuk isu beras yang tidak mendapat sijil halal, besar kebarangkalian beras tersebut tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JAKIM untuk menjadikannya halalan toyyiban. Mungkin ketika disimpan di dalam kilang atau gudang, ia disembur dengan racun untuk mengelak dimakan tikus atau serangga. Ketika dalam peringkat tanaman lagi, padi akan disembur racun rumpai tiga atau empat kali, racun ulat tidak kurang dari enam kali dan racun kulat dalam tiga atau empat kali untuk setiap musim. Beras yang diimport kebiasaannya lebih banyak mengandungi racun agar tahan lebih lama.

Ada juga segelintir pengilang beras yang menggunakan klorin (yang biasanya digunakan sebagai pemutih pakaian) agar beras menjadi putih dan berkilat. Jika kita berterusan makan beras yang mengandungi klorin ini boleh mengakibatkan kanser serta kerosakan ginjal. Oleh itu, beras yang pada asalnya halal untuk dimakan, sudah bercampur kotoran (racun) yang memudaratkan, dan sudah tentu tidak toyyiban.

Begitu juga bagi pengusaha serunding dalam industri kecil dan sederhana yang mungkin menjalankan perniagaan di rumah. Ada yang mungkin menyembur racun serangga di dalam tempat simpanan serunding untuk mengelak lipas dan serangga lain. Atau, racun serangga disembur di dalam stor penyimpanan serunding; apabila sudah tiada bau, serunding langsung disimpan di dalam stor tersebut dan terdedah kepada racun serangga yang masih terampai di udara walaupun bau sudah tiada. Apabila ujian kimia dibuat, racun dikesan pada serunding tersebut dan ini akan menggagalkan permohonan sijil halal. Ini sekadar contoh keadaan yang boleh menyebabkan mana-mana permohonan sijil halal tidak diluluskan. Ramai pengusaha serunding kecil-kecilan yang berjaya mematuhi konsep halalan toyyiban ini.

Bagi memastikan aspek-aspek halalan toyyiban tidak dipandang remeh, Malaysia telah menetapkan standard makanan Halal melalui piawaian MS1500:2004 : Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengurusan & Penstoran – Panduan Umum (Rujukan Pertama) sebagai makanan yang dibenarkan di bawah undang-undang Shariah dan memenuhi syarat-syarat berikut:

a) Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau produk haiwan yang tidak halal bagi orang Islam atau produk haiwan yang tidak disembelih mengikut undang-undang Shariah.
b) Tidak mengandungi sebarang ramuan yang najis mengikut undang-undang Shariah.
c) Selamat dan tidak membahayakan.
d) Tidak disediakan, diproses atau dikeluarkan menggunakan alatan yang tercemar dengan najis (kotoran dan tidak bersih) mengikut undang-undang Shariah.
e) Makanan atau ramuan makanan tidak mengandungi mana-mana bahagian manusia atau penghasilan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang Shariah.
f) Dan semasa pembuatan, pemprosesan, pembungkusan, penstroran atau pengangkutan, makanan tersebut terasing secara fizikal dari mana-mana makanan yang tidak mencapai syarat yang telah dinyatakan di atas atau          sebarang benda lain yang telah dikelaskan sebagai najis (kotoran atau tidak bersih) oleh undang-undang Shariah.

Definisi ini jelas menunjukkan bahawa produk yang tidak selamat, memabukkan dan membahayakan tidak akan disahkan halal di bawah Piawaian Malaysia. Keselamatan makanan perlu sentiasa menjadi faktor penting dalam pengeluaran makanan dan produk-produk boleh makan yang lain. Lebih 200 penyakit berpunca daripada makanan telah dikesan dan jumlah ini sebenarnya sangat tinggi.

Maka, kita lihat makanan yang disahkan halal oleh JAKIM yakni yang telah mematuhi semua syarat piawaian yang ditetapkan, merupakan makanan yang selamat untuk dimakan bukan sahaja oleh umat Islam, tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam. Dengan adanya sijil halal pada sesuatu produk makanan, kita bertambah yakin bahawa makanan tersebut bukan sahaja halal, tetapi selamat untuk dimakan.

Berkenaan isu telur yang telah menjadi viral, pengeluar telur tersebut sememangnya telah mematuhi syarat-syarat JAKIM dalam proses pembersihan dan pembungkusan, dan telah pun mendapat sijil pengesahan halal. Cuma tidak pasti sama ada pengeluar betul-betul meletakkan cop halal pada setipa biji telur, atau ada mereka yang cuba bertindak nakal mengedit gambar tersebut dengan tujuan yang tidak baik.

Terpulang kepada pengguna jika yakin dengan status halal telur yang tidak mempunyai sijil pengesahan halal. Cuma jika mempunyai sijil halal, kita lebih yakin tentang keselamatan makanan tersebut. Tepuk dada, tanyalah iman.

 

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan