Tue01232018

LAST_UPDATETue, 23 Jan 2018 5pm

Taman Rimba Ampang Dibuka Semula Selepas Projek EKVE Digantung

Mahkamah akan memutuskan 7 Jun ini bagi mendengar permohonan penggantungan kekal ke atas pembinaan EKVE yang menjejaskan kawasan Taman Rimba Ampang.Mahkamah akan memutuskan 7 Jun ini bagi mendengar permohonan penggantungan kekal ke atas pembinaan EKVE yang menjejaskan kawasan Taman Rimba Ampang.KUALA LUMPUR: Taman Rimba Ampang dibuka semula kepada orang awam selepas ditutup sementara kira-kira lima bulan bagi pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Ia berikutan perintah Mahkamah Tinggi supaya pembinaan lebuh raya itu yang merentasi sebahagian Hutan Simpan Ampang termasuk Taman Rimba Ampang dihentikan sementara.

Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai kembali beriadah di Taman Rimba Ampang selepas ia dibuka semula.

Beberapa pengunjung turut menggunakan kesempatan cuti sekolah untuk berkelah di taman rekreasi itu.

Di sebalik penutupan hanya kira-kira lima bulan, tinjauan mendapati sebahagian kecil kawasan hutan telah ditebang, dipercayai ada kaitan dengan pembinaan lebuh raya EKVE.

Bagaimanapun, tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dilakukan walaupun kelihatan beberapa pekerja di kawasan berkenaan.

Projek EKVE membabitkan pembinaan lebuh raya bertol menghubungkan Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana.

Pada 25 Mei lalu, tiga pertubuhan alam sekitar iaitu Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Treat Every Environment Special (TrEES) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dibenar mencabar keputusan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk menutup Taman Rimba Ampang bagi pembinaan EKVE.

Mahkamah akan memutuskan 7 Jun ini bagi mendengar permohonan penggantungan kekal.

Sebelum ini, pada 5 Januari lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menampal notis penutupan Taman Rimba Ampang bagi pembinaan lebuh raya berkenaan.

Taman Rimba Ampang adalah akses utama bagi orang awam ke hutan simpan ampang yang terletak dalam Taman Warisan Selangor.

-Astro Awani