Fri12152017

LAST_UPDATEThu, 14 Dec 2017 11pm

Jenama Tempatan Pilihan Utama Gen Y Malaysia

KUALA LUMPUR: Jenama produk tempatan masih menjadi perhatian dan mendapat sokongan daripada generasi Y (Gen Y) di Malaysia berbanding jenama antarabangsa.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Influential Brands dengan kerjasama Sekolah Perniagaan Universiti Terbuka Malaysia (OUM), antara jenama tempatan yang menjadi pilihan Gen Y termasuklah Malaysia Airlines, AirAsia, CIMB Bank dan produk makanan seperti Hup Seng dan Munchy’s.

Pensyarah Sekolah Perniagaan OUM, Profesor Madya Dr. Zorah Abu Kassim berkata, jenama-jenama yang dipilih pengguna Gen Y Malaysia disifatkan sebagai praktikal serta mengimbangi gaya hidup sederhana.

Ujarnya, Gen Y di Malaysia secara umumnya berpendapat, nilai dan kualiti produk adalah hampir sama penting dengan imej sesebuah jenama.

“Produk buatan Malaysia dan jenama Malaysia dianggap pen­ting bagi kehidupan seharian majoriti responden.

“Trend yang digambarkan ini dilihat konsisten dengan pilihan Gen Y dalam pelbagai kategori meliputi kereta, restoran, barangan kegunaan harian seperti kopi dan biskut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik tersebut dijalankan secara dalam talian dan menerusi tinjauan ke atas Gen Y berusia antara 21 hingga 31 tahun.

Lebih daripada 50 kategori termasuk perdagangan dalam talian, makanan dan minuman, produk elektronik, kecantikan dan lain-lain tersenarai dalam kaji selidik tersebut.

Tambah Zorah, kajian itu turut menunjukkan bahawa Gen Y Malaysia telah terbiasa dengan produk buatan dan jenama Malaysia kerana jenama-jenama tersebut mudah didapati secara meluas di negara ini.

“Produk dan jenama ini juga mendapat perhatian dan sokongan baik dalam media tempatan dari segi pengiklanan dan publisiti.

“Ini membuktikan bahawa jenama tempatan mempunyai kehadiran unggul di pasar raya tempatan, pusat beli-belah dan kedai-kedai runcit di negara ini,” katanya.

- Utusan Malaysia