Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Bahana Pokemon Go

Pokemon adalah singkatan bagi pocket monster, satu permainan yang dicipta oleh Nintendo di Jepun pada tahun 1996. Selain dimainkan menggunakan Nintendo Game Boy, ia juga boleh dimainkan dalam bentuk permainan kad. Setiap kad mempunyai Pokemon yang berbeza; setakat ini terdapat lebih daripada 150 jenis Pokemon. Pokemon yang paling terkenal ialah Pikachu, satu karakter berwarna kuning. Selain permainan, terdapat juga “anime” (animasi Jepun) Pokemon di kaca TV. Dalam siri animasi atau kartun tersebut, digambarkan pengembaraan Ash dan Pikachu di dunia Pokemon untuk mengumpul Pokemon.

Pikachu begitu terkenal sehingga dijadikan maskot kepada francais Pokemon. Karakter Pikachu juga diterbitkan beberapa kali dalam siri kartun “The Simpsons”. Majalah Times pada tahun 1999 telah menamakan Pikachu sebagai karakter yang kedua terbaik di dunia; karakter animasi yang paling disukai ramai selepas Hello Kitty. Pikachu juga dipilih bersama 10 lagi Pokemon lain sebagai maskot negara Jepun untuk Piala Dunia FIFA 2014.

Setiap Pokemon adalah monster atau raksasa kecil yang mempunyai kuasa tersendiri, dan setiap kuasa adalah unik dan berlainan. Dalam permainan Pokemon, matlamatnya adalah untuk memiliki seberapa banyak Pokemon yang boleh, melatih mereka menggunakan kuasa yang ada, dan menggunakan Pokemon tersebut untuk berlawan dengan Pokemon lain. Pokemon yang berlawan antara satu sama lain menggunakan kuasa masing-masing dan Pokemon yang kalah akan menjadi milik tuan kepada Pokemon yang menang.

Pokemon juga dapat berkembang kuasanya; ia meningkat kepada beberapa tingkatan dan yang tertinggi adalah 100. Pokemon terdiri daripada beberapa kategori seperti api, elektrik, hantu, racun, dan psikik dengan kuasa-kuasa seperti menjadi panas, berlari pecut, mengeluarkan renjatan elektrik, membuat letupan, mempunyai kuku tajam, menggigit, mengeluarkan racun, membaca fikiran, melakukan hipnosis, dan sebagainya. Pikachu, sebagai contoh, boleh mengeluarkan elektrik.

Permainan Pokemon menjadi bertambah canggih dengan adanya Nintendo DSi dan Nintendo 3DS, masing-masing pada tahun 2009 dan 2011. Nintendo DSi mempunyai dua skrin dan dua kamera, berkeupayaan mengambil gambar 3D manakala Nintendo 3DS berkeupayaan bermain Pokemon versi 3D.

Adakah permainan Pokemon berbahaya? Permainan Pokemon sebenarnya tidak berbahaya tetapi ia melalaikan, sebagaimana permainan video yang lain. Saya mempunyai anak lelaki yang bukan sahaja gemar bermain Nintendo Pokemon dan permainan kad Pokemon tetapi juga memiliki board game Pokemon. Kegemarannya itu bermula sejak kecil lagi. Penulis sangat bersyukur dia sekarang bersekolah di sekolah berasrama penuh, di mana telefon pintar tidak dibenarkan manakala telefon bimbit biasa hanya dibenarkan pada hujung minggu. Tiada lagi masalah ketagihan bermain permainan video!

Terkini, permainan terbaharu Pokemon Go telah dikembangkan melalui kerjasama antara syarikat Nintendo dan Niantic. Dalam versi terbaharu ini, pemain Pokemon Go berpeluang mencari Pokemon di dunia nyata dengan teknologi augmented reality (AR). Pemain mencari Pokemon dengan berjalan-jalan ke tempat-tempat tertentu berpandukan telefon pintar yang dilengkapi dengan internet dan juga GPS.

Ketika hendak menangkap Pokemon menggunakan kamera telefon bimbit, pemain harus mengaktifkan mode AR yang membolehkan pemain melihat dunia Pokemon melalui skrin telefon pintar yang bertindak sebagai viewfinder. Pemain akan melihat pelbagai animasi dan objek 3D pada skrin tersebut. Objek-objek 3D tersebut adalah karakter Pokemon yang perlu ditangkap.

Sebagaimana permainan Pokemon yang asal, pemain Pokemon Go juga perlu melatih Pokemon yang ditangkap agar menjadi semakin kuat dan naik ke tahap yang lebih tinggi. Pokemon yang dilatih itu boleh berevolusi menjadi lebih besar dengan kemampuan yang lebih hebat. Selain itu, para pemain juga boleh saling bertukar Pokemon, atau membuat pertarungan antara Pokemon untuk merebut Pokemon yang dikehendaki.

Jika dahulu pemain perlu membeli konsol Nintendo untuk bermain permainan ini, kini mereka hanya perlu memuat turun aplikasi Pokemon Go ke dalam telefon bimbit pintar mereka. Mereka hanya perlukan telefon bimbit pintar dengan spesifikasi minima; tidak kiralah Android ataupun iPhone (iOS).

Selain melalaikan, permainan Pokemon Go ini juga berbahaya kerana mendedahkan para pemain kepada risiko kemalangan. Sejak ia dilancarkan, pelbagai insiden dilaporkan, antaranya kemalangan jalan raya baik di dalam mahupun di luar negara. Menurut laporan Utusan Malaysia bertarikh 12 Ogos, dua lelaki yang sedang asyik bermain Pokemon Go mengalami kecederaan ringan setelah dirempuh sebuah kereta di Jalan Bakar Arang.

Kejadian itu berlaku pada jam 2.30 pagi. Dua pemuda tersebut yang berumur 30 dan 35 tahun dilanggar oleh sebuah kereta Proton Wira di hadapan sebuah kedai. Kedua-duanya mendapat luka ringan di badan.

Bernama pada 9 Ogos melaporkan seorang wartawan cedera apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar jalan berlubang ketika asyik mengejar karakter Charmander dalam permainan Pokemon Go. Dia mengalami luka ringan di dagu dan lebam di badan.

Dalam satu kejadian berasingan di Auburn, Alabama, Amerika Syarikat, satu kemalangan telah berlaku yang membabitkan seorang pemandu yang terbabas dan melanggar sebatang pokok. Pemandu itu mengaku dia bermain Pokemon Go ketika memandu sehingga membuatkannya hilang tumpuan. Bagaimanapun, pihak polis tidak mendedahkan identiti pemandu itu yang mengalami cedera ringan akibat kemalangan tersebut.

Tidak lama selepas kemalangan itu, satu lagi kemalangan dilaporkan. Ia membabitkan seorang pemandu wanita yang melanggar sebuah kereta lain di Toowoomba, Queensland, Australia. Ada pengguna aplikasi Pokemon Go yang mengatakan kemalangan tersebut bukan berpunca daripada permainan baharu itu tetapi atas kecuaian pengguna itu sendiri.

Indonesia dan Arab Saudi telah mengharamkan permainan Pokemon Go di negara masing-masing. Mufti Pulau Pinang juga telah menyarankan agar fatwa dikeluarkan bagi mengharamkannya. Setelah berbincang dan mengambil kira pelbagai perkara, Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa permainan Pokemon Go perlu dijauhi sekiranya ia memudaratkan.

Berikut merupakan kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan:

Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat. Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku, membawa kepada—

• Bahaya dari segi pengintipan pihak luar,
• Pencerobohan ruang peribadi,
• Faktor keselamatan seperti kemalangan,
• Kelalaian,
• Ketagihan melampau terhadap gajet,
• Kehilangan fokus terhadap realiti sekeliling,
• Gangguan emosi seperti mudah marah akibat kekalahan,
• Membawa kepada akhlak yang buruk, dan
• Ancaman kepada pekerjaan dan pelajaran.

Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar memilih bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, dan juga tiada unsur khurafat yang mengarut.

Meskipun penggemar permainan Pokemon Go atau mana-mana permainan yang boleh dimainkan menggunakan telefon bimbit pintar mungkin tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan permainan itu membawa kemudaratan, ada golongan yang turut bersetuju sekiranya permainan tersebut turut diharamkan di negara ini. Pandangan mereka disuarakan di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram. Menurut kumpulan ini, Pokemon Go wajar diharamkan kerana telah menyebabkan kemalangan, termasuk kematian, gara-gara terlalu leka dengan permainan tersebut.

Bagi penggemar Pokemon Go, mereka menegaskan permainan itu seperti permainan lain juga dan setiap pengguna tidak perlu taksub sehingga mengabaikan keselamatan dan nyawa sendiri. Terdapat juga pengguna laman sosial yang mempunyai pandangan neutral tentang perkara ini dan menganggap tiada salahnya jika memuat turun aplikasi Pokemon Go untuk menghilangkan rasa bosan. Aplikasi ini menurut mereka ada positifnya kerana Pokemon Go merupakan permainan yang memerlukan kemahiran berfikir serta skil tertentu yang secara tidak langsung menguji minda dan kecekapan pemainnya.

Berdasarkan beberapa kejadian yang berlaku sama ada di negara ini mahupun di luar negara, permainan Pokemon Go sememangnya boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada pemainnya. Bukan itu sahaja, ia juga menyebabkan ketagihan dan kelalaian yang menjurus kepada pembaziran masa. Amatlah tidak wajar dan kurang bijak untuk sesiapa sahaja membiarkan masa yang dikatakan emas itu mengalir begitu sahaja untuk permainan yang lebih banyak mudarat berbanding kebaikan itu.

Tepuk dada, tanyalah selera.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan