Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 2pm

Bantah Akta Dana Politik? Menteri Hairan Sikap Pelik Pembangkang

KUALA LUMPUR: Pembangkang nyata bersikap pelik apabila membantah cadangan untuk mewujudkan akta kawal selia dana politik bagi membolehkan ketelusan dalam arena politik negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saleh Said Keruak berkata, cadangan untuk menggubal akta berkenaan merupakan permintaan pembangkang sendiri.

“Saya pun hairan kenapa mereka tolak sedangkan ini yang mereka inginkan,  seolah-olah kita wujudkan undang-undang tersebut untuk mengaburi mata rakyat sedangkan tujuan kita nak amalkan politik terbuka kerana ini adalah kehendak rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, akta ini mempunyai tujuan baik iaitu untuk mengelakkan ketirisan  dan salah guna wang rakyat.

“Kita alu-alukan undang-undang sedemikian kerana kita nakkan ketelusan tak ada sebab nak tentang kalau perlu sokongan semua pihak.

"Tujuannya baik, sebab sebelum ini ramai yang selalu persoalkan dana politik parti, jadi untuk atasi masalah penting ini kita buat undang-undang tersebut bagi mengetahui dari mana sumber yang memberi dana kepada setiap parti politik, baik kerajaan atau pembangkang,” tambahnya.

Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) mendapat reaksi positif dari parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menganggap ianya akan mengukuhkan tahap kesamarataan arena politik negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sru Annuar Musa menegaskan, akta tersebut boleh mengawal dan menyelaraskan perbelanjaan politik semua parti tidak kira dari BN atau pakatan pembangkang.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan sementara itu menjelaskan, akta tersebut juga perlu menumpukan kepada semua jenis dana tidak kira jumlahnya besar atau kecil.

“Ceramah mingguan pembangkang yang melibatkan kutipan derma dengan mengedarkan 'tin Milo' untuk mengumpul derma daripada para hadirin juga perlu dikaji.

“Di samping itu, kempen derma melalui tajaan majlis makan juga perlu diambil kira. Mungkin setiap sumbangan adalah kecil tetapi oleh kerana jumlahnya besar, angka terakhir mungkin besar dan boleh mencecah berjuta-juta dalam satu tahun," katanya.

Walaubagaimanapun, bagi DAP penggubalan akta tersebut hanya menguntungkan BN dan dibimbangi akan merumitkan situasi ahli politik.

“Cadangan JKNMPP itu menimbulkan kontroversi kerana ia tidak jelas. Syarat-syarat yang adil dan munasabah perlu diperlihatkan untuk semua ahli politik, sama ada pembangkang mahu pun BN," kata Naib Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Parti Amanah Negara (PAN) menerusi Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub menyifatkan separuh masak ekoran tidak berbincang dengan semua parti politik berkenaan isu berkenaan.

“Sepatutnya, beliau perlu memanggil kami semua supaya boleh membincangkan kaedah dan mekanisme terbaik mengenai akta itu,” katanya.

- Malaysian Digest