Fri01202017

LAST_UPDATEThu, 19 Jan 2017 11pm

Pecah Amanah: KSU, Anak Disambung Reman

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha kementerian dan anak lelakinya disambung reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaaan kuasa jawatan dan kedudukan dengan menerima rasuah.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majisret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini sehingga 15 Januari ini.

Terdahulu, individu bergelar Datuk berusia 59 tahun itu bersama dua anaknya berusia 34 dan 29 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret serta dilihat memakai baju lokap warna jingga dan menutup muka masing-masing.

Bagaimanapun, seorang lagi anak lelakinya yang berusia 29 tahun dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 4 Januari lalu, SPRM menahan Ketua Setiausaha kementerian itu di kediamannya di Subang Jaya, Selangor kira-kira 8 pagi manakala, kedua-dua anak lelakinya ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika diambil keterangan.

Hasil pemeriksaan hampir 12 jam di rumah suspek, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Turut dirampas 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

SPRM turut merampas sejumlah dokumen daripada peguam suspek di pejabatnya di Puchong yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.

Anak lelaki suspek yang turut ditahan dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

- Harian Metro