Fri01202017

LAST_UPDATEThu, 19 Jan 2017 11pm

'Kepala' Gangster Cheras Tunggang Motosikal Tanpa Lesen, Mahu Jumpa Ketua Polis Trafik

KUALA LUMPUR: Berani menunggang motosikal tanpa lesen sah dengan alasan kononnya dia ‘kepala’ gengster di Cheras dan meminta ketua polis trafik bertemunya.

Itu tindakan biadab seorang lelaki berusia 22 tahun yang berlagak samseng selain mencabar polis menahannya.

Lelaki itu akhirnya ditahan dalam Op Roda dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, di Jalan Yaakob Latif, di sini, jam 1.15 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, suspek yang juga pekerja hotel terbabit meninggikan suaranya ketika anggota polis memintanya menunjukkan lesen memandu.

“Suspek memberitahu dia tidak mempunyai lesen memandu.

“Ketika anggota polis mahu mengambil tindakan saman, lelaki terbabit memberitahu dia adalah ketua gengster di Cheras selain mencabar anggota polis memanggil ketua polis trafik ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan ke atas suspek mendapati dia memiliki 11 tatu di badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut menahan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki kerana menggunakan lampu mata arah, Sabtu lalu.

Beliau berkata, pemandu itu didapati mengekori rapat kenderaan digunakan anggota polis ketika menjalankan rondaan Cegah jenayah di Jalan Syed Putra di sini, jam 10.45 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandunya tidak mempunyai lesen. Pihak polis kemudian membawa pemandu dan penumpang wanita ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

- Harian Metro