Fri01202017

LAST_UPDATEThu, 19 Jan 2017 11pm

Pandu Bas Guna Kaki

BEIJING: Seorang pemandu bas ditangkap selepas dirakam memandu menggunakan kaki kerana mahu menggunakan telefon bimbitnya.

Lelaki dari Shantou, wilayah Guangdong itu dirakam penumpang menggunakan kaki kirinya untuk memandu supaya dia dapat bermain telefon bimbitnya pada 6 Januari lalu.

Video itu kemudian tular di Internet selepas disiarkan laman web popular, QQ.com.

Dalam rakaman itu, kaki kiri pemandu berkenaan dilihat di atas stereng yang sekali-sekala digerakkan untuk mengawal arah pergerakan bas.

Pada masa sama dia menggunakan kaki kanannya untuk mengawal brek dan pedal minyak.

Walaupun trafik sesak, pemandu berkenaan tidak memberikan fokus sepenuhnya sebaliknya asyik bermain telefon bimbitnya.

Portal berita Huanqiu melaporkan, biro pengangkutan Shantou melaporkan pada 9 Januari lalu lelaki itu sudah ditahan polis. Syarikat bas berkenaan bagaimanapun enggan mengulas.

- Harian Metro