Tue02282017

LAST_UPDATETue, 28 Feb 2017 10pm

Tiram Goreng Petunjuk Temui Ayah

BEIJING: Seorang lelaki yang dijual ibunya sendiri ketika berusia tujuh tahun akhirnya disatukan semula dengan bapanya selepas 13 tahun terpisah, gara-gara hidangan yang dikenal pasti dari kampung asalnya.

Guangzhou Daily melaporkan, Li Risheng dijual ibunya dan dua rakan pada usia yang terlalu muda menyebabkan dia tidak banyak kenangan mengenai zaman kanak-kanaknya, termasuk mengingat kampungnya.

“Saya masih ingat hari saya dijual. Ketika itu hujan lebat dan dua rakan ibu datang ke rumah.

“Selepas makan, mereka mengajak saya keluar berjalan-jalan tetapi ayah saya enggan membenarkannya. Mereka akhirnya melarikan saya,”katanya.

Li berkata, dia kemudian dijual kepada sepasang suami isteri dan keluarga itu berpindah ke Yunfu di Guangdong. Dia cuba melarikan diri beberapa kali tetapi gagal, namun keinginan menemui semula keluarga kandungnya tidak pernah pudar.

Li akhirnya berjaya meninggalkan keluarga angkat ketika berusia 11 tahun dan mula bekerja di bandar lain.

Baru-baru ini, Li menikmati hidangan tiram goreng di sebuah restoran di Wenshanzhou, wilayah Yunnan, yang mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak.

Selepas ditanya, pemilik restoran berkenaan memberitahunya hidangan itu berasal dari Maoming di Guangdong.

Li menjejaki bapanya dengan bantuan organisasi yang membantu mangsa pemerdagangan manusia.

Sampel DNA diberikan akhirnya mengenal pasti identiti bapanya Li Shengxiong dan dua beranak itu akhirnya disatukan semula, awal bulan ini.

- Agensi