Fri10202017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

[VIDEO] Adenan Satem: Seorang Ketua Menteri, Majistret, Wartawan, Pemandu Bas Dan Guru Sekolah

Pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem ke Rahmatullah hari ini mengejutkan ramai pihak, tambahan pula beliau baru sahaja melanjutkan jawatanya sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-5 selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN), Mei lepas.

Digelar 'Apai Besar' oleh orang Sarawak, Adenan Satem berjaya membawa Barisan Nasional (BN) ke arah kemenangan dengan meraih 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kerusi keseluruhan.

Dilahirkan pada 27 Januari 1944, di Kuching, Sarawak sewaktu penjajahan tentera Jepun, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Joseph, sebelum melanjutkan ke Sekolah Menengah St Joseph.

Zaman muda Adenan tidak kurang 'sengatnya'. Percaya atau tidak, Adenan pernah mengetuai kumpulan kugiran bergelar Vagabond sebagai penyanyi utama. Hal ini menjelaskan minatnya terhadap muzik sepertimana dijelaskan dalam temubual bersama media NST bahawa beliau dahulunya hebat bermain gitar.

Namun usia mudanya tidak disia-siakan. Malah beliau pernah berkhidmat sebagai guru di sekolah sama beliau menuntut ilmu - dan ini juga menjadi punca mengapa polisi pendidikan sangat menjadi keutamaan dalam pendatdbirannya sebagai Ketua Menteri.

Sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina di Sarawak, Adenan merupakan Ketua Menteri yang pertama mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) digunakan bagi memohon jawatan sektor awam.

Perubahan besar ini membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Cina untuk menyertai kerajaan.

Sikap profesionalnya terhadap pengamal media disamping kebijakasanaannya menyusun tutur kata disumbangkan oleh pengalamannya berkhidmat sebagai seorang wartawan akhbar Sarawak Tribune sebelum berlepas ke Australia untuk menyambung pelajaran di University of Adelaide.

Graduan Ijazah Perundangan ini juga pernah bertugas di Pejabat Pendakwaraya Adelaide Australia sehingga diangkat sebagai Majistret negara berkenaan.

Sekembalinya ke Malaysia, Adenan ditawarkan jawatan Peguam Mahkamah Tinggi Borneo sebelum memulakan karier politiknya tidak lama kemudian.

Diatas tiket Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) dibawah lembaran BN, Adenan berjaya memenangai Parlimen Batang Sadong pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 seterusnya menggalas jawatan  Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar di peringkat Persekutuan.

Beliau yang kemudiannya bertanding di DUN Batu Sadong pada PRN Sarawak 2011 berjaya mempertahankan kerusi berkenaan sehingga ke akhir hayatnya.

Diangkat sebagai Ketua Menteri menggantikan Tun Taib Mahmud pada Februari 2014, Adenan merupakan anak jati Sarawak pertama memegang jawatan nombor satu negeri berkenaan.

Sewaktu PRN Sarawak 2016, Adenan turut tampil dalam video Ibu Pertiwika sebagai pemandu bas sekolah - simbolik kepada agendanya membawa anak Sarawak ke peringkat lebih jauh.

Menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Jantung Negara, Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan, Adenan meninggalkan balu, Puan Sri Jamilah Anu dan lima orang anak iaitu Siti Rafidah, Abdul Aziz, Hayati Kamidah, Aziza Jasmin dan Azizul Anuar.

- Malaysian Digest