Wed05242017

LAST_UPDATEWed, 24 May 2017 11pm

Pertukaran Pegawai Ikut Prosedur Di Bawah Perintah Am JPA - Idris Haron

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menjelaskan semua pertukaran ketua jabatan dan pegawai kerajaan negeri yang dibuat baru-baru ini adalah mengikut prosedur pentadbiran dan pengurusan di bawah Perintah Am Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata ia juga dilakukan secara profesional, tidak mengikut emosi dan berdasarkan beberapa faktor lain termasuk laporan audit bebas, tempoh masa pegawai atau ketua jabatan itu berkhidmat di agensi atau jabatan berkenaan, prestasi organisasi serta kedudukan kewangan syarikat.

"Kalau ada ketua jabatan atau pegawai yang terlibat, merungut kenapa mereka ditukar, ia tidak sepatutnya berlaku. Mereka hendaklah menerima pertukaran berkenaan secara berlapang dada.

"Ini adalah satu proses yang cukup terperinci dan berlaku secara profesional, rasional dan bukannya didorong perasaan tidak suka atau berlainan fahaman politik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata pertukaran berkenaan juga perlu dilakukan bagi mengelak jabatan, agensi atau anak syarikat kerajaan negeri terpaksa menanggung liabiliti selain kesalahan atau kesilapan berulang yang dilakukan sehingga menjejaskan perkhidmatan organisasi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan negeri sedang mengkaji menubuhkan syarikat penerbangan 'Melaka Go Airlines' yang bertujuan menghubungkan negeri itu dengan negara ASEAN menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam di sini.

"Tugas dan tanggungjawab ini akan disempurnakan Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong dan kita akan melihat keberkesanananya," katanya.

Sementara itu, Idris berkata Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V dijangka akan mengadakan lawatan rasmi ke Melaka selama tiga hari bermula 2 Mac depan dan sekaligus menjadikan Melaka sebagai negeri pertama menjadi destinasi bagi lawatan rasmi Seri Padukaa selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lepas.

"Pelbagai acara rasmi akan berlangsung sepanjang keberangkatan baginda mencemar duli di Melaka termasuk kunjung hormat yang akan dilakukan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob," katanya.

- Bernama