Sun06252017

LAST_UPDATEFri, 30 Jun 2017 8am

Jika Benar Lantikan Saifuddin Demi Melayu P.Pinang, Kenapa 'Last Minute'?

KUALA LUMPUR: Lantikan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Lim Guan Eng dikatakan untuk membela masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Mengakui perkara berkenaan, Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul berkata, kepakaran Saifuddin sebagai bekas Ahli Parlimen, bekas setiausaha politik menteri serta pemimpin PKR melayakkannya untuk 'dipinjamkan' di Pulau Pinang.

"Harus diingat Ketua Menteri daripada kaum Cina, seorang pimpinan DAP. Maka tentulah beliau hendakkan input dari orang Melayu yang di luar DAP.

“Beliau boleh dapat (pandangan) dari exconya, namun kesemua mereka berada di bawahnya (Guan Eng). Tentunya mereka akan mempunyai pandangan berbeza," ujarnya menjelaskan matlamat lantikan Saifuddin untuk menaiktaraf ekonomi dan sosial masyarakat Melayu.

“Apakah itu salah?," soal Johari.

Walaubagaimanapun, persoalan timbul kini adalah tempoh lantikan Saifuddin adalah disaat akhir ditambah lagi Guan Eng bersama DAP sudah mentadbir negeri berkenaan hampir dua penggal sebagai Ketua Menteri sejak 2008.

Pastinya, agenda memartabatkan ekonomi Melayu, dan masyarakat Pulau Pinang terutamanya sudah diterbitkan dalam polisi kerajaan negeri dan didalam bajet tahunan.

Sehingga tahun lepas, lapan bajet tahunan kerajaan negeri di Pulau Pinang sudah dibentangkan dan agenda memperkasakan ekonomi masyarakat Melayu sepatutnya menjadi tumpuan setiap kali ianya dibentangkan.

Media Antarapos menerusi analisis Abdul Rahman Malik mengenai lantikan Saifuddin mempertikaikan kerjasama DAP dan PKR ini selain mempersoalkan kepentingan sebenar usaha kerajaan 'membela masyarakat Melayu-Islam' Pulau Pinang.

"Kini dalam menghadapi PRU 14, barulah kedua-duanya (bekerjasama?) meningkatkan pembangunan untuk mereka.

"Setelah meminggirkan kepentingan Melayu Islam di negeri itu barulah mereka terkocoh-kocoh mencari Saifuddin untuk membuat perbaikan," kata Abdul Rahman.

Tambahnya, Saifuddin nyata tidak mampu melakukan perubahan drastik dalam usaha meningkatkan ekonomi masyarakat Melayu malah tugasnya kelak hanya bersifat kosmetik ataupun tempelan untuk menutup kelemahan kerajaan negeri.

"Restu dan sokongan PKR untuk “menutup” kelemahan DAP adalah satu persekongkolan untuk “mempermainkan” nasib Melayu-Islam di negeri itu. Bakat dan kepemimpinan sebenar Saifuddin agak terlindung oleh sifir politik ini," ujarnya.

Pulau Pinang nyata tidak kurang pemimpin Melayu, malah ada dalam kalangan ADUN PKR juga terdiri daripada masyarakat Melayu.

Malah, Saifuddin ketika lebih diperlukan di Selangor sungguhpun peluang seumapama itu tidak digunakan beliau sepenuhnya apabila dilantik sebagai Ketua Staf Pejabat Menteri Besar sewaktu pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Namun yang lebih sesuai dan perlu diutamakan oleh Saifuddin ialah memperkukuh kubu dan sokongan rakyat di Selangor untuk partinya. Dengan kemunculan parti Amanah, politik pembangunan di Selangor semakin kompleks.

"Ini kerana PKR perlu mengimbangi keghairahan Amanah untuk mempamerkan kemampuan kepimpinannya di Selangor melalui wakil-wakil dan kerajaan tempatan dengan prestasi wakil PAS yang masih menjadi sekutu PKR di Selangor," katanya lagi.

- Malaysian Digest