Wed09202017

LAST_UPDATEWed, 20 Sep 2017 7pm

Tiada Tajaan Pelajar Ke Mesir: KPT

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak lagi memberi penajaan baharu untuk pelajar tempatan menyambung pelajaran ke Mesir memandangkan keadaan di negara itu masih belum stabil, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun bagi pelajar yang masih berkeinginan untuk menuntut ilmu di sana secara persendirian, itu hak dan pilihan masing-masing, katanya.  

"Sepatutnya ibu bapa yang hendak menghantar mereka ke luar negara, mereka seharusnya tahu selok-belok dan hal ehwal semasa sesebuah negara itu.

"Sekarang keadaan di Mesir pun belum tenang sepenuhnya...keadaan keselamatan pun masih dipantau oleh pihak kedutaan kita di sana," katanya kepada media selepas majlis penyerahan Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia di sini semalam.

Idris berkata buat masa sekarang difahamkan pelajar-pelajar yang ditaja agensi kerajaan di Mesir adalah mereka yang masih meneruskan baki pengajian mereka.

Pada majlis itu, Idris menyerahkan sumbangan tabung pendidikan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berjumlah US$94,000 kepada 16 pelajar Malaysia tahun akhir jurusan perubatan dan pergigian yang sedang menuntut di Mesir.

Beliau dalam pada itu berkata hasil kutipan sumbangan tabung pendidikan itu diberikan kepada pelajar persendirian di Mesir yang menghadapi kekangan kewangan menyelesaikan yuran pengajian universiti masing-masing.

"Sumbangan GPMS pada hari ini adalah untuk fasa kedua yang mana untuk fasa pertama sebanyak US$92,000 telah diserahkan kepada 10 pelajar yang belajar di institut pengajian tinggi di Mesir," katanya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Jailani Ngah yang hadir mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan sebanyak RM1 juta untuk tabung pendidikan itu.

- Bernama