Mon03272017

LAST_UPDATEMon, 27 Mar 2017 8am

Guru Wujudkan Tabung, Bantu Farah Marcella Lanjut Pelajaran

Gambar: BernamaGambar: Bernama

JOHOR BAHRU -- Keluarga angkat Farah Marcella Bandie, pelajar daif yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, telah mewujudkan sebuah tabung bagi membantu pelajar itu melanjutkan pengajian.



Farah Marcella, 18, memperoleh 6A, 1B+ dan 1C sekalipun hanya belajar secara serius dua bulan setengah sebelum menduduki SPM tahun lalu disebabkan kehidupannya yang daif.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, guru pelajar itu yang juga keluarga angkatnya, Suraya Abdul Rahim berkata sejak penubuhan tabung tiga hari lalu, kira-kira RM17,400 berjaya dikumpulkan.

"Kita harap dana ini bukan sahaja dapat membantu Farah tetapi juga abangnya Hans Hemsus yang bercadang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas mencatat 5A dalam SPM tiga tahun lalu," kata Suraya.

Beliau juga berharap masyarakat tidak salah faham dengan tindakannya membuka akaun untuk dana itu atas nama abang sulungnya Zaikhan Abdul Rahim.

Langkah itu kata Suraya bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap Farah Marcella yang mempunyai sifat pemurah.

Sementara itu, Farah Marcella yang berbakat dalam bidang seni lukis, bercita-cita menjadi anak seni.

Dia ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas jasa dan pengorbanan gurunya sehingga dia mencapai kejayaan.

"Saya rasa bercampur baur sekarang ini - terharu, gembira, gementar - bila dapat keputusan sebaik ini.

"Saya cuma belajar dua bulan sahaja jika dibandingkan dengan budak-budak lain, (jadi) bila dapat keputusan seperti ini memang bersyukur sebab tempoh sebelum peperiksaan adalah tempoh paling mencabar buat saya," kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Kisah Farah Marcella sebelum ini menjadi perhatian ramai kerana terpaksa menumpang di sebuah pusat snuker bersama ibu dan adik-beradiknya selepas ditinggalkan bapa.

Berdasarkan kisah yang tular di media sosial, pelajar itu pernah diberhentikan sekolah ketika tingkatan empat kerana tidak hadir ke sekolah untuk jangka masa yang lama, namun mengambil inisiatif mendaftar kembali ketika tingkatan lima.

Menyedari kesulitan pelajar itu, Suraya tampil mempelawa Farah Marcella tinggal bersamanya dua bulan sebelum SPM.

-- BERNAMA