Tue04252017

LAST_UPDATEMon, 24 Apr 2017 9pm

Lima Kawasan Pertumbuhan Bakal Jadikan Perlis Negeri Maju 2030 - MB

Datuk Seri Azlan Man. Photo: MyNewshubDatuk Seri Azlan Man. Photo: MyNewshub

KANGAR -- Lima kawasan pertumbuhan yang dirancang kerajaan berpotensi mengubah ekonomi Perlis untuk menjadi negeri maju menjelang 2030, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.


Menurutnya lima kawasan tersebut meliputi seluruh negeri iaitu Kangar, Kuala Perlis, Padang Besar, Arau dan Sungai Perlis/Kuala Sanglang.

"Projek-projek yang dirancang ini memberi impak dan pulangan jangka panjang kepada negeri dan negara," kata Azlan.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyampaikan geran Program Pembangunan Usahawan Mikro Bumiputera (MCash) serta Program Dana Mudahcara [email protected] di sini, hari ini.

Seramai 13 usahawan makanan, kesihatan, produk spa, gunting rambut, dobi, komputer serta rekaan dan percetakan menerima geran MCash berjumlah RM301,670. Mereka menerima antara RM13,000 hingga RM30,000 seorang.

Bagi Dana Mudahcara pula, dua syarikat menerima geran 15 peratus daripada kos keseluruhan projek, kesemuanya berjumlah RM5.28 juta.

"Saya berharap penerima bantuan ini berusaha lebih keras meneroka dan mengembangkan lagi bidang yang diceburi," kata Azlan.

Ketua Pegawai Agensi Pelaksana Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq pula berkata bantuan tersebut bertujuan meningkatkan status sosioekonomi bumiputera selaras dengan Transformasi National 2050 (TN50) dan menyemarakkan ekonomi sekeliling.

Katanya MCash disasarkan pada graduan universiti yang menceburi bidang perniagaan serta keusahawanan dan mereka dibimbing bagi menggalakkan usahawan mikro bumiputera berkembang.

"NCIA dan Teraju merangka dua cara bagi menilai impak terhadap penerima MCash kerana beberapa lagi program pembangunan tersedia untuk mereka yang mampu mengembangkan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA