Mon03272017

LAST_UPDATEMon, 27 Mar 2017 8am

Jet Rafale Kembali Ke LIMA

Pesawat pejuang Rafale. Photo: AFPPesawat pejuang Rafale. Photo: AFP

LANGKAWI -- Rafale, pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) dari Perancis, kembali ke dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) untuk kali keempat sejak 2011.



Pesawat itu telah dibangunkan oleh tiga firma aeroangkasa Peranchis iaitu Dassault Aviation SA, Safran SA dan Thales Group, di LIMA 2017 nanti, Rafale akan menonjolkan keupayaan penerbangan dalam satu persembahan selama sembilan minit yang mengkagumkan.

Ia akan membuat aksi solo seperti "square dance", pusingan bulatan dengan kelajuan rendah, "Split-S" dan aksi berhenti mendadak selepas pendaratan.

Bagi tujuan ini, Rafale International SA, sebuah syarikat usaha sama antara tiga pengeluar terbabit bagi mempromosikan jet pejuang itu untuk pelanggan-pelanggan antarabangsa, telah membawa dua buah pesawat iaitu versi satu tempat duduk (Rafale C) dan dua tempat duduk (Rafale B) daripada Tentera Udara Perancis ke pameran tersebut.

"Kami gembira dapat kembali ke Malaysia untuk LIMA. Pameran ini merupakan satu peluang bagi Rafale Internationl untuk memperbaharui dan merapatkan lagi hubungan dengan rakan kongsi kami yang sedia ada dan akan datang.

"Pada masa yang sama, ia menyediakan satu platform yang baik untuk pesawat Rafale menonjokan kecanggihan teknologi, keupayaan dan ciri-ciri yang tidak hanya menguntungkan penerbangan serta sektor pertahanan, tetapi juga pendidikan, pelaburan dan pembangunan negara," kata Rafale International dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tiga syarikat yang terlibat dalam pembuatan pesawat Rafale telah aktif bekerjasama dengan rakan kongsi Malaysia, termasuk peneraju di kalangan industri tempatan, organisasi dan institusi-institusi yang terlibat dalam pembangunan dan penyelidikan berteknologi tinggi.

Pesawat Rafale merupakan sebuah pesawat dua enjin yang mampu melaksanakan pelbagai misi seperti rondaan, pertahanan, serangan ke permukaan, anti perkapalan, pencegahan nuklear dan peninjauan tanpa perlu mengoperasikan pelbagai jenis pesawat untuk lain-lain misi.

Dengan peningkatan yang berterusan, pesawat dengan sayap delta ini dijamin mampu untuk beroperasi bagi tempoh 40 tahun akan datang dan dapat menyesuaikan diri dengan apa-apa keperluan pada masa hadapan.

Sejak LIMA 2015, Rafale telah memasuki inventori Mesir dan dijual kepada Qatar dan India.

LIMA 2017 akan berlangsung selama lima hari mulai esok bagi pengunjung berdaftar, ia hanya akan dibuka untuk orang ramai pada hari Jumaat dan Sabtu.

Memaparkan 555 pempamer, acara tersebut dijangka akan menarik 40,000 pengunjung dan 140,000 pelawat awam dalam tahun ini berbanding dengan 2015 yang mencatatkan sebanyak 512 pempamer, 39,683 pengunjung dan 139,478 pelawat awam.

-- BERNAMA