Fri06232017

LAST_UPDATEFri, 30 Jun 2017 8am

PM Ucap Tahniah 3 Penjelajah Ke Kutub Utara

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan tahniah kepada tiga penjelajah negara yang berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara dalam misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan tiga penjelajah kita ke Kutub Utara telah selamat menyempurnakan misi mereka. Tahniah!” kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitternya hari ini.

Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 35, Shahrom Abdullah, 38, dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37, menamatkan misi tersebut pada 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara atau 11.06 malam tadi waktu Malaysia.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji sejauh 111 kilometer yang memakan masa 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah Malaysia itu menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja.

Kumpulan penjelajah negara itu berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan diketuai Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan turut disertai beberapa wakil media dari TV3 dan NSTP.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.

- Bernama