Mon11202017

LAST_UPDATEMon, 20 Nov 2017 7pm

Guru Melayu Fasih Mandarin Tidak Ajar Di Sekolah Cina

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan menafikan khabar angin yang tular konon ratusan guru Melayu fasih bahasa Mandarin akan mengambil alih tugas guru Cina di sekolah aliran Tionghua.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, guru-guru Melayu yang terlatih dalam bahasa tersebut sebenarnya bakal dihantar ke pelbagai sekolah kebangsaan, dan bukan untuk sekolah Cina.

Menurut laporan akhbar The Star, beliau menjelaskan bahawa sekolah jenis kebangsaan Cina di seluruh negara tidak terjejas dalam apa keadaan sekalipun kini berdepan isu kekurangan ratusan guru yang fasih bahasa Mandarin.

Sin Woon mengulas penularan mesej dan rakaman video menerusi media sosial baru-baru ini yang mendakwa pihak Kementerian Pendidikan secara senyap telah menghantar ratusan guru bukan kaum Cina untuk belajar Mandarin.

Visual video tersebut turut memaparkan sekumpulan guru berbangsa Melayu dari Malaysia kelihatan mampu bercakap bahasa Mandarin dengan begitu fasih dalam suasana perdebatan di Beijing, China, lapor The Star lagi.

Kapsyen dalam video itu menyatakan bahawa guru tersebut sedang dilatih di sebuah pusat pengajian tinggi di negara berkenaan dan tidak lama lagi akan memenuhi banyak sekolah Cina apabila mereka kembali ke Malaysia.

Rakaman video tersebut mendakwa kononnya mereka bakal mengambil alih peranan guru Cina dan pada masa sama akan “hapus” kewujudan sekolah aliran Cina apabila ia diubah pula menjadi sistem sekolah kebangsaan.

Mesej berbaur jahat itu juga mendakwa, guru-guru bukan Cina tersebut akan kemudian dilantik menjadi guru besar pada masa depan di sekolah Cina kerana mereka lebih layak dari segi merit berbanding guru Cina tempatan terlatih.

The Star turut memetik Sin Woon sebagai menegaskan bahawa: “Guru-guru Melayu yang fasih berbahasa Mandarin itu tidak akan dihantar ke sekolah Cina sebaliknya ditempatkan di mana-mana sekolah kebangsaan terpilih.”

Beliau seterusnya menggesa masyarakat supaya berhati-hati dengan berita yang belum disahkan itu. Ketika ini sekolah Cina di seluruh negara mengalami kekurangan seramai 347 guru akibat persaraan wajib dan pilihan.

Sementara itu, Chong dipetik sebagai berkata bahawa kementerian itu, bersama-sama dengan 13 organisasi pendidikan Cina, telah melancarkan aktiviti untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah aliran Cina.

Antaranya ialah Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan Cina (Hua Zong) dan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong).

Ini termasuk bengkel bantu guru menyediakan bahan pelajaran, kempen kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan bukan peperiksaan dan program pemupukan budaya baca dalam kalangan pelajar.

- AGENSI