Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 12am

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Bakal Diumum

JOHOR BAHRU – Nama ketua jurulatih skuad bola sepak negara yang baharu akan diumum dalam masa terdekat, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, satu pertemuan dengan ‘individu berpotensi’ itu diadakan hari ini untuk melihat kesesuaiannya dalam melatih skuad Harimau Malaya.

“Buat masa ini, saya sedang dalam perbincangan dengannya. Saya tidak hendak dedahkan (siapa),” titah baginda dalam sidang media selepas perjumpaan dengan anggota gabungan FAM mengenai perlepasan pemain untuk temasya Sukan SEA pada Ogos ini dan kejohanan bawah 22 tahun Piala AFC di Bangkok, Thailand.

Tunku Ismail yang juga merupakan Tunku Mahkota Johor sebelum ini menamakan bekas ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez sebagai pengendali Harimau Malaya menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Bagaimanpun, Gomez menolak tawaran berkenaan kerana dikatakan mahu gaji yang lebih tinggi.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di setiap gelanggang perlawanan, tempat latihan, pejabat FAM serta persatuan-persatuan negeri bagi membolehkan mereka memantau gejala rasuah, secara lebih dekat.

Katanya, semua pegawai ini akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Integriti FAM bagi memastikan Liga Malaysia bebas daripada amalan rasuah.

“Kita memberi kerjasama dan membuka pintu 100 peratus kepada SPRM untuk menjalankan tugas kerana maklumat yang saya dapat amat menyedihkan iaitu mengatur perlawanan masih lagi aktif dan besar dalam negara.

“Keutamaan haruslah untuk membanteras rasuah dalam bola sepak,” katanya.

Tunku Ismail juga mengesahkan senarai nama penuh individu yang memegang jawatan dalam FAM, barisan pemain, pengadil serta anggota-anggota persatuan, telah diserahkan kepada SPRM.

- Bernama