Sun07232017

LAST_UPDATESun, 23 Jul 2017 3pm

APM Tangkap Ular Sawa Batik Seberat 50kg Di Kuala Pilah

KUALA PILAH, 19 Mei -- Seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah ketika reptilia itu sedang membaham seekor babi hutan di jalan utama Kampung Kuala Kepis di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah Muhammad Aminuddin Suhaimi berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.47 tengah malam tadi daripada orang awam dan seramai empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Operasi menangkap ular berkenaan mengambil masa selama satu jam...daripada coraknya, kami sahkan ia jenis ular sawa batik seberat 50kg dengan panjang enam meter," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata ular berkenaan kini ditempatkan sementara di dalam sangkar di APM sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA