Fri11242017

LAST_UPDATEFri, 24 Nov 2017 8am

Anak Muda Diingat Tidak Terpengaruh Dakyah Pembangkang - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan anak muda di negara ini agar tidak terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang yang membawa pemikiran songsang.

Menurut Tengku Adnan, ancaman menerusi dunia siber khususnya telah digunakan pembangkang untuk memusnahkan fikiran positif menjadi negatif dalam menilai sesuatu berasaskan persepsi.

"Tujuan utama mereka (pembangkang) adalah untuk membina 'persepsi songsang' bagi menghancurkan kredibiliti pemimpin tertinggi negara dengan niat menimbulkan kesangsian dan kebencian rakyat terhadap pemimpin bagi golongan yang tidak mengetahui maklumat sebenar.

"Apa lagi kelompok sasaran yang dikenali dengan Gen Y, Gen X dan Gen Z adalah kelompok sasar yang boleh dipengaruhi tanpa mengadakan pertemuan bersemuka, sebaliknya cukup dengan melontarkan dakyah dan fitnah di sebalik papan kekunci sahaja.

"Sebagai anak muda, mereka perlu menjadi pemangkin dalam membantu kerajaan kerana golongan ini adalah kelompok penting dalam proses pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Wacana Pemikiran Anak Muda Masa Depan Negara Zon Tengah yang dihadiri kira-kira 250 peserta terdiri daripada penuntut universiti awam dan swasta, di sini hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi itu bertujuan memberi penjelasan sebenar dan terkini tentang isu-isu semasa serta memberi ruang kepada peserta melontarkan komen dan idea secara terbuka.

-- BERNAMA