Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 5pm

Lelaki Tikam Warga Asing Tawar Seks Luar Tabie

Gambar hiasanGambar hiasan

GEORGE TOWN: Seorang pelancong lelaki Thailand cedera di beberapa bahagian badan selepas ditikam pelanggannya yang tidak berpuas hati dengan bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan seks luar tabie di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata lelaki berusia 28 tahun berasal dari Phuket itu bercuti di negeri ini sejak 15 Mei lepas dan mengenali seorang lelaki yang dikenali sebagai Tommy menerusi laman sosial Wechat kira-kira dua jam sebelum menemui lelaki terbabit.

"Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, suspek dikatakan ke bilik hotel pelancong berkenaan untuk urusan perkhidmatannya.

"Mangsa bersetuju untuk melayan suspek hanya selepas mendapat bayaran yang ditetapkan," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata ketika urus niaga itu dibuat suspek mengeluarkan pisau daripada poketnya dan menikam mangsa serta berlaku pergelutan antara mereka sebelum lelaki terbabit melarikan diri.

Mangsa yang luka di perut, belakang badan, tangan, leher dan muka itu mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilapor dalam keadaan stabil.

Anuar berkata polis telah mendapatkan rakaman CCTV di hotel itu dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek berusia 30-an yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan sepasang kekasih berusia 28 dan 30 tahun dipercayai terlibat dalam kes samun di sekitar daerah tersebut di Taman Selamat, Machang Bubok di sini kira-kira pukul 2 petang semalam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, pasangan itu terlibat sekurang-kuranganya dalam 15 kes samun sejak awal tahun ini termasuk samun seorang wanita di Machang Bubok pada Rabu dan suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan mereka untuk kegiatan samun dan beberapa barang lain termasuk telefon bimbit serta wang tunai dipercayai hasil samun," katanya.

- Bernama