Sat12162017

LAST_UPDATESat, 16 Dec 2017 10am

Anggota TUDM Diingat Waspada Ancaman Daesh Di Sabah

TAWAU, 19 Jun -- Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diingatkan supaya berwaspada dengan sebarang ancaman terutama daripada militan Daesh atau ektremis lain yang boleh menggugat keselamatan negara.

Panglima Operasi Udara, Left Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abd Wahab berkata peringatan itu didorong kepada situasi tidak memberangsangkan membabitkan pertempuran puak Maute dan Daesh bersama tentera Filipina di bandar Marawi, yang dikhuatiri terdapat anggota militan yang melarikan diri ke negara ini.

"Malaysia tidak terlepas daripada kehadiran mereka dan sebab itu saya memerlukan keprihatinan semua anggota yang bertugas sepanjang lebaran ini...sentiasa berwaspada, maklumkan dan peka terhadap apa yang berlaku di kawasan sempadan Malaysia dengan negara-negara jiran," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penyerahan bungkusan kuih raya kepada 46 pegawai dan anggota lain-lain pangkat TUDM di Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU) di sini, hari ini.

Abdul Mutalib berkata pendekatan terbaik dalam menangani perkara itu adalah bekerjasama dengan anggota keselamatan lain termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), polis serta Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di negeri ini.

"Semua pasukan keselamatan ini akan membendung mereka (anggota militan) daripada memasuki Sabah," katanya yang turut menasihatkan agar anggota TUDM menjaga kesihatan dan mengekalkan kecergasan untuk menjalankan tugas mempertahankan negara.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan duit raya daripada Tabung Kebajikan TUDM sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang bertugas semasa perayaan Aidilfitri.

PBOU berperanan sebagai pangkalan hadapan untuk menyokong operasi udara di kawasan Sabah yang turut menempatkan helikopter Nuri untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta sokongan kepada operasi dilaksana Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

-- BERNAMA