Tue08222017

LAST_UPDATETue, 22 Aug 2017 7pm

Kurang Bercakap, Terus Bekerja Demi Rakyat - Musa Aman

LAHAD DATU, 19 Jun -- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menasihatkan semua anggota UMNO dan Barisan Nasional agar terus bekerja demi kebajikan rakyat di negeri ini.

Katanya, tunjukkan bahawa itu cara gerak kerja sebenar UMNO dan Barisan Nasional untuk rakyat.

"Kurangkan bercakap, banyakkan bekerja...kita kurangkan politiking dan polemik, tumpukan usaha untuk bekerja dan berkhidmat membela rakyat," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua UMNO Bahagian Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pada program iftar Ramadan UMNO Zon 6 di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Yusof Apdal, Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan serta Pemangku Ketua UMNO Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Dalam pada itu, Musa berkata apa jua cabaran yang dihadapi dalam parti, anggota UMNO dan BN perlu yakin perkara itu dapat diatasi serta diselesaikan dengan sebaik-baiknya sesuai dengan semangat UMNO yang tulen.

Pada program itu, berlangsung upacara penyerahan replika cek dividen bernilai RM4,898,020.80 oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Othman Walat kepada para pekebun kecil Bagahak sambil disaksikan Abdul Ghapur.

-- BERNAMA