Fri12152017

LAST_UPDATEFri, 15 Dec 2017 5pm

Kertas Cadangan Alam Sekitar Subjek Di Sekolah Sedang Disediakan - Junaidi

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

SEREMBAN -- Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kertas cadangan bagi menjadikan aspek alam sekitar sebahagian sukatan pelajaran sekolah sedang disediakan dan dijangka siap hujung tahun ini.

"Buat masa ini belum dapat dipastikan lagi  sama ada subjek ini akan dimasukkan bawah subjek sains atau sosial kerana ia mengandungi kedua-dua elemen tersebut.

"Setakat ini, persetujuan di peringkat kedua-dua kementerian sudah di peringkat jawatankuasa teknikal dan jika kertas cadangan dapat disiapkan hujung tahun ini, perkara tersebut dapat dibentangkan di parlimen tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Pemeliharaan Alam Sekitar dan Inovasi (EPIC) di Pusat Kualiti Alam, dekat sini hari ini.

Wan Junaidi berkata silibus berkenaan alam sekitar penting sebagai pendidikan awal dalam membentuk masyarakat Malaysia terutamanya generasi baharu akan kepentingan mencintai, menjaga dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Terdahulu semasa berucap, Wan Junaidi berkata EPIC, pusat kecemerlangan pengurusan sisa Malaysia, menyasarkan untuk menjadi pusat kecemerlangan negara bagi membangunkan pengetahuan dan menyediakan penyelesaian inovatif untuk  spektrum lengkap persekitaran lestari dan tenaga diperbaharui.

“EPIC akan mengadakan latihan dan menjalankan penyelidikan dalam bidang berkaitan sisa buangan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga rantau Asia,” katanya.

Terletak di atas tapak seluas 2.185 hektar di Cenviro Eco Park, EPIC diasaskan atas empat tonggak pembangunan merangkumi pembangunan positif modal insan, inovasi dan teknologi maju, ekonomi hijau serta kesedaran alam sekitar dan tanggungjawab sosial.  

-- BERNAMA