Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 12am

Rumput Miang Mexico Dikesan Di Temerloh

TEMERLOH - Jabatan Pertanian mengesan tumbuhan berbahaya rumput miang Mexico yang boleh mendatangkan alahan kepada manusia di tanah lapang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Bahagia, di sini hari ini.

Pegawai Pertanian Daerah Temerloh Muhammad Khalil Idris berkata, penemuan itu menjadikan kes tersebut yang pertama di daerah ini, sejak bahaya rumput itu mula dihebahkan oleh Kementerian Kesihatan secara umum di negara ini, tiga tahun lalu.

Menurutnya, Pejabat Pertanian Temerloh mengambil langkah segera dengan meracun kawasan berkeluasan 1,500 meter persegi itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Rumput ini dikesan pada 14 Julai lalu, kira-kira jam 10.30 pagi dengan purata berbunga 20 peratus manakala selebihnya tidak berbunga.

"Bahagian Biosekuriti Tanaman (BBT) mengambil langkah segera dengan mengutip bunga rumput ini yang berpotensi bertambah melalui penebaran melalui angin.

"BBT juga sudah memaklumkan kepada pihak sekolah dan membuat penerangan bahaya rumput ini yang boleh mendatangkan alahan kepada manusia dan kerosakan pada ekosistem," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Muhammad Khalil berkata, larangan kepada pelajar dan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan tersebut juga sudah dibuat dan tindakan seterusnya ialah meracun keseluruhan kawasan terlibat untuk memusnah rumput itu.

Beliau berkata, lima pegawai BBT dan pejabat pertanian serta pengetua dan guru sekolah terbabit melakukan pemantauan sepanjang operasi pemusnahan dijalankan.

Muhammad Khalil berkata, orang awam dinasihatkan supaya mengelak daripada terdedah atau tersentuh rumput miang Mexico atau 'parthenium hysterophorus' kerana boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua.

Katanya, terdahulu Kementerian Kesihatan mengesahkan, rumput miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.

"Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma," katanya.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

-Sinar Harian