Mon07242017

LAST_UPDATEMon, 24 Jul 2017 2pm

TDA Pastikan Pulau Cantik, Bersih

PULAU TIOMAN - Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) akan melaksanakan pembersihan secara berterusan di Pulau Tulai, di sini, supaya sentiasa bersih dan cantik untuk keselesaan pelancong.

Tindakan itu dibuat susulan sisa minyak mencemari perairan dan pantai pulau itu, selain rungutan pelancong yang kecewa apabila badan serta peralatan menyelam mereka dikotori bahan itu.

Pengurus Besar TDA, Khairur Rizal Ramli berkata, pihaknya menetapkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI), aktiviti gotong-royong melibatkan pelbagai pihak berkepentingan perlu diadakan 12 kali setahun iaitu sekali sebulan.

Menurutnya, bagaimanapun, gotong-royong khusus yang turut melibatkan JKKK, belia, penduduk dan agensi terlibat di Pulau Tioman bagi Pulau Tulai pula ditetapkan, dua kali setahun.

"Jumaat lalu kita bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan NGO Reef Check Malaysia dengan menganjurkan satu aktiviti pembersihan pantai di Pulau Tulai.

"Ia adalah respon berterusan dibuat yang merupakan salah satu usaha bagi membersihkan sisa tumpahan minyak sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada program itu, seramai 20 orang termasuk pengusaha bot dan penduduk setempat terlibat membersihkan kawasan Pantai Pasir Panjang di Pulau Tulai.

Khairur Rizal berkata, semua pihak diminta bersama-sama menjaga kebersihan dan keindahan Pulau Tioman daripada pencemaran, terutamanya tumpahan minyak di laut.

Katanya, pencemaran itu boleh mengakibatkan kemusnahan ikan-ikan dan terumbu karang yang merupakan aset berharga kepada Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan serta sumber pendapatan penduduk dalam sektor perikanan.

-Sinar Harian