Mon07242017

LAST_UPDATEMon, 24 Jul 2017 2pm

Bekalan Kurang, Harga Ikan Melambung Di Pasaran

KUALA TERENGGANU – Harga ikan di pasaran negeri ini dikesan melambung sejak awal Ramadan lalu susulan kekurangan bekalan.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kedai Payang, di sini semalam mendapati, kebanyakan ikan mengalami kenaikan antara RM2 hingga RM3 sekilogram bergantung kepada jenis sumber protein itu.

Ikan kembung segar kini dijual RM17 hingga RM18 sekilogram berbanding hanya sekitar RM14 hingga RM15 sekilogram sahaja pada hari biasa.

Ikan kerisi pula berharga RM16 sekilogram berbanding sebelum ini RM14, selayang RM12 berbanding RM9 hingga RM10 sekilogram dan Cencaru RM14 sekilogram berbanding RM12 sahaja.

Bagaimanapun, peniaga mendakwa harga tersebut masih berpatutan berbanding awal Ramadan lalu, yang mana ada ikan itu dijual mencecah RM20 sekilogram.

Seorang peniaga, Mazlan Awang, 55, berkata, harga ikan mengalami naik turun harga sejak Ramadan lagi dan berpanjangan sehingga selepas sambutan Aidilfitri.

Katanya, kekurangan bekalan menyebabkan sebahagian besar peniaga turut menjual ikan sejuk beku atau ikan kotak bagi menampung keperluan, sejak lebih seminggu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yassim Mohamed berkata, bekalan berkurangan kerana sebahagian nelayan tidak turut ke laut terutama bagi nelayan laut dalam.

Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu termasuk arus kuat dan keadaan ombak besar di perairan Terengganu termasuk pada bulan puasa lalu menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Jadi bekalan ikan di negeri ini berkurangan menyebabkan harga ikan meningkat sejak seminggu lalu sehingga harga ikan di pasaran di seluruh daerah naik kira-kira hingga 30 peratus.

“Malah ada peniaga yang mendapatkan bekalan ikan segar dari Pantai Barat ekoran keadaan cuaca ini. Namun keadaan ini merupakan senario biasa. Harga ikan mengalami kenaikan apabila bekalan sumber protein itu berkurangan.

“Tetapi saya jamin, harga ikan kembali stabil, kerana nelayan laut dalam mula turun ke laut sepenuhnya selepas berehat panjang bermula minggu ini,” katanya.

-Sinar Harian