Sat10212017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Aksi Hebat Pelumba Tempatan, Luar Negara Bersaing

PASIR GUDANG - Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hadir menyempurnakan Majlis Pelepasan International Rally of Johor 2017 di Litar Johor, di sini.

Tunku Idris Iskandar yang juga penaung acara turut berkesempatan menyaksikan perlumbaan SS1 melibatkan aksi hebat oleh pelumba dari dalam dan luar negara di litar berkenaan.

International Rally of Johor 2017 merupakan acara anjuran kerajaan negeri menerusi Tourism Johor dengan kerjasama Wheel Sport Management yang berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos.

 Pengurus Wheel Sport Management merangkap Koordinator acara, Mohd Kurnia Abdol Sakor berkata, International Rally of Johor 2017 dahulunya dikenali Malaysian Rally.

“Kami selaku pihak penganjur ‘rebranding’ acara ini daripada Malaysian Rally kepada International Rally of Johor 2017 untuk lebih mempromosikan nama Johor.

“Penganjuran ini bukan kali pertama kerana ia sudah dilaksanakan sejak 12 tahun lalu. Cuma kali ini, ia lebih meriah dengan Tunku Temenggong Johor sendiri selaku penaung acara, selain penggunaan Litar Johor buat kali pertama untuk perlumbaan rali,” katanya.

Mohd Kurnia berkata, pihak penganjur juga masih mengekalkan Ladang Tai Tak di Kota Tinggi selaku trek pada hari kedua sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Ada 29 jentera (kereta) yang bertanding dalam pelbagai kategori berbeza. Malah selain peserta tempatan, terdapat pelumba dari India, Belgium, Norway, Finland, Sweden, New Zealand dan Jepun.

“Kategori yang dipertandingkan adalah FIA Asia Pacific Rally Championship, FIA Asia Cup, APRC Teams Trophy, APRC 2 Championship, Malaysian Rally Championship, Junior, Novice dan Classic Car,” katanya.

International Rally of Johor 2017 akan menyaksikan pelumba menempuh tujuh peringkat sejauh 158 kilometer pada Sabtu, dan enam peringkat sejauh 76.24 kilometer pada Ahad.

-Sinar Harian